Tuesday, September 27, 2011

Mana-mana nama pun saya tak kisah.

BALAI POLIS AMPANGAN

BALAI POLIS SIKAMAT

Cuba lihat gambar-gambar di atas. Kalau dibaca dari nama yang tertera mereka seolah-olah bangunan yang berbeza. Tetapi sebenarnya itu adalah bangunan yang sama. Cuma nama sahaja yang berubah.

Saya cukup gembira apabila melihat satu balai polis baru dibina cuma lebih sedikit 1 kilometer dari rumah saya. Saya berharap kuranglah jenayah di kawasan saya ini. Cuma yang mungkin kurang enak ialah saya tidak boleh lagi menunggang skuter tanpa topi keledar. 

Semasa saya masih bekerja dulu jabatan saya sering memohon bantuan anggota polis untuk operasi kami. Jika kami hendak pertolongan segera kami diminta pergi ke Balai Polis Rahang sedangkan Balai Polis Seremban lebih dekat dengan pejabat kami. Rupa-rupanya pejabat saya itu terletak dalam jagaan Balai Polis Rahang, bukan Balai Polis Seremban.

Dari itu apabila saya melihat balai polis yang sedang dibina itu dinamakan BALAI POLIS AMPANGAN saya tidak terperanjat walau pun ia tidak terletak dalam kawasan yang biasa dipanggil Ampangan. Ia terletak di kawasan yang kami panggil Sikamat.

Saya fikir balai polis baru ini akan menjaga kawasan Ampangan dan Sikamat dan memandangkan kawasan Ampangan lebih besar dari Sikamat maka ia lebih baik dipanggil BALAI POLIS AMPANGAN sahaja. Saya bernasib baik kerana sempat mengambil gambar BALAI POLIS AMPANGAN ini. 

Baru-baru ini saya tersenyum sendiri apabila melihat nama balai polis itu sudah ditukar menjadi BALAI POLIS SIKAMAT sedangkan ia belum dibuka lagi. Rupa-rupanya ramai yang tidak puas hati dengan nama asal balai polis itu. Betul juga pandangan mereka itu. Sebab sebelah balai polis itu ialah Masjid  Qariah Sikamat dan sebelahnya pula Klinik Kesihatan Sikamat. Sedangkan Masjid Qariah Ampangan terletak di Jalan Jelebu dan Klinik Kesihatan Ampangan di Paroi.

Tambahan lagi balai polis ini termasuk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan bukan DUN Ampangan. 

Tapi bagi saya mana-mana nama pun tak kisah. Asalkan saya tidak diminta pergi ke Seremban Dua untuk urusan polis sudahlah. 

2 comments:

Abu Nu'man said...

salaam tuan haji...saya rasa ada kesilapan ketika menempah papan tanda (sign board) balai polis berkenaan. Sebabnya ialah bapa saya terlibat dalam kerja2 pembinaan balai polis tersebut. Kontrak menyatakan nama projek tersebut ialah balai polis sikamat.

Badrul HM Isa said...

saya ada terdengar ucapan mb yang meminta balai polis ini ditukar menjadi balai polis sikamat. tahniah tuan, kerana berjaya mengambil gambar sebelum ia menjadi balai polis sikamat. kita satu qariah rupanya...

singgah ke blog saya juga.