Wednesday, April 4, 2012

'Nama saya Aaron, bukan Mat Haron'

Itulah tajuk berita satu akhbar tempatan semalam.

Ada seorang kawan sepejabat saya dulu berbangsa Cina suka memanggil kawan-kawannya 'Mike', tidak kira bangsa atau agama. Satu hari dia ditegur oleh seorang kawan kami dengan berkata 'My name is Muhammad, don't ever call me 'Mike'. Selepas itu saya perhatikan kawan saya ini tidak memanggil sesiapa melainkan dengan nama mereka sebenar.

Beberapa tahun dulu seorang kawan saya yang juga berbangsa Cina bertanya kepada saya mengapa orang Melayu tidak meletakkan nama-nama Inggeris seperti Michael dan Robert di hadapan nama mereka, tidak seperti orang Cina. Saya jawab nama Inggeris adalah juga nama Kristian, oleh itu sebagai orang Islam salahlah kita menggunakannya. 

Kemudiaan kawan saya berkata lagi, dia menggunakan nama Ricky di hadapan namanya sedangkan ia tidak beragama Kristian. Baharulah saya menerangkan kepadanya tentang nama-nama nabi yang terdapat dalam Al Quran dan Bible. Contohnya nabi Yusuf adalah Joseph dalam Bible, Noh adalah Noah, Ibrahim adalah Abraham, Musa adalah Moses dan sebagainya. 

Dari itu salahlah untuk orang Islam untuk menamakan anaknya Joseph sedangkan nama sepatutnya ialah Yusuf. Janggal juga jika seorang bernama Ibrahim menambah nama Abraham di hadapan namanya menjadi Abraham Ibrahim. Janggal jugalah jika seorang itu dipanggil Mike Ibrahim atau Joseph Muhammad. Bukan sahaja nama itu janggal, tetapi Aqidah mungkin terpesong.

Dari itu juga orang-orang Islam tidak menggunakan nama-nama Inggeris yang bukan nama nabi seperti Ricky dan William kerana ia juga dianggap nama-nama Kristian. Barulah kawan saya tadi faham.

Saya sudah lama tidak mengikuti perkembangan filem Melayu semasa, oleh itu saya tidak kenal siapa pelakon Aaron Aziz ini. Dari penjelasannya saya percaya nama Aaron itu bukan direkanya tetapi diberi oleh ibu bapanya sejak lahir lagi. Tetapi tahukah Aaron bahawa nama itu ialah nama seorang nabi atau prophet dalam Bible? Dari itu juga nama Aaron ialah nama Kristian. Nama nabi selari dalam Al Quran ialah Harun (Haron?). 

Oleh itu jika saya Aaron Aziz saya tidak akan berbangga dengan nama Kristian itu.

1 comment:

Anonymous said...

Bahaya tuan haji mengeluarkan fatwa yang menukar nama kepada nama inggeris boleh merosakkan akidah. Sebenarnya tiada dalil pun yang menyebut demikian. Cuma budaya kita sahaja yang apabila seseorg memeluk Islam, maka namanya mestilah diubah kepada nama bahasa arab. Kalau di Barat, ramai convert yang tidak menukar nama inggerisnya seperti Imam Suhaib Webb (yang selalu keluar di TV Al Hijrah), Ingrid Mattson (Presiden Islamic Society of North America) dan ramai lagi. Tuan haji boleh refer pada mana2 ustaz berkenaan pertukaran nama ni. Pada saya, kalau namanya Aaron sekalipun, ianya tidak melibatkan akidah. Tetapi amatlah digalakkan mereka menukar nama kepada nama-nama yang baik ataupun nama tokoh2 Islam sebagai mengambil teladan daripada nama2 tersebut seperti Abu Bakar, Umar dll.