Tuesday, August 14, 2012

Mana perginya orang seperti Jeba?

Pandangan satelit padang di hadapan rumah saya (salah satu dari rumah di bahagian atas itu). Sila juga perhatikan kolam air di sebelah kiri itu. 

Salah satu aktiviti yang dijalankan di atas padang yang bogel.

Tanah baru dihantar dan diratakan.

Rumput yang baru ditanam. Lori itu penuh dengan rumput baru untuk diturunkan.

Semasa saya memasuki Majlis Bandaran Seremban pada tahun 1973 dahulu Setiausaha atau ketua eksekutifnya ialah seorang bernama A. Jebaratnam, keturunan Ceylon (sekarang Sri Lanka). Kawan-kawannya memanggil beliau 'Jeba' sahaja dan kami memanggilnya Mr. Jeba.

Apabila Majlis Bandaran itu dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada tahun 1979 jawatan Setiausaha tidak diberi kepada Jeba. Walau pun mungkin ramai yang menafikannya, tetapi bagi saya sebab utama Jaba tidak diberi jawatan itu ialah kerana beliau bukan seorang Melayu.

Jaba kemudian diberi satu jawatan khas disebut Pengarah Pembangunan walau pun tugas-tugasnya tidak kena mengena dengan pembangunan Bandar Seremban. Ia mengetuai unit yang mengurus segala taman dan padang dalam kawasan Majlis.

Walau pun seolah-olah 'diturunkan pangkat' ia tidak menjejaskan pendapatan Jeba. Oleh kerana beliau tidak perlu lagi 'meraikan' tetamu, Elaun Keraian yang beliau terima secara rasmi kerana pangkatnya dibelanjakan bersama kakitangan jabatannya.

Tugas baru Jeba seolah memberi nafas baru kepadanya. Dia tidak menghabiskan masa dipejabat melayan tetamu dan menjawab telefon, tetapi berada di atas padang dalam erti yang sebenarnya. Tugas menjaga taman diberikan kepada pegawai-pegawai lain dan Jeba menumpukan perhatian kepada padang-padang dalam kawasan Majlis. Dalam satu minggu tidak sah jika Jaba tidak nampak berada di atas Padang NS yang kebetulan terletak di hadapan pejabat kami.

Minatnya terhadap padang timbul kerana minat Jeba terhadap sukan, terutama kriket. Beliau pernah menjadi presiden Persatuan Kriket Negeri Sembilan untuk begitu lama. Oleh itu beliau banyak menghabiskan masa melihat kakitangannya menguruskan padang-padang yang amat disayanginya.

Apabila Jaba bersara dan ditambah lagi dengan MPS dibebankan dengan mengurus Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi unit taman dan padang telah dipecahkan kepada dua. Dalam erti sebenar satu unit menjaga taman-taman sahaja dan unit yang lagi satu menjaga padang termasuk stadium dan kolam renang. Jawatan Pengarah Pembangunan yang dulunya dipegang oleh Jeba telah dihapuskan.

Seorang pegawai atas Majlis pernah memberitahu saya pemecahan unit ini salah satu strategi 'menambahkan bilangan pegawai-pegawai Melayu' di MPS. Tetapi adakah ia betul-betul berbaloi susah saya nak cakap. Contohnya seperti apa yang saya alami beberapa bulan kebelakangan ini.

Salah satu sebab saya membeli rumah saya sekarang setelah bersara ialah kedudukannya betul-betul berhadapan dengan padang. Mungkin juga ini ekoran daripada bekerja berpuluh tahun di pejabat yang berhadapan dengan padang juga. Salah satu rumah yang nampak di gambar satelit di atas ialah rumah saya.

Gambar satelit itu juga menunjukkan padang tersebut tidak berkeadaan baik. Cuma lebih kurang 20% berumput. Ekoran itu pengerusi taman kami telah menulis kepada MPS supaya padang kami dibaiki. Setelah tiada kemajuan walau pun pernah dijanji untuk dibaiki, pengerusi telah mengajak saya sendiri berjumpa dengan Yang Di Pertua MPS yang kenal kepada saya. Maklumlah dia pernah menjadi boss saya.

Setelah melihat gambar-gambar yang saya tunjukkan melalui 'tablet' saya Yang Di Pertua sendiri telah memberi jaminan untuk memperbaiki padang tersebut. Tetapi bantuan tidak datang dengan tiba-tiba. Saya terpaksa menalipon Pengarah bahagian sukan MPS untuk mengingatkannya. Kemudian barulah MPS menghantar jentera untuk meratakan padang sambil menolak apa-apa rumput yang ada ke tepi.

Kemudian beberapa lori datang meletakkan tanah baru dan diratakan. Tetapi keadaan ini dibiarkan berbulan lamanya. Sekali lagi saya menalipon Pengarah berkenaan. Barulah MPS menghantar rumput-rumput baru.

Rumput ditanam semasa musim kemarau, oleh itu ia perlu disiram. Kebetulan pula padang ini terletak bersebelahan dengan kolam tebatan banjir. Sila lihat gambar satelit. Oleh itu MPS memutuskan untuk mengepam air dari kolam tersebut untuk di siram ke atas rumput baru.

Saya perhatikan pekerja-pekerja yang mengendalikan pam air tidak faham dengan sains atau fizik air seperti  graviti dan 'vacuum'. Mula-mula mereka meletakkan pam air di paras padang yang tingginya lima meter dari paras air di kolam. Mana air nak naik? Kemudian barulah pam diturunkan supaya berada cuma setengah meter dari paras air. Itu pun paip 'input' airnya sepanjang sepuluh meter dan berlingkar. 

Masa satu jam lebih digunakan hanya untuk menyedut air menggunakan 'vacuum'. Mengapa paip 'input' tidak diisi air yang sedia ada di kolam itu? Kemudian saya perhatikan mereka membuka paip 'output'. Bila air mencurah keluar mereka tidak dapat memasangnya kembali tanpa membasahkan pakain mereka. Mesin terpaksa ditutup dan air yang telah memenuhi paip 'input' kembali ke kolam.

Mereka terpaksa memulakan kerja semula dengan paip 'output' terpasang. Apabila air telah disedut tiba-tiba mesin berhenti. Rupa-rupanya minyak sudah habis. Tetapi kali ini mereka cepat-cepat menarik keluar paip 'input' dari kolam untuk menghalang air yang sudah disedut keluar semula. Setelah mesin diisi minyak semula barulah air dapat di pam ke atas padang. Mereka tidak menunggu lama oleh sebab paip 'input' sudah dipenuhi air.

Setelah melihat air disembur ke atas rumput oleh dua orang pekerja, saya pun balik ke rumah. Dari rumah saya boleh nampak mereka bekerja. Tidak sampai sepuluh minit saya perhatikan dua pekerja tadi telah 'hilang' sedangkan paip dibiar mencurahkan air ke atas rumput tanpa kawalan. Saya melihat jam menunjukkan pukul 10.35 pagi. 

Rupa-rupanya mereka telah memasuki waktu rehat yang bermula dari 10.30 hingga 11.00 pagi. Tidak kira mereka memulakan kerja menyembur air ke atas padang pada pukul 10.20 pagi, waktu rehat mesti dipatuhi.

Tiba-tiba saya teringat, mana perginya orang seperti Jeba?

No comments: