Friday, May 31, 2013

Ingat tragedi Hillsborough?

Keadaan dalam stadium dulu-dulu.

Hillsborough ialah nama stadium pasukan bolesepak Seffield Wednesday yang musim sekarang bermain di Football League Championsip, England. Ia sama seperti nama Old Trafford untuk pasukan Manchester United dan Anfield untuk Liverpool. Nama Hillsborough tiba-tiba terkenal pada 15 April 1989 kerana berlaku satu kemalangan di stadium itu yang menyebabkan 96 orang mati dan 766 orang cedera. 

Sudah menjadi kebiasaan kepada Persatuan Bolasepak (FA) England untuk mengadakan perlawanan separuh akhir Piala FA mereka di stadium berkecuali dari pasukan-pasukan yang bertanding. Pada tarikh itu stadium Hillsborough dipilih untuk pertandingan antara Liverpool dengan Nothingham Forest. 

Memandangkan perlahannya penonton memasuki bahagian stadium yang dikhaskan untuk penyokong-penyokong Liverpool, pihak polis Sheffield telah membuka get khas untuk keluar (exit gate) untuk mengelakkan kesesakan di luar stadium. Bilangan ramai penonton yang datang dari luar telah mengasak penonton yang telah sedia ada dalam stadium. 

Malangnya di masa itu di kebanyakan stadium bolasepak di Great Britain terdapat jeriji besi yang memisahkan bahagian tempat duduk (dan berdiri) penonton dengan padang. Jeriji pemisah ini telah disyaratkan akibat kejadian-kejadian penonton merempuh masuk ke padang mengganggu permainan dan membahayakan pemain. 

Akibatnya penonton yang telah berada di hadapan dan berhampiran dengan jeriji telah diasak dari belakang menyebabkan kematian dan kecederaan tadi. Saya adalah antara jutaan penonton TV seluruh dunia yang melihat tragedi itu secara langsung.

Akibat tragedi itu jeriji pemisah di semua stadium yang mempunyainya telah ditanggalkan. Tempat penonton berdiri juga telah ditiadakan dan diganti dengan tempat duduk sepenuhnya. Walau pun ini boleh mengembalikan kejadian penonton memasuki padang ia difikirkan lebih selamat dari keadaan yang boleh mengancam nyawa.

Hujung minggu lepas saya melihat satu siaran langsung di stadium dalam negara kita sendiri yang mengingatkan saya kepada tragedi Hillsborough itu. Ia juga berlaku di pertandingan separuh akhir Piala FA kita sendiri antara Pahang Darul Makmur dengan Johor Darul Takzim. Cuma ia tidak berlaku di stadium berkecuali tetapi di stadium salah satu pasukan yang bertanding iaitu Stadium Darul Makmur, Kuantan, stadium untuk pasukan Pahang.

Entah macam mana diberitakan beberapa pintu masuk ke stadium telah dipecahkan dan penonton yang mengasak masuk, ada yang bertiket dan ada yang tidak. Oleh kerana tidak ada jeriji yang memisahkan bahagian penonton dengan padang, penonton yang tidak dapat tempat duduk telah melimpah ke dalam padang. Akibatnya perlawanan dibatakkan terus tanpa dimulakan.

Saya tidak tahu beberapa ramai yang ada dalam stadium itu dan juga yang menonton secara langsung di TV sedar akan tragedi Hillsborough. Saya perhatikan lebih 80 peratus penonton ialah anak muda belaka. Mungkin kebanyakan mereka belum lahir pada tahun 1989 bila tragedi itu berlaku.

Walau bagaimana pun kita semua patut bersyukur akibat tragedi Hillsborough tidak ada lagi kemalangan besar berlaku di stadium-stadium bolasepak seluruh dunia. Penonton yang cedera akibat dibaling botol air dan batu kecil tidak sama dengan 96 penonton yang hilang nyawa di hari tersebut.

No comments: