Tuesday, February 11, 2014

Antara 'Onederful Malaysia' dengan 'Taxman'.



Mungkin kerana saya terlalu minat kepada kumpulan muzik The Beatles saya sering membandingkan apa-apa yang berlaku di sekeliling saya kepada lagu-lagu mereka. Contohnya di awal bulan lepas bila saya mencapai umur 64 tahun saya bandingkan peristiwa itu dengan lagu 'When I'm Sixty Four'. 

Sekarang hebat dikatakan mengenai satu video yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Setapak Teresa Kok yang bertajuk 'Onederful Malaysia'. Apa yang saya difahamkan ialah video itu berbentuk jenaka untuk memberitahu situasi di negara kita sekarang. Ada yang mengutuk video itu sehingga sanggup menawarkan upah kepada sesiapa yang dapat 'menampar' Teresa Kok. Tidak kurang pula yang menyokong tindakan Teresa itu.

Ini mengingatkan saya kepada lagu 'Taxman' nyanyian The Beatles dan dicipta oleh pemain gitar utama mereka George Harrison. Lagu tahun 1966 itu menceritakan keadaan di Britain di mana banyak cukai dikenakan kepada jualan, perkhidmatan dan pendapatan. Apa yang menarik sekali dalam lagu itu ialah sebutan 'Taxman Mr. Wilson' dan 'Taxman Mr. Heath' iaitu nama dua orang Perdana Menteri Great Britain dari dau parti yang berlainan di zaman itu.

Perbezaan ketara antara video 'Onederful Malaysia' dengan lagu 'Taxman' ialah video itu mengatakan sebelah pihak sahaja iaitu kerajaan yang memerintah sekarang sedangkan lagu itu mengatakan kedua-dua belah pihak. Ini tidak hairan kerana Teresa Kok ialah seorang ahli politik dari parti yang menjadi pembangkang di peringkat nasional walau pun partinnya dan parti-parti yang berpakat dengannya memerintah beberapa negeri dalam negara ini.

Mungkin video 'Onederful Malaysia' Teresa Kok itu boleh diterima semua rakyat Malaysia tidak kira pemahaman politik mereka jika ia juga mengatakan juga mengenai negeri-negeri yang diperintah parti pembangkang itu. Sama seperti lagu 'Taxman' yang menyebut kedua-dua belah pihak.

No comments: