Sunday, March 22, 2015

Berilah hak kepada yang berhak.

Baru-baru ini saya terbaca seorang Ahli Parlimen mempertikaikan pembelian sebuah pesawat jet baru untuk VVIP negara. Katanya dalam masa ramai rakyat yang ditimpa banjir beberapa bulan yang lalu masih belum mendapat rumah baru, kerajaan sanggup menggantikan sebuah pesawat lama dengan yang baru dan hanya boleh dinaikki oleh beberapa orang kenamaan sahaja.

Cerita mangsa banjir yang belum mendapat rumah ganti ini juga dibangkitkan oleh seorang DJ yang akhirnya dikutuk kerana membandingkannya dengan pelaksanaan undang-undang Hudud di Kelantan. 

Ini mengingatkan saya kepada satu masa berpuluh tahun yang lalu di mana hak saya dan kawan-kawan sejawatan saya dinafikan.

Pihak pengurusan jabatan saya dulu iri hati dengan kumpulan sejawatan saya sehingga menafikan hak-hak kami. Contohnya kenaikan pangkat tidak diberi dan peluang untuk pergi kursus atau seminar ditahan terus. Peluang untuk berkursus ke luar negara jangan mimpilah.

Kemudian Kerajaan Malaysia memutuskan jawatan kami dinaik taraf. Sudah tentu ada kenaikan gaji dan kerana tarikh pelaksanaan dikebelakangkan (backdated) kami juga mendapat tunggakan gaji. Saya masih ingat jumlah tunggakan gaji saya ialah RM8,800.00 iaitu satu amaun yang tinggi di masa itu,

Jabatan saya tidak ada pilihan dari melaksanaan perintah kerajaan pusat ini walau pun ada seorang pegawai atasan yang memberi ugutan bodoh 'kami sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhak menolak atau menerima apa-apa arahan dari Kerajaan Pusat'. Saya cabar dia supaya melaksanakan ugutan itu. Dia terus mengadu kepada ketua eksekutif yang menambahkan lagi perasaan bencinya kepada kami.  

Gaji kami pun diselaraskan dengan hati yang berat dari pihak pengurusan. Tetapi bila sampai ke tunggakan arahannya ialah ia akan dibayar beransur-ansur sedangkan jabatan mempunyai wang untuk membayar sekali gus. Agaknya jabatan saya ialah satu-satunya jabatan kerajaan di Malaysia yang membayar tunggakan gaji kakitangannya secara beransur-ansur.

Jika beransur-ansur dengan ditetapkan kekerapannya tidak apa juga. Contohnya sebulan sekali atau dua bulan sekali. Tetapi ini tidak, Kami terpaksa menyembah seperti peminta sedekah untuk mendapatkan ansuran seterusnya.

Tiba-tiba kereta rasmi ketua eksekutif jabatan kami ditukarkan dari Mercedes 190 yang sudah berusia beberapa tahun ke Mercedes 200 yang baru, Seorang dari kami yang lantang suaranya terus berkata 'Tunggakan gaji kami tak boleh bayar, tapi kereta Mercedes boleh tukar baru'. 

Sudah tentu keluhan atau sindiran ini sampai ke telinga ketua eksekutif kami itu. Perasaan bencinya kepada kami pun bertukar dari retak menjadi belah. Tetapi Allah maha kaya kerana dia ditukarkan tidak lama selepas itu.

Selepas itu juga sikap iri hati pihak pengurusan kepada kumpulan kami mula reda. Peluang-peluang seperti naik pangkat dan berkursus di tarik balik embargo atau sekatannya. Sehinggakan saya sendiri berpeluang berkursus ke negara Jepun.

Kata orang doa orang yang ditindas dimakbulkan Allah. Ketua eksekutif yang saya sebutkan itu kemudian ditimpa barah atau kanser dan akhirnya meninggal dunia dalam perkhidmatan.

Oleh itu kepada mereka yang berkuasa saya menyeru supaya berilah hak kepada yang berhak.

No comments: