Karaktor-karaktor yang saya ingin ceritakan ini masih sihat walafiat sekarang dan saya tidak bermaksud apa-apa kepada mereka. Saya minta maaf jika ada diantara mereka yang tersinggung dari penulisan saya ini.
Di pejabat saya dulu ada tiga serangkai kawan baik yang saya gelarkan 3L berasaskan panggilan saya kepada mereka iaitu Mr. Lai, Mr. Lee dan Mr. Lim. Tetapi jangan salah sangka, bukan semua mereka berbangsa China jika dilihat dari nama-nama yang saya panggil itu.
Mereka bertiga ini dari golongan pegawai dan berkawan baik, walau pun berlain bangsa dan agama. Mereka minum pagi bersama-sama dan di pejabat pun biasanya mereka sering di lihat bersama-sama berkumpul di salah satu bilik mereka. Mereka patut menjadi contoh kepada perpaduan kaum di negara kita ini.
1. Mr. Lai.
Pada satu hari seorang berbangsa China datang ke pejabat saya dan ingin berjumpa dengan seorang bernama Mr. Lai. Saya jawab tidak ada orang bernama Lai di pejabat ini. Dia menjawab 'Orang semua panggil dia Lai'. Bila saya jawab tidak ada pegawai atau kakitangan berbangsa China bernama Lai di sini dia terus berkata 'Dia Melayu, bukan China'.
Barulah saya faham orang yang dimaksudkan ialah kawan saya bernama Rais. Sejak itu saya panggil Rais dengan nama Mr. Lai walau pun di pejabat dia dikenali sebagai Dato' Rais. Mr. Lai ialah yang paling tua dalam trio 3L ini dan merupakan ketua mereka. Oleh kerana Mr. Lai tidak tahu menggunakan komputer, Mr. Lee dan Mr. Lim banyak membantunya dalam kerja-kerja yang melibatkan komputer, seperti memasukkan gambar-gambar dan lain-lain.
Sekarang Mr. Lai sudah bersara seperti saya.
2. Mr. Lee.
Mr. Lee betul-betul berbangsa China dan itu jugalah panggilan pegawai dan kakitangan yang lebih muda darinya di pejabat, walau pun saya memanggilnya Lee sahaja. Satu keistemewaan Mr. Lee ialah kegigihannya bercakap dengan loghat Negeri Sembilan memandangkan kebanyakan kawan-kawan sepejabatnya berbangsa Melayu. Di sudut itu saya anggap dia berjaya dan dari itu juga trio 3L ini bercakap dalam loghat Negeri Sembilan sepenuh masa.
Sekarang Mr. Lee sudah bersara pilihan sendiri dan saya dikhabarkan dia ingin atau sedang mencebur diri di bidang perniagaan 'laundry'. Selamat berjaya, Lee.
3. Mr. Lim
Mr. Lim ialah yang termuda dari trio ini. Nama sebenarnya ialah Halim dan kawan-kawannya termasuk saya memanggilnya 'Lim' sahaja. Dia masih bertugas sekarang dan banyak memberi saya maklumat terkini mengenai pejabat. Sudah tentu dia terasa sedikit sunyi kerana ditinggal kawan-kawan baiknya Mr. Lai dan Mr. Lee.
Sekianlah cerita mengenai tiga kawan baik yang saya panggil Mr. Lai, Mr. Lee dan Mr. Lim.
No comments:
Post a Comment