Auditorium UPSI. Ia menggantikan Gimnasium SDAR yang telah dirobohkan.
Kelebihan pekan kecil seperti Tanjong Malim ialah pusat-pusat khidmatnyya berdekatan antara satu sama lain. Masjid Jamek berdepan dengan Balai Bomba. Sebelah masjid pula Balai Polis. Pejabat Pos cuma di belakang masjid. Stesen keretapi pula di depan Pejabat Pos. Cuma saya tidak faham kenapa terminal bas dipindahkan jauh ditepi Sungai Bernam. Mungkin kerana hendak memberi khidmat kepada penduduk Hulu Bernam, Selangor di seberang sungai sana.
Oleh itu, saya dan kawan-kawan yang baru sahaja mendengar ceramah, makan dan akhirnya solat Jumaat di Masjid Jamek boleh berjalan kaki ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk program kemucak 'reunion' kami. Tetapi kami yang hampir semuanya datang dengan kereta, menggunakan kenderaan sendiri untuk ke UPSI.
Di UPSI kami berkumpul di Auditorium. Walau pun Auditorium ini dibina selepas SDAR berpindah ke Seremban, ia memberi kenangan kepada kami. Kerana di tapak Auditorium inilah terletaknya Gimnasium SDAR dulu. Saya maih ingat item yang paling popular di 'gym' ini ialah 'Trampoline'. Sebenarnya saya takut untuk melompat atasnya. Saya hanya berani melopat setinggi setengah meter.
Sepanduk program.
Di sepanjang jalan dalam UPSI tergantung beberapa sepanduk seperti di atas. Gambar yang tertera itu ialah kawan satu kelas saya Dato' Seri Dr. Hilmi Yahya, Timbalan Menteri Kesihatan, Malaysia. Dia menjadi tetamu kehormat majlis ini. Di saat saya menaip ini Dr. Hilmi sedang berada di Arab Saudi kerana menghadiri 'The 6th Islamic Conference of Health'. Sementara itu Dato' Seri minum air sambil menyelam dengan menunaikan Umrah.
Mari saya ceritakan serba sedikit mengenai Dr. Hilmi. Hilmi yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang masuk SDAR pada tahun 1966 di Tingkatan Empat. Dia antara beberapa orang yang menggantikan kawan-kawan saya yang gagal dalam peperiksaan Lower Certificate of Education atau LCE. Itulah keadaan SDAR dulu, banyak kekurangan sehingga ada yang gagal di Tingkatan 3 lagi.
Dari awal lagi Hilmi telah menunjukkan sifat mulianya yang lemah lembut dengan sentiasa tersenyum. Dari itu kami lantik dia sebulat suara sebagai Ketua Kelas pada tahun 1967 di Tingkatan Lima. Dia kemudian berjaya masuk ke Tingkatan Enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak, dan kemudian berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya di bidang perubatan.
Setelah berjaya menjadi doktor beliau berkhidmat wajib di hospital kerajaan dan kemudian membuka klinik sendiri di Balik Pulau. Setelah beberapa tahun membuka klinik, pada satu hari beberapa orang ahli UMNO telah datang berjumpanya dengan tujuan memintanya bertanding di Pilihanraya Umum, untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Kata mereka 'Kalau doktor tidak bertanding, kami akan kalah'.
Dari situlah bermula kerjaya politik Dr. Hilmi Yahya. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang di bawah Dr. Koh Tsu Koon sebelum bertanding kerusi Parlimen untuk bertugas di peringkat Persekutuan pula. Beliau yang menyimpan sifat lemah lembutnya sehingga sekarang tidak menyangka akan masuk bidang politik. Memang semasa sekolah dulu kami tidak menyangka Hilmi akan jadi seorang ahli politik.
Mungkin sifat semula jadinya yang merendah diri membuatkan Hilmi belum lagi sampai ke peringkat Menteri penuh walau pun ada beberapa orang pelajar SDAR yang junior darinya sudah sampai ke peringkat itu. Tetapi Dato' Seri Dr. Hilmi Yahya tetap seperti Hilmi yang saya kenal 50 tahun yang lalu. Dia masih ingat dan hormatkan kawan-kawan sekolahnya, apa lagi kawan-kawan sekelasnya seperti Md Shah, Zohary dan saya.
Antara program di Auditorium ini ialah adalah seperti berikut:
Antara program di Auditorium ini ialah adalah seperti berikut:
- Pelancaran Buku SDAR: MEMORI TANJONG MALIM
- Penyerahan Plak kepada UPSI menyatakan SDAR pernah berada di sini.
- Penyerahan Plak kepada SDAR Seremban memberitahu orang di sana bahawa SDAR pernah berada di Tanjong Malim, Perak.
Berikut saya sertakan gambar-gambar program itu mana yang boleh.
Sepanduk depan Auditorium.
Pandangan dari galeri.
Antara yang hadir. Ada yang sudah menukar pakaian dari baju Melayu yang dipakai di masjid tadi.
Ada yang membawa keluarga.
Ada yang masih memakai baju Melayu.
Yang berbaju putih kawan sekelas saya Md Shah Bachik, asal dari Gemencheh dan sekarang menetap di Tampin, Negeri Sembilan.
Dato' Ghani Sulaiman. Saya sering berjumpa dengannya sekarang kerana dia menjadi Yang Di Pertua, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Negeri Pahang.
Orang-orang kuat program.
Cikgu Soh Kai Yin (SKY), Leonard Wee dan Zaleha. Saya sudah meninggalkan SDAR semasa cikgu Zaleha datang mengajar.
Yang bertongkat itu cikgu Dato' Abdul Razak Ator, asal dari Pahang. Dia Penolong Kanan semasa saya di SDAR.
En. Muhammad Zu Shimalain, Kurator Muzium Pendidikan Nasional yang bertempat di UPSI. Dia ada datang ke rumah saya setelah membaca blog saya. Jika tidak, dia tidak tahu bahawa SDAR pernah berada di UPSI. Saya ucapkan terima kasih padanya kerana masukkan bahan-bahan SDAR di Muzium itu.
Bukti saya ada dalam majlis.
Dr. Hilmi menyerahkan plak kepada Pengetua SDAR Seremban untuk diletakkan di SDAR sekarang memberitahu bahawa SDAR pernah berada di Tanjong Malim.
Ini pula plak untuk diletakkan di UPSI untuk memberitahu 'SDAR WAS ONCE HERE'.
Penghargaan kepada cikgu Abdul Razak Ator. Memang tepat situasinya kerana cikgu Razak pernah mengajar Hilmi dan saya.
Penghargaan kepada cikgu Soh Kai Yin yang menetap di Tanjong Malim. Dia mengajar di SDAR dalam tempoh saya di sana,
Penghargaan kepada cikgu Leonard Wee, walau pun agak garang tetapi baik orangnya. Saya rasa Mr. Wee ialah guru lama SDAR yang paling popular.
Itu saya betul-betul sebelah kiri Mr. Wee di tahun 1962.
Ini cikgu Wong Foo Keong, mula mengajar di SDAR selepas saya keluar, kemudian terus mengajar di SDAR Seremban sehingga bersara Sekarang menjadi ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Negeri Sembilan di mana saya ialah Setiausaha. Saya penah berkata padanya 'In school I listen to you, but in this association you listen to me'.
Penghargaan kepada En. Shaari, dia pekerja pejabat SDAR di Tanjong Malim dan Seremban. Sekarang menetap di Panchor, Seremban.
Kawan-kawan saya ada lagi program di waktu malam dan esoknya 2 Disember 2017. Tetapi bagi saya pengalaman satu hari di Tanjong Malim, Perak pada 1Disember 2017 tidak boleh dilupakan.
No comments:
Post a Comment