Saturday, December 9, 2017

"Saya nak tengok apa dia boleh buat".

Walau pun saya tidak pernah bermain bolasepak, tidak bermakna saya tidak pernah terlibat dalam sukan ini. Saya pernah mengurus pasukan jabatan saya Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Saya juga pernah menjadi Ahli Majlis, Persatuan Bolesepak Negeri Sembilan.

Antara pengalaman saya menguruskan pasukan bolesepak adalah seperti berikut: Apabila seorang pengurus atau jurulatih mana-mana kelab itu diganti, orang yang digantikan itu terus tidak terlibat lagi dengan kelab yang pernah diurus atau dilatihnya. Alangkah baik, jika dengan pengalamannya dia memabntu orang baru.

Ini tidak. Bila saya terserempak dengan orang lama dan bertanya kenapa dia tidak terlibat lagi dengan pasukan kelabnya, jawapan yang biasa saya dengar ialah "Saya nak tengok apa dia boleh buat". "Dia" yang dimaksudkan ialah orang yang sekarang telah mengambil alih tugasnya. Ungkapan itu pula bernada negatif. Maksudnya orang lama itu berharap orang baru tidak akan melebihi kejayaannya.

Jika setakat "tengok" tak apa juga. Yang amat bahaya ialah bila orang lama itu mensabotaj orang baru. Antara caranya ialah meminta pemain-pemain supaya tidak bermain bermatian-matian untuk orang baru.  

Saya takut itulah situasi yang berlaku kepada bolesepak negara kita Malaysia sekarang. Kita tahu teraju Persatuan Bolasepak Malaysia yang lebih dikenali sebagai FAM telah diambil alih oleh Tunku Ismail Ibrahim yang lebih dikenali sebagai TMJ untuk Tunku Mahkota Johor.

Antara tugas pertama TMJ sebagai Presiden FAM ialah melalntik jurulatih baru untuk pasukan negara yang diberi jolokan Harimau Malaya. Sudah tentu TMJ melantik seorang yang boleh bekerja dengannya.

Tetapi baru-baru kita dikejutkan dengan perletakan jawatan jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada, seorang warganegara  Portugis. Dua orang pembantunya juga turut sama meletakkan jawatan. Sebab utama mereka berhenti ialah Harimau Malaya tidak menang satu permainan pun di bawah mereka. 

Adakah orang-orang lama FAM pernah berkata "Kami nak tengok apa mereka boleh buat" dengan nada negatif? Tak tahulah saya. 

Saya pun hendak tengok apa mereka boleh buat. Cuma saya mahu lihat siapa yang dilantik sebagai jurulatih baru menaikkan lagi mutu bolesepak negara yang malap sekarang.

Sekian.

No comments: