Tuesday, June 12, 2018

Mereka ada duit, Y.A.B.


Satu dari punca air di Negeri Sembilan.

Saya tertarik membaca cerita Y.A.B. Tuan Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri terkejut bila mendapat tahu Syarikat Air Negeri Sembilan atau SAINS sanggup memberi air percuma kepada penduduk Negeri Sembilan. Sila baca Menteri Besar Negeri Sembilan terkejut

Mengikut berita itu, Y.A.B. Menteri Besar berkata mestilah SAINS mendapat keuntungan besar kerana sanggup menawarkan air percuma itu. Saya nyatakan di sini, saya tidak ragu-ragu terhadap keuntungan SAINS, kerana saya secara langsung menyumbang kepadanya.

Walau pun sudah bersara, saya bekerja dengan satu badan bukan kerajaan atau NGO. Kebetulan NGO saya mempunyai premis sendiri, jadi tidak payahlah kami menyewa apa-apa ruang pejabat. Cuma setiap bulan kami membayar untuk utiliti berupa bekalan elektrik, telefon, pembentungan dan bekalan air. 

Saya anggap bayaran untuk bekalan elektrik, telefon dan pembentungan agak memadai. Cuma bayaran bekalan air kepada SAINS yang saya tidak berpuas hati. 

Setiap bulan kami membayar RM 15.90 sebulan untuk bekalan air. Ini kira-kira 60% lebih dari bil air untuk rumah saya, sedangkan penggunaannya saya kira cuma 5% dari air yang saya guna di rumah. Saya cuma menggunakan air untuk pergi ke tandas dan membuat sedikit air minuman. Mesyuarat Jawatankuasa pula diadakan tiga bulan sekali.  

RM 15.90 pula adalah bayaran minima. Bil air pejabat saya tidak pernah melebihi dari itu. Kenapa begitu? Kerana pejabat saya terletak di bangunan kedai. Mengikut SAINS bayaran minima bekalan air untuk rumah kedai ialah RM 15.90, tidak kira ia digunakan untuk tujuan apa.

Saya tidak terkejut jika kadar minima RM 15.90 itu dikenakan kepada mana-mana unit rumah kedai yang menjalankan perniagaan. Tetapi NGO saya ialah untuk tujuan kebajikan, jadi tidak berbaloi jika kami dikenakan bayaran begitu. 

Saya telah membuat aduan kepada SAINS, tetapi itulah jawapan mereka. Alternatif bagi NGO seperti kami ialah menjalankan kegiatan di rumah-rumah kediaman. Tetapi ini sudah tentu menyalahi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT.

Saya kira tentu beratus, atau mungkin beribu pejabat-pejabat di Negeri Sembilan membayar bayaran bil air yang melebihi kadar kegunaan sebenar. Sudah tentu SAINS mendapat keuntungan besar dari hasil ini.

Jadi Y.A.B., jangan bimbang. Syarikat Air Negeri Sembilan mempunyai cukup dana untuk memberi air percuma kepada penduduk negeri Y.A.B. 

No comments: