Sunday, October 28, 2018

Nangka madu Hj. Mad Don (dibantu oleh Hj. Doin).

Saya dipandu Hj. Doin menunju ke Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan.

Kami ke Lenggeng melalui Pantai.

Papan tanda arah di pekan Lenggeng.

 Hj. Doin dan Hj. Mad Don.

Pandangan dusun Hj. Mad Don.

 Nangka Hj.  Mad Don baru dipetik.

Nangka madu sudah sampai ke rumah saya.

Lebih kurang 200 meter dari rumah saya tinggal seorang bernama Rahim bin Hashim. Seperti saya, dia sudah bersara dan sudah menunaikan fardu Haji. Tetapi dia menggelar dirinya sebagai Hj. Doin dan kami pun memanggilnya begitu.

Kami sering berjumpa di surau taman kami. Satu kelainan Hj. Doin dari jemaah yang lain ialah dia selalu bertanya kepada ustaz yang memberi kuliah selepas solat Maghrib. Kadang-kadang ini tidak menyenangkan juga, maklumlah kami hendak segera balik ke rumah selepas solat Isya'. Ustaz juga ada yang datang dari jauh.

Saya tahu Hj. Doin pernah mengajar di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Seremban. Tetapi saya pada mulanya tidak mahu menonjolkan hubungan saya dengan SDAR kepadanya sehinggalah baru-baru ini.

Hj. Doin mempunyai seorang kawan bernama Hj. Mad Don, juga seorang pesara guru yang tinggal di satu taman perumahan di Paroi, Seremban. Hj. Mad Don mempunyai satu dusun nangka madu di Kg. Sg. Machang, Lenggeng, Seremban. 

Lenggeng dan Paroi amat dekat dan Hj. Mad Don boleh dikatakan pergi ke dusunnya setiap hari. Semasa tinggal di Paroi juga dulu, saya sering melalui Lenggeng apabila hendak ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.

Hj. Doin telah mewar-warkan mengenai nangka madu Hj. Mad Dom kepada penduduk taman perumahan kami melalui aplikasi Whatsapp. Beliau sanggup menerima pesanan dari kami dan membeli buah-buah itu di dusun Hj. Mad Don. Beberapa orang dari kami telah membuat pesanan dan Hj. Doin menunaikan nya. 

Saya nyatakan tidak sanggup membeli sebuah nangka kerana saya cuma tinggal berdua dengan isteri. Hj. Doin menawarkan memberi beberapa ulas nangka madu kepada saya untuk dirasa. Semasa pemberian itulah saya ceritakan rahsia saya kepada Hj. Doin, iaitu saya bekas murid SDAR.

Sudah tentu Hj. Doin terkejut dengan pencerahan saya itu. Dia pun menyiarkan fakta itu kepada ahli-ahli kumpulan Whatsapp kami, walau pun ramai dari kami sudah tahu fakta itu, melalui pos-pos saya di Facebook.

Rupa-rupanya Hj. Doin lebih lama berada di SDAR dari saya. Dia mengajar Bahasa Inggeris selama 18 tahun di SDAR. 15 tahun di Sikamat dan 3 tahun di Sungai Gadut. 

Sejak mengetahui saya seorang Sdarian, Hj. Doin juga sering menulis dalam Bahasa Inggeris kepada saya dalam Whatsapp secara langsung atau hebahan kepada ahli-ahli kumpulan. Malu juga rasanya saya membalasnya dalam Bahasa Inggeris, takut dianggap berlagak.

Apabila saya memohon mengikutinya ke dusun Hj. Mad Don, Hj. Don dengan senang hati merelakan. Dari itu pada satu pagi di minggu lepas saya mengikuti Hj. Doin ke dusun nangka madu Hj. Mad Don. 

Di dusunnya saya mengetahui Hj. Mad Don pernah berjiran dengan seorang sepupu saya. Saya ingat sangat dengan nombor rumah yang pernah disewa oleh sepupu saya itu kerana nombor itu ialah nombor model kapalterbang. Bila Hj. Mad Don memberikan nombor rumahnya yang cuma lari satu digit dari model kapalterbang itu, dia terperanjat bila saya tanyakan adakah dia pernah berjiran dengan sepupu saya?

Memikirkan anak-anak akan balik ke Seremban pada hujung minggu ini saya telah nyatakan ingin membeli sebuah nangka madu dari Hj. Mad Don. Tetapi Hj. Mad Don enggan mengambil duit saya dan menghadiahkan buah itu kepada saya.

Di atas ialah cerita bergambar saya pergi ke dusun Hj. Mad Don. Malangnya saya dan keluarga belum dapat merasai nangka madu itu kerana ia belum lagi masak.

Untuk sesiapa yang ingin ke dusun Hj. Mad Don berikut ialah kordinatnya: 2.856100 101.909878.

No comments: