Saturday, September 14, 2019

Tongkat bukan sekadar untuk 'menipu'.

Dalam koc KTM Komuter kegemaran saya dari Seremban ke Bandar Tasik Selatan. 

Saya rasa agak kesal dengan sikap segelintr penumpang KTM Komuter, MRT dan LRT terhadap saya bila saya menaiki pengangkutan awam tersebut selama ini. Bila saya tidak dapat tempat duduk, golongan mereka yang menawarkan tempat kepada saya amat sedikit. Dari itu saya terfikir untuk 'menipu' mereka dengan memakai tongkat di perjalanan saya seterusnya.

Pagi tadi saya ke PWTC untuk satu program yang tidak payah saya ceritakan  apa dia. Walau pun saya ditawarkan untuk menaiki bas ke sana, saya memilih pengangkutan yang saya sebutkan itu. Ini juga peluang untuk saya menggunakan tongkat alumunium peninggalan arwah emak saya.  


SEREMBAN KE BANDAR TASIK SELATAN.

Dari pengalaman saya, perjalanan akan lebih cepat jika penumpang KTM Komuter dari Seremban turun di stesen Bandar Tasik Selatan. Dari situ kita teruskan perjalanan ke PWTC dengan LRT.

Setelah 'top-up' kad perjalanan warga emas KTM di stesen Seremban, seperti biasa saya menunggu di mana koc kedua dari hadapan berhenti. Dari itu saya dapat satu tempat duduk kosong menghala ke hadapan. Tongkat tidak diperlukan di sini. 

Sudah ada beberapa penumpang dari Kuala Pilah yang juga hendak ke PWTC. Mereka bijak kerana memilih untuk naik di Sungai Gadut. Cuma mereka tidak tahu akan kelebihan turun di Bandar Tasik Selatan. Kebetulan tren komuter kami sampai ke KL Sentral sahaja dan mereka terpaksa naik satu lagi tren komuter ke stesen Putra.

Mereka dari Kuala Pilah dan naik di stesen Sungai Gadut.

BANDAR TASIK SELATAN KE PWTC.

Oleh kerana saya juga mempunyai satu kad warga emas 'myrapid' yang sudah di top-up saya tidak membuang masa untuk ke platform LRT di Bandar Tasik Selatan. Di situ saya berjumpa sekumpulan penumpang dari Johor yang menaiki bas ekspres hingga ke Terminal Bersepadu Selatan. Mereka juga hendak ke PWTC.
Di stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Mereka dari Johor. 

Bila tren sampai saya terus dapat tempat duduk. Sekali lagi tongkat tidak diperlukan. Di stesen-stesen seterusnya ramai penumpang berbaju putih menaiki LRT yang sama.
Dalam LRT. Cuba perhatikan ada rajah orang tua bertongkat di sebelah atas tu.

PWTC.

Bila sampai di stesen PWTC saya dapati ada lagi kegunaan tongkat. Di 'escalator' dia bertindak sebagai kaki ketiga atau 'stabiliser'. Oleh itu saya tidak perlu berpegang kepada pemegang getah yang sama-sama bergerak di tepi 'escalator' itu.'
Dalam jejantas antara stesen LRT PWTC dengan PWTC. Di sini saya sudah belajar akan kegunaan tongkat.

Tongkat juga menjadi kaki ketiga saya bila menaiki dan menurun tangga di PWTC. Saya tidak perlu berpegang kepada apa-apa lagi. Bila berdiri lama di PWTC untuk mendengar ucapan demi ucapan, tongkat menjadi kaki ketiga sekali lagi. Oh, mengapa saya tidak tahu tentang perkara ini dalam hidup saya? 
Suasana dalam PWTC. Tongkat membantu saya berdiri.

PWTC KE MALURI.

Setelah berpuas hati apa yang saya cari di PWTC sudah didpati, saya bercadang melalui laluan terbalik dari yang apa saya tempuhi pagi tadi untuk balik ke Seremban. Di stesen PWTC saya naik LRT yang menuju ke Ampang. Tongkat berguna sebagai kaki ketiga kerana 'escalator' yang naik ke landasan rosak. Tetapi ia tidak berguna untuk mendapatkan tempat duduk kerana penumpang tidak ramai.

Tak apalah jika kena bertukar tren di stesen Chan Sow Lin pun. Tetapi di tengah jalan saya tukar fikiran untuk turun di sesen Maluri.

Di stesen Maluri tongkat berguna menjadi 'stabiliser' bila saya menuruni 'escalator' yang pajang untuk turun ke stesen MRT.

MALURI KE KAJANG.

Tren MRT ke Kajang sampai setelah saya menunggu empat minit. Sekali lagi tongkat tidak berguna. Ia cuma berguna di stesen Kajang untuk mengimbang badan saya apabila menuruni dua 'escalator' ke landasan KTM di aras paling bawah.
Di stesen MRT Maluri.

Dalam MRT. Pergerakan saya sudah bebas.

KAJANG KE SEREMBAN

Saya cuma menunggu sepuluh minit untuk KTM Komuter ke Seremban. Di stesen itu saya berkenalan dengan seorang lelaki Melayu yang muda dua tahun dari saya. Dia hendak ke Seremban untuk melawat kawan sekolahnya yang tidak sihat.

Bila tren sampai saya perhatikan ramai yang berdiri. Saya tiba-tiba terfikir, mungkin ini peluang saya untuk 'menipu' dengan menggunakan tongkat.

Bila saya masuk saja ke dalam tren (koc kedua dari hadapan) tiba-tiba dua orang pemuda (seorang Melayu dan seorang Cina) bangun memberi tempat duduk mereka kepada kami. Saya rasa bersalah sedikit kerana terasa tidak adil mendapat tempat duduk cara itu.

Sepanjang perjalanan dari Kajang ke Seremban saya asyik berborak dengan kawan yang baru saya kenal itu. Rupa-rupanya di seorang arkitek yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan juga, tetapi sekarang menetap di Rawang, Selangor. Dia menaiki MRT yang saya naiki tadi dari Sungai Buloh. Tetapi inilah kali pertama dia naik KTM Komuter ke Seremban.

Bila saya bertanya 'toboh mano' dia hendak pergi ke Seremban, jawapannya Taman Seremban Jaya. Dari stesen Seremban dia bercadang untuk menaiki Grab.

Saya nasihatkannya supaya turun di stesen Senawang sahaja. Dari situ ke rumah kawannya lagi dekat. Dia mendengar nasihat saya dan tidak jadi turun di stesen Seremban.

Akhirnya dalam kesal saya kerana 'menipu' untuk mendapatkan tempat duduk di KTM Komuter, saya merasa puas kerana dapat menolong seorang yang baru saya kenal.

Jika dia turun di stesen Seremban tentulah belanja untuk naik Grab ke Taman Seremban Jaya lagi mahal. Naik teksi jangan ceritalah.

Sekian. 

No comments: