Tuesday, October 1, 2019

Salah tempat nak letak notis.

Ini 'cashier counter' sebenarnya. Notis sepatutnya diletakkan di pam minyak, bukan di sini.

Mula-mula saya minta maaf jika pos saya kali ini dianggap tidak relevan. Semasa saya kerja dulu saya banyak mengeluarkan notis. Tetapi oleh kerana jabatan saya ada menggaji mereka yang berjawatan 'Penyerah Notis', merekalah yang menyerahkan notis-notis itu. Tetapi sebelum itu saya ajar mereka di mana hendak menampalkan notis-notis berkenaan. 

Contohnya jika notis ditujukan kepada pelanggan kedai ia patut diletakkan di mana pelanggan boleh membacanya apabila mereka hendak masuk ke dalam kedai. Tidak guna jika notis ditampal di pejabat taukeh kedai atau di pintu setor. Contoh paling baik sekarang ialah notis melarang merokok dalam premis makanan.

Pagi tadi saya mengisi minyak skuter saya. Seperti biasa saya terus ke pam dan manggunakan kad bank. Di pam pertama tidak berjaya. Yakin kerana masalah bukan dari kad, saya pun berpindah ke pam kedua. Sama juga, kad tidak diterima. Saya pun memandang ke kaunter bayaran sambil melambai kad bank. Pekerja kaunter atau 'cashier' melambai saya ke kaunter.

Tanpa membaca apa yang tertulis di ruang atas kepalanya saya bertanya kenapa kad tidak boleh diguna? Dia pun menunjuk kepada notis di ruang atas kepalanya itu.  Sebenarnya ada dua notis, satu dalam Bahasa Melayu dan satu lagi dalam Bahasa Inggeris.

Walapun pun notis-notis itu menerangkan maksudnya dengan jelas, bagi saya ia diletak di tempat yang salah. Pelanggan dikehendaki membayar tunai di kaunter bayaran. Tetapi notis diletak di kauner bayaran tersebut. Kenapa tidak diletak di pam?

Syukurlah pagi tadi 'mood' saya baik, oleh kerana saya juga hendak menggunakan mesin ATM di belakang 'cashier counter' itu. 

Sekian. 

No comments: