Thursday, February 6, 2020

Bukan setakat menyejukkan injin.

Perhatikan ada tiga lubang di radiator ini. Lubang besar ialah untuk laluan air dan lubang-lubang kecil untuk laluan ATF atau Autamatic Transmission Fluid.

Setelah menggunakan beberapa kereta bergear manual, pada tahun 2002 saya tukar ke kereta Proton Waja 1.6 Automatik. Itu pun kereta sudah diguna atau 'used car' dan pengguna asalnya seorang perempuan berbangsa Cina. 

Kawan-kawan se pejabat saya terkejut juga bila saya menunjukkan kereta baru saya yang sebenarnya satu kereta lama. Lebih-lebih lagi empat kereta saya sebelum itu ialah kereta baru belaka.

Biasalah bebarapa item kereta sudah ditukar. Contohnya pam air dan keempat-empat 'power window'. Radiator pun baru ditukar sekali. Begitu juga beberapa 'bush' dan semua 'shock absorbers'. 

Beberapa hari ini saya perhatikan minyak gear atau Automatic Transmission Fluid (ATF) kereta didapati bocor. Bimbang akan perkara yang tidak pernah berlaku ini, saya berjumpa dengan mekanik biasa saya. 

Dia jawab tak boleh buat kerana melibatkan kotak gear automatik. Dia pun menalipon seorang pakar gear automatik yang sanggup membaikinya. Tetapi saya kena menunggu kebih kurang seminggu kerana ramai pelanggan menunggu. Katanya kotak gear perlu di'overhaul' dan kosnya mencecah lebih RM 800. Saya jawab tak apalah, saya boleh tunggu, cuma saya kena pastikan paras ATF kereta saya tidak turun.

Semalam saya bawa kereta ke tempat kerja dan apabila balik saya dapati keadaan bertambah teruk dan paras ATF sudah turun mendadak. Sekali lagi saya pergi ke mekanik dan minta dia tambah ATF.

Setelah ATF ditambah dan kereta dihidupkan enjin, ATF bercampur air mencurah keluar. Campuran itu pula keluar dari tangki rezab radiator buatan plastik itu. Mekanik pun panik dan sekali lagi menalipon pakar kotak gear automatik.

Pakar menjawab paip laluan ATF dalam radiator bocor. Ini menyebabkan ATF bercampur dengan air radiator dan lebihan keluar melalui tangki rezab radiator.

Cara membaikinya cuma satu iaitu radiator kena ganti kerana kebocoran bukan berlaku di badan radiator tetapi di saluran laluan ATF di dalamnya. Jadi bukanlah masalah kotak gear sebenarnya.

Baru saya tahu fungsi radiator bukan sahaja untuk menyejukkan injin, tetapi kotak gear automatik juga. Ini dengan membenarkan ATF lalu di dalam radiator melalui saluran khas. Mekanik saya kata ini cuma terdapat di kereta automatik, tidak di kereta manual.

Sekian.  

No comments: