Thursday, March 12, 2020

Jangan terus percaya kepada WAZE.

Mesyuarat lewat setengah jam kerena boss saya (bersongkok) sesat di satu ladang kelapa sawit.

Hampir tiga puluh tahun lalu saya ke Alor Setar, Kedah menghantar sepupu kepada isteri saya yang berkahwin di sana. Di masa itu mana ada petunjuk GPS seperti GARMIN dan WAZE. Di masa itu juga Lebuhraya Utara Slatan atau PLUS belum dibina sepenuhnya.

Saya semata-mata mengekor biras saya yang membawa van FORD ECONOVAN. Pada mulanya dia berkata akan masuk 'jalan-jalan kampung'. Di utara negeri Perak dia menyimpang ke kanan ke negeri Kedah. Dia sudah biasa dengan jalan-jalan di negeri Kedah, rupanya.

Saya perhatikan nombor-nombor jalan di situ bermula dengan huruf  'K' dan dengan sendirinya tahu ia jalan-jalan negeri (Kedah). Rupa-rupanya inilah yang diamaksudkan 'jalan-jalan kampung' itu. Sebahagian jalannya juga tidak begitu baik. Sekurang-kurangnya tidaklah sebaik jalan-jalan negeri di Negeri Sembilan dan Melaka.

Saya terpaksa mengikut rentak biras saya itu, takut hilang dan sesat. Ini menyebabkan kereta saya 'melambung' beberapa kali. Di masa itu juga tidak ada telefon bimbit untuk saya menghubungi biras saya supaya memandu perlahan sedikit, sekurang-kurangnya mengikut rentak biasa saya.

Arwah mertua lelaki saya bimbang kerana kebanyakan penumpang di van itu ialah anak-anak kami yang masih kecil, tetapi mereka rupanya amat suka dapat bersama menaiki van, walau pun terpaksa 'melambung'. Budak-budak itu sekarang sudah menjadi mak-mak dan bapak-bapak budak.

Arwah mertua perempuan saya pula asyik mengadu 'JKR sini tak buat kerja ke?' Saya ingin menjelaskan jalan-jalan yang kami lalui itu ialah jalan-jalan negeri, jadi tidaklah sebaik jalan Persekutuan.

Tetapi saya tidak berkata apa-apa kerana menjangkakan dia akan menjawab 'Kenapa di Melaka semua jalan baik belaka?'. Oh ya, kampung isteri saya ialah di Merlimau, Melaka dan semua orang tahu jalan-jalan di Melaka baik-baik belaka, baik jalan negeri atau Persekutuan.

Tengah hari semalam saya merasai menyusur jalan-jalan negeri (Negeri Sembilan) dan Persekutuan dari Seremban ke Gemas dan balik. Kerana sekarang sudah ada aplikasi WAZE di telefon pintar, awal-awal lagi saya cari tempat yang saya hendak tuju itu.

Tetapi saya dapati apa yang ditunjuk kepada saya oleh WAZE adalah salah. Jika saya ikut apa yang ditunjuk, perjalanan saya akan berakhir di satu ladang kelapa sawit. Oleh kerana sudah berpengalaman menggunakan alat GARMIN untuk beberapa tahun sebelum bertukar kepada WAZE, saya cari tujuan alternatif yang paling hampir.

Saya dapati WAZE mengarahkan saya melalui Kuala Pilah untuk ke Gemas. Dari Kuala Pilah saya diarahkan menyusur beberapa jalan negeri sebelum keluar di Rompin, Negeri Sembilan. Dari situ saya akan menyusur Laluan Persekutuan ke Gemas.

Oh ya, saya pergi ke Mesyuarat Agung Persatuan Pesara saya di Gemas. Saya membawa isteri dan seorang kawan Jawatankuasa. Kawan saya ini seorang pesara guru yang berasal dari Kuala Pilah dan pernah mengajar di Gemas. Dia meminta saya melalui Gemencheh. Tetapi saya kata hendak ikut arahan WAZE 100%. 

Saya juga ingin mencuba kereta Honda Accord yang saya baru beli dari kawan baik saya beberapa hari yang lepas. Untuk itu juga, saya letakkan isteri saya duduk di belakang, kerana kereta itu mempunyai 'arm rest'. Saya perhatikan dia cukup selesa duduk di situ.

Yang Di Pertua kami pula sesat sebelum sampai ke Gemas. Ini kerana dia mengikuti 100% arahan WAZE. Seperti saya jangka, WAZE mengarahkannya pergi ke satu ladang kelapa sawit. 

Untuk perjalanan balik, saya menyusur laluan yang dicadang oleh kawan saya itu. Oleh kerana saya merekodkan kedua-dua perjalanan pergi dan balik, saya dapati perjalanan yang diarahkan oleh WAZE, (laluan pergi) adalah paling dekat dan paling pantas dari laluan-laluan lain.

Laluan-laluan lain yang saya maksudkan termasuk melalui Bahau dan Tampin menyusur laluan Persekutuan sepenuhnya. Dari perhatian saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jalan-jalan negeri di Negeri Sembilan tidak kurang mutunya dari laluan-laluan Persekutuan.

Nasihat saya untuk mereka yang ingin memandu melalui Negeri Sembilan ialah:
  1. Susurlah mana-mana jalan pun, kerana jalan-jalan Negeri sama baiknya dengan laluan Persekutuan, jika tidak lebih baik.
  2. Jika hendak menggunakan bantuan WAZE, sila semak sebelum perjalanan. Pastikan tempat tujuan adalah betul.
Sekian.

No comments: