Wednesday, April 21, 2021

KENAPA MALAYSIA?


Saya sedang menonton siri 'El Chapo' dari NETFLIX. 'El Chapo' ialah Bahasa Spanish yang bermaksud 'Si Pendek'. Itulah gelaran kepada seorang 'drug lord' atau raja dadah (dia terlalu berkuasa untuk hanya digelar pengedar dadah) bangsa Mexico yang di saat ini sedang merengkok di satu penjara di Amerika Syarikat (USA).

Siri El Chapo dikeluarkan oleh satu syarikat TV USA berbahasa Spanish, dan pelakonnya hanya berbahasa Inggeris jika ia berlakon sebagai seorang agen DEA. Biasalah seperti siri TV atau filem barat yang berasaskan kejadian sebenar, banyak ceritanya ditokok tambah, kononnya mendrama atau 'dramatise' cerita itu. Kalau kita baca sejarah El Chapo, ia tidak seperti diceritakan dalam siri TV itu.

Contohnya El Chapo tidak pernah berhasrat untuk membina satu makmal dadah di luar Mexico. Tetapi di siri TV itu dia berhasrat untuk membina satu makmal dadah gergasi di satu negara di benua Asia bernama MALAYSIA (MALASIA dalam Bahasa Spanish). Negara kitalah yang dimaksudkan itu.

Dia telah menghantar seorang anak buahnya untuk mencari tempat untuk membina makmal dadah gergasi itu. Oleh kerana setahu saya Malaysia tidak mempunyai ladang tanaman pokok yang menghasilkan dadah seperti heroin dan cocaine, sudah tentu bahan mentah itu akan didatangkan dari negara-negara jiran. Untuk itu, disebut perkara import export sudah diselesaikan dengan pihak kastam Malaysia. Malah El Chapo ditunjukkan datang sendiri ke Malaysia untuk melihat bakal projeknya.

Walau pun dalam siri TV itu ditunjukkan El Chapo telah membatalkan hasratnya untuk membina makmal yang dicadangkan, soalnya bagaimana dari beratus negara dalam dunia ini, pihak TV USA itu memilih Malaysia sebagai negara yang boleh disebut sebagai negara memproses dadah tersbesar di dunia. Tidakkah mereka tahu bahawa undang-undang dadah di negara kita ini amat ketat?  

Dari tempoh siri itu dikeluarkan, iaitu dari tahun 2017 hingga 2018, kita mungkin dapat jawapannya. Itulah tempoh di mana cerita 1MDB hebat disebut di seluruh dunia. Beberapa tahun sebelum itu, dua orang warganegara Malaysia bernama Riza Aziz dan Jo Lho terlibat dalam pengeluaran filem bertajuk 'The Wolf of Wall Street' di Hollywood, USA. 

Kalau kita tengok atau baca cerita raja-raja dadah di dunia ini seperti Pablo Escobar dari Colombia, mereka boleh berlagak sebagai raja kerana rasuah. Dalam siri El Chapo, antara penerima rasuah ialah Polis, Tentera, Warden Penjara, Datuk Bandar, Governor dan Presiden sendiri. Mungkin pengeluar siri El Chapo beranggapan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia pun dua kali lima dengan mereka yang disebut itu.

Jadi kerana Malaysia sudah terkenal dari cerita 1MDB yang melibatkan rasuah itu, kenapa tidak ditambah dengan cerita Malaysia bakal menjadi pengeluar dadah terbesar di dunia, walaupun hasrat itu dibatalkan?

2 comments:

Anonymous said...

Saya pun menonton sisi El Chapo ni. Terkejut saya terdengar nama Malaysia dan pusat lab dadah. Lepas ni mungkin akan terbongkar segala kes2 yang telah tutup pada tahun 2017 dan 2018 seperti 1MDB

Anonymous said...

Saya pun sama saudara.. terkejut beruk pula dengar dlm drama siri tu dia nak buka lab terbesar di malaysia. Jadi trus sya google la. Nmpk kt sini trus komen.. 😂 tak tkut la el chapo msok malaysia dgn undang2 yg ketat dan satu lagu xprnh pula kita dgr dlm mna2 berita ke ape ttg lab tersebut kan? 😂 gigih pula cari kt internet sahih atau tidak tdi.. 🥹