'Face to face' dengan Y.A.B. Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Aminuddin Harun.
Bergambar ramai di bawah logo Persatuan kami.
Kebelakangan ini saya sibuk. Mesyuarat Agung Tahunan persatuan pesara saya akan berlangsung pada minggu hadapan. Syukur juga Mesyuarat Agung cawangan-cawangan kami (tujuh semuanya) di Negeri Sembilan sudah selesai.
Dalam kesibukan itu saya menerima panggilan telefon dari seorang pegawai pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan. Mengikutnya Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan apa yang dipanggil Majlis Penghargaan Pesara Kerajaan Negeri Sembilan tahun 2021. Mereka mempelawa persatuan saya turut sama di majlis itu yang diadakan di satu hotel terbesar di Seremban. Tambahannya lagi Majlis itu akan dihadiri oleh Y.A.B. Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Aminuddin Harun. Selepas ini saya akan merujuknya sebagai YAB MB sahaja.
Saya terus berfikir disamping cuba menambah keahlian persatuan saya, inilah masanya untuk kami memperkenalkan diri kepada YAB MB. Kami telah cuba untuk mendekatinya selama ini, tetapi tidak berjaya. Sehinggakan kami telah menjemputnya untuk merasmikan mesyuarat agung kami pada minggu hadapan, tetapi tidak berjaya kerana Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan akan bersidang.
Saya terus menerima pelawaan pegawai SUK tersebut dan terus menghubungi kawan-kawan saya untuk menolong. Syukurlah persiapan untuk mesyuarat agung telah saya bereskan dan saya boleh menumpukan perhatian untuk bertemu dengan para pesara yang baru sahaja bersara beberapa bulan. Kemuncaknya ialah pertemuan dengan YAB MB.
Seperti biasa mereka yang diraikan datang lebih awal dari tetamu khas. Tetapi mereka yang datang kebanyakan terus masuk ke dewan hotel setelah mendaftar diri di meja-meja pendaftaran. Meja yang dikhaskan untuk kami pula terletak di hujung deretan meja-meja. Menyesal pula saya tidak memasukkan 'brochure' dan maklumat-maklumat lain mengenai persatuan ke dalam 'goodies bag' yang diberi kepada setiap pesara.
Tiba-tiba saya dapat satu idea. Saya pergi berjumpa juruacara Majlis sambil memberinya satu set 'brochure'. Saya minta dia mengumumkan akan kehadiran kami di luar dewan. Beliau berjanji akan memenuhi permintaan saya.
YAB MB tiba tepat pada masanya tetapi sekali lagi saya kecewa kerana dia terus masuk ke dalam dewan sambil memberi salam PKP dengan meletakkan tangan ke dadanya. Sudahlah para pesara seperti tidak perasan akan kehadiran kami, tetamu kehormat juga begitu.
Saya pun masuk ke dalam dewan mengikuti program majlis sambil tertanya-tertanya bilakah permintaan saya kepada juruacara majlis akan ditunaikan. Akhirnya setelah majlis di atas pentas selesai dan bila para jemputan hendak mula menjamu selera, barulah juruacara menunaikan permintaan saya. Syukurlah segala maklumat yang penting diumumkannya.
Saya berpuas hati bukan kerana para pesara di dewan hotel itu mendengar akan maklumat mengenai persatuan kami. Tetapi kerana YAB MB dan Dato' SUK yang sentiasa berada di sebelahnya juga mendengar.
Bukti niat saya tercapai ialah kebanyakan pesara datang ke meja kami untuk mendapatkan maklumat lanjut. Ada juga yang terus masuk menjadi ahli. Selainnya saya minta menghubungi pegawai-pegawai kami di cawangan daerah yang nombor telefon mereka ada saya berikan.
Kemudian tibalah giliran YAB MB meninggalkan dewan. Kali ini dia tidak pergi begitu sahaja. Dia datang ke meja persatuan kami untuk berkenalan. Dia sempat menyebut "Ini POP ya" bermaksud Persatuan Orang Pencen. Akhirnya kami bergambar di bawah logo persatuan kami.
Akhirnya apa pegawai-pegawai pesatuan kami mahukan selama ini tercapai juga. Yang Amat Berhormat Dato' Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan mengenali kami.
No comments:
Post a Comment