Tuesday, June 4, 2024

KERANA SAYA SUDAH BERTEKAD

Bila saya dilantik menjadi Setiausaha di peingkat negeri kepada satu Persatuan Pesara yang agak besar di negara ini saya telah bertekad. Tekad saya ialah untuk memastikan setiap pesara yang saya kenal menerima haknya, tidak kira dia menjadi ahli kepada persatuan saya atau tidak.

Saya membuat tekad itu kerana semasa kerja dulu saya perhatikan ramai pekerja tidak diberikan hak mereka. Contohnya kenaikan pangkat diberikan kepada mereka yang tidak berhak.  Mereka yang betul-betul layak dinafikan hak mereka. Saya berani bercakap begitu kerana saya termasuk dalam golongan itu. 

Serik juga saya di tahun-tahun permulaan saya bekerja di satu Badan Bukan Kerajaan atau NGO ini. Kebetulan boss saya bermusuh dengan pihak-pihak tertentu. Sebagai seorang dilantik olehnya, saya terpaksa mempertahankannya pada mulanya.

Saya telah beberapa kali  pergi ke pejabat Pendaftar Pertubuhan Negeri Sembilan di Seremban untuk menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya. 

Akhirnya saya memilih jalan tengah. Dalam bahasa lain saya tidak mahu menegakkan benang yang basah. Ini tidak disenangi oleh boss saya, lebih-lebih lagi bila dia mendapati saya telah berkawan dengan musuh-musuhnya. Tidak hairanlah apabila dia dijatuhkan dari jawatannya, tiba-tiba musuhnya pula dipanggil oleh Pendaftar Pertubuhan. 

Antara perkara yang kena dijawab oleh musuh-musuhnya itu ialah situasi saya sendiri. Ini kerana setelah lima tahun memegang jawatan Setiausaha di peringkat negeri, saya memberanikan diri untuk bertanding untuk satu jawatan di peringkat daerah dan saya menang.

Oleh kerana saya sekarang berada dalam kumpulan yang sebelum ini dimusuhi oleh mantan boss, saya pun dipanggil oleh Pendaftar Pertubuhan. Pelik juga ya, lima tahun dulu saya dipanggil untuk mempertahankan boss saya dari tohmahan musuh-musuhnya. Sekarang saya pula kena menjawab tohmahan darinya sendiri.

Boss baru mengekalkan jawatan Setiausaha saya sedangkan dia boleh melantik orang lain untuk menggantikan saya. Mungkin menyedari masalah saya dengan boss lama, dia tidak minta saya membuat kerja-kerja yang menyimpang dari tanggungjawab saya kepada persatuan.  

Tetapi kali ini saya juga sudah matang. Selesai sahaja saya disoal oleh pegawai Pendaftar Pertubuhan saya pula menyoalnya. Saya tanya jika saya salah apakah kesalahannya. Terus terang pegawai itu menjawab saya tidak salah.

Tuduhan terthadap saya ialah pemilihan saya untuk jawatan di peringkat daerah itu tidak mengikut peraturan. Pegawai itu menjelaskan mereka tidak kisah sangat bagaimana seseorang itu dipilih atau dilantik untuk memegang mana-mana jawatan. Yang penting siapa yang hendak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan mestilah ahli kepada persatusan itu. Memberi jawatan kepada seorang yang bukan ahli adalah satu kesalahan besar. Persatuan boleh dibatalkan pendaftarannya.

Beberapa bulan yang lepas saya menerima maklumat bahawa boss saya sekarang sebenarnya tidak layak menjadi ahli persatuan kami. Ekoran itu juga beliau tidak layak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan kami. Maklumat itu saya dengar di dua majlis yang jaraknya lebih dari 100 km.

Maklumat di satu majlis mengesahkan maklumat di majlis yang satu lagi dan sebaliknya. Ini bermakna jika saya cuma berada hanya di salah satu majlis saya mungkin tidak mengambil apa-apa tindakan.

Apabila saya mendengar maklumat-maklumat yang menyokong satu sama lain itu saya bukan sahaja teringat akan tekad saya semasa memegang jawatan Setiausaha dahulu, tetapi juga penjelasan dari pegawai Pendaftar Pertubuhan yang pernah menyoal siasat saya.

Tekad saya ialah memastikan mereka yang tidak layak memegang apa-apa jawatan tidak diberikan jawatan itu. Penjelasan pegawai Pendaftar Pertubuhan pula ialah seorang yang bukan ahli kepada mana-mana persatuan tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam persatuan tersebut.

Pendirian saya ialah boss saya hendaklah melepaskan segala jawatan yang dipegangnya dalam persatuan. Untuk menguatkan pendirian ini, saya saya telah merujuk kepada undang-undang yang paling tinggi dalam negara kita iaitu Perlembagaan Malaysia. Itulah penjelasan saya kepada jawatankuasa persatuan saya. Saya tahu ada yang menuduh saya sengaja mendedahkan perkara ini. 
 
Syukurlah pendirian saya ini diterima oleh majlis tertinggi persatuan saya. Sekarang saya mempunyai boss baru.
 
 

 
 
 

 

No comments: