Friday, October 12, 2018

Saya dan YB.

Ini cuma gambar hiasan. Kami bukan YB.

Di Malaysia YB ialah singkatan untuk Yang Berhormat. Gelaran itu diberi kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih di Pilihanraya Umum atau PRU. Walau bagaimana pun Ahli Dewan Negara yang dilantik juga digelar YB. Pegawai-pegawai kerajaan yang menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lebih dikenali sebagai EXCO juga digelar YB. Contoh di Negeri Sembilan ialah Setiausaha Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri dan Mufti.

Saya mula berdepan dengan YB semasa bertugas di Kelantan pada tahun 1972 selepas saya tamat latihan jawatan. Saya mewakili jabatan saya Pejabat Kesihatan Pasir Puteh dan Bachok di Mesyuarat Tindakan Jajahan kedua-dua Jajahan tersebut. Oh ya, di Kelantan apa yang kita sebut Daerah di sini disebut Jajahan di sana. 

Daerah Kesihatan atau Health District tidak sama dengan Daerah atau Jajahan yang ditafsir di bawah Kanun Tanah Negara. Di waktu saya di sana Jajahan Pasir Puteh dan Bachok dicantumkan di bawah satu Daerah Kesihatan. 

Di Mesyuarat Tindakan Jajahan di sana tidak banyak isu-isu kesihatan yang dibangkitkan. YB-YB terdiri dari ADUN dari parti PAS yang cukup berbudi bahasa. Biasanya isu-isu yang dibangkitkan oleh YB melibatkan Jabatan Kerja Raya atau JKR dan Jabatan Pertanian. Saya pula pernah membangkitkan isu bekalan air yang mengandungi kuman e-coli. Saya terpaksa bangkitkan kerana saya sendiri yang mengambil sampel air berkala yang kemudian dihantar ke Jabatan Kimia di Kuala Terengganu oleh Land Rover JKR.   

Bila saya mula bertugas di Majlis Bandaran Seremban atau MPS di tahun 1972 saya pula dihantar oleh ketua saya yang berjawatan Timbalan Yang Di Pertua untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah, Daerah Seremban. Di masa itu jawatan Yang Di Pertua MBS dipegang oleh Menteri Besar Negeri Sembilan. Sebab utama saya dihantar ialah kerana saya berbangsa Melayu dan ketua saya dan kawan-kawan sejawatan saya kebanyakannya bukan Melayu. 

Saya terkejut bila mendapati situasi di Seremban sungguh berlainan dengan tempat saya bertugas dahulu. YB-YB di sini, terutama dari parti UMNO sangat agresif dan saya sering dihentam di Mesyuarat Tindakan Daerah. Yang membengangkan saya ialah kebanyakan isu yang ditimbulkan tidak melibatkan jabatan saya iaitu Jabatan Kesihatan, Majlis Bandaran Seremban. 

Kebanyakan isu ialah mengenai infrastruktur seperti jalan berlubang. Isu yang paling hebat dibangkitkan ialah mengenai Stesen Bas lama Seremban di Jalan Lemon (sekarang Jalan Tuanku Munawir) yang berlubang dan berlopak.

Kemudian saya terfikir balik bahawa YB-YB yang menghentam saya itu cuma menyampaikan rintihan rakyat yang mereka wakili. Mereka juga dihentam semasa mesyuarat parti dan perjumpaan dengan penyokong-penyokong mereka. Inilah pula masa untuk mereka menghentam kami. 

Saya berkali-kali meminta Timbalan Yang Di Pertua sendiri hadir di Mesyuarat Tindakan Daerah ini. Jawapannya ialah dia tidak fasih berbahasa Melayu. Pegawai-pegawai dari Jabatan Kejuruteraan, MBS iaitu yang bertanggung jawab terhadap infrastruktur juga kebanyakannya bukan Melayu. Tinggalahlah saya menjadi mangsa dihentam olah YB-YB di Mesyuarat Tindakan Daerah.

Keadaan berubah bila MBS dinaiktaraf kepada MPS untuk Majlis Perbandaran Seremban pada tahun 1979. MPS mula diterajui oleh orang Melayu dan saya tidak lagi diminta menghadiri Majlis Tindakan Daerah untuk berdepan dengan YB-YB. Biarlah orang lain pula yang kena hentam.

Tetapi penubuhan MPS menimbulkan satu lagi masalah, sekurang-kurang bagi saya. Akta Kerajaan Tempatan mensyaratkan semua Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT melantik Ahli-ahli Majlis. MPS pula melantik ahli-ahli politik sebagai Ahli Majlis, terdiri dari wakil-wakil parti UMNO, MCA, MIC dan Gerakan. Mereka juga wakil rakyat sebenarnya, cuma belum ada saya dengar sesiapa memanggil mereka YB.

Jika sebelum ini saya dihentam di Majlis Tindakan Daerah, kali ini pula saya dan kawan-kawan dihentam di mesyuarat kami sendiri yang sama-sama dihadiri oleh Ahli-ahli Majlis. Seperti di mesyuarat Majlis Tindakan Daerah, yang menghentam kami ialah Ahli Majlis Melayu dari parti UMNO.

Saya perhatikan Ahli-ahli Majlis dari MCA dan Gerakan ialah mereka yang muda dan dilatih untuk tujuan bertanding di Pilihanraya Umum sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen. Tetapi Ahli Majlis dari UMNO dan MIC pula ialah mereka yang sudah berumur dan tidak layak untuk bertanding di mana-mana PRU.     

Kebanyakan Ahli Majlis dari UMNO pula tidak tahu akan tugas mereka. Mereka bertindak lebih sebagai penguatkuasa dan bukan wakil rakyat. Ada yang menggunakan kedudukan terbaru mereka untuk membalas dendam terhadap musuh-musuh mereka.  Mereka datang ke mesyuarat dan menanyakan kenapa kami tidak mengambil tindakan terhadap si anu dan si anu yang bagi mereka telah melanggar peraturan MPS. 

Ini berbanding dengan Ahli Majlis MCA dan Gerakan yang bertanya kenapa kami mengambil tindakan terhadap si anu dan si anu, sedangkan kesalahan mereka, jika ada, cuma kecil sahaja. Di lain perkataan mereka bertindak sebagai wakil rakyat sebenar dan bukan penguatkuasa.  

Pernah sekali oleh kerana Yang Di Pertua MPS tidak tahan dengan hentaman Ahli-ahli Majlis UMNO, beliau telah mengarahkan Ahli-ahli Majlis menyertai kami di satu operasi. Bagi saya cadangan itu cukup baik, untuk mereka merasai apa yang kami rasa dan hadapi di luar pejabat. 

Sangkaan saya benar kerana semasa operasi berjalan, Ahli-ahli Majlis MPS berbalah antara sendiri.. Ada yang meminta kami mengambil tindakan terhadap seseorang dan ada pula yang melarang. Semenjak itu mereka tidak lagi menyertai operasi kami.

Sejak bersara dan sekarang aktif dalam satu Persatuan Pesara saya masih berdamping dengan YB-YB. Selama ini kami panggil YB-YB untuk merasmikan Mesyuarat Agung persatuan di peringkat daerah dan negeri. Kami juga menjemput mereka dalam program kami, contohnya jamuan Hari Raya. Kata orang sambil menyelam minum air. Di program-program tersebut kami mintalah YB memberi sedikit sumbangan.

Ekoran PRU ke-14 kedudukan Ahli-Ahli Majlid di PBT sudah berubah dan saya tidak tahu kedudukan secara terperinci. Contohnya adakah bilangan Ahli Majlis Melayu di MPS melebihi bangsa-bangsa lain?

Akhirnya saya tidak tahu sama ada Badan Bukan Kerajaan atau NGO seperti persatuan pesara saya masih boleh menerima peruntukan dari YB.

Sekian.

No comments: