Saturday, October 20, 2018

Kenapa beli jika tidak perlu.

Gambar hiasan.

Pada tahun 1974 saya telah membeli satu mesin jahit SINGER. Walau pun semasa dibeli ia sudah bertaraf 'second-hand', ia masih baik lagi hingga sekarang. Beberapa tahun selepas dibeli, lampunya terbakar. Walau pun ia masih boleh digunakan, tanpa lampu ia agak menyulitkan saya dan isteri. (Hari ini anak-anak pun sama mengguna mesih jahit itu).

Saya pergi ke kedai SINGER dan jawapan mereka model saya sudah tidak dikeluarkan lagi, termasuk lampunya. Saya pergi ke kedai-kedai elektrik dan mendapati lampu jenis itu tidak ada dijual, sehinggalah seorang mencadangkan saya pergi ke sebuah kedai di Gedung Lalang, Ampangan, Seremban yang hanya lebih kurang 1 km. jaraknya dari rumah saya di Paroi.  

Bingo, lampu yang saya cari ada dijual di situ. Saya juga dapati kedai itu menjual hampir semua barang keperluan harian, melainkan makanan dan kain baju. Walau pun berada dalam kawasan Melayu, ia diusahakan oleh satu keluarga Cina. Mengikut taukehnya kedai itu disewa dari seorang Melayu yang enggan menjualnya. Baguslah, itu situasi menang-menang bagi mereka.

Sejak itu saya sering ke kedai ini untuk membeli barang-barang seperti kepala paip, cat dan tukul besi. Saya panggil kedai itu kedai DIY untuk Do It Yourself. Ini sebelum ada rangkaian kedai-kedai DIY seperti sekarang.

Satu hari saya memutuskan perlu menukar paip di rumah saya kerana airnya sudah mengecil. Oleh kerana saya masih mempunyai kudrat, saya juga memutuskan untuk membuatnya secara DIY. Saya sudah mendapatkan paip dan sambungannya dari satu kedai lain. Tetapi saya perlu menebuk dinding rumah untuk menjadi laluan paip.

Oleh kerana saya sudah mempunyai mesin gerudi saya pun pergi ke kedai DIY ini untuk membeli 'drill bit' yang sesuai. Taukeh kedai itu yang sudah kenal dengan saya bertanya untuk apa saya memerlukan 'drill bit' yang begitu besar. Saya jawab untuk menebuk dinding konkrit untuk dilalui paip air.

Dia menjawab mengapa saya perlu membeli 'drill bit' yang jarang diguna. Saya terkejut bila dia menawar untuk meminjamkan mesin gerudinya yang sebesar 'machine gun' kepada saya. Dengan besar hati saya menerima tawarannya. Saya pun menukar paip rumah saya secara DIY dengan pertolongan mesin gerudi gergasi yang dipinjam.

Sejak pindah ke rumah baru di Sikamat (sebenarnya taukeh itu pun tinggal di Sikamat, lebih kurang 1 km. dari rumah saya) saya jarang-jarang ke kedai DIY ini. Tetapi dua hari lepas saya singgah dikedai ini setelah berjumpa seorang kawan pesara di Paroi. Manalah tahu ada benda yang saya perlu beli.

Saya ternampak satu tongkat 'telescopic' dan saya katakan pada taukeh itu saya ingin membelinya. Seperti berpuluh tahun dulu, dia bertanya kenapa saya perlukan tongkat. Saya jawab untuk menepati taraf OKU seperti simbol-simbol yang diletakkan dalam tren KTM Komuter dan LRT. (Di MRT saya suka berdiri di depan sebagai pemandu).

Simbol-simbol OKU di situ ialah perempuan mengandung, orang menaiki kerusi roda dan orang tua bertongkat. Dengan bertongkat orang akan ingat saya ini OKU dan diberi tempat duduk.

Dia menjawab, anak-anak muda sekarang bukan seperti dahulu. Mereka tidak peduli pada OKU. Mereka akan duduk sambil membelek gadjet di tangan. Juga melihat kepada keadaan (fizikal) saya tidak ada orang percaya saya ini seorang OKU.

Saya pun tidak jadi membeli tongkat 'telescopic' itu. Tetapi kali ini taukeh itu tidak meminjamkan apa-apa kepada saya. 

Sekian.

No comments: