Saturday, October 6, 2018

Naik Komuter Ekspress KL Sentral - Nilai - Seremban.

Pertama kali berdiri naik Komuter dari Seremban.

Tak lama berdiri. Tetapi dapat kerusi mengereng.

Tren penuh, kebanyakan penumpang budak sekolah balik cuti hujung minggu. Perhatikan penumpang berdiri di antara pintu. Jika mereka bergerak ke tengah mungkin ada kerusi kosong.


Saya menunggu KTM Ekspress di platform 2 KL Sentral.

Ini juga platrform untuk tren ETS.

Memandangkan cuaca petang semalam (Jumaaat 5 Oktober 2018) cukup baik, ditambah lagi aku sudah lama tidak menaiki kenderaan kegemaranku iaitu keretapi, aku pun buat keputusan pergi ke Kuala Lumpur menaiki KTM Komuter. Tujuan sebenar aku ialah untuk menaiki Komuter Ekspress Kuala Lumpur - Nilai - Seremban yang telah bermula beberapa bulan lepas.

Akibat membuat keputusan  di saat-saat akhir, aku tidak sempat untuk melihat jadual KTM Komuter di internet. Aku sampai ke Stesen KTM Seremban beberapa minit sebelum tren sampai. Aku nampak platform 1 dan 2 penuh dengan budak-budak sekolah. Bila berada di atas jambatan antara platform 1 dengan 2 aku nampak tren sudah sampai di bawah jambatan Jalan Rasah/Port Dickson.

Aku dan tren sama-sama sampai di platform 2 tepat pada jam 4.07 petang dan aku terus melompat ke koc terakhir dan tidak sempat pergi ke koc nombor 2 kesukaan ku. Ini juga kali pertama aku berdiri dalam tren KTM Komuter dari Seremban. Seperti biasa, kebanyakan penumpang yang duduk leka dengan gajet mereka dan tidak peduli kepada penumpang yang lebih perlukan tempat duduk, seperti aku warga emas ini. Aku berdiri diantara dua pintu pada mulanya.

Tetapi aku yang mula naik keretapi dari umur 12 tahun menggunakan pengalaman untuk mencari tempat duduk. Di Labu, aku berjalan ke tengah-tengah koc dan syukurlah ada budak yang beralih di kerusi mengereng di  koc itu dan aku pun duduk di sebelahnya. Di Nilai pulu aku dapat tempat duduk yang lebih selesa setelah ada penumpang yang turun.

Di Seremban tadi aku guna satu dari dua kad KTM ku tanpa melihat bakinya kerana hendak mengejar tren. Di KL Sentral, bila aku sentuh kad itu di mesinnya, lampu merah menyala dan palang tidak terbuka. Notis memberitahu kredit di kad itu tidak cukup untuk tambang Seremban - KL Sentral dan aku diminta pergi ke kaunter tiket dan membayar penalti.

Melihat ada halangan yang terbuka, aku pun keluar di situ. Mula-mula aku hendak jelaskan penalti itu tetapi memikirkan aku ada dua kad aku terus bawa kad nombor dua itu ke kaunter tiket KTM dan bertanya berapa kredit yang ada. Aku dapati ia cukup untuk aku balik ke Seremban. Aku tidak ceritakan masalah kad pertama tadi. 

Setelah belegar sekejap di KL Sentral aku pun turun ke platform biasa ke Seremban untuk menaiki Komuter Ekspress. Tetapi di paparan notis aku tidak nampak butir-butir tren itu. Aku panik seketika dan bertanya adakah tren ekspress itu sudah dibatalkan. Bila tidak nampak mana-mana pegawai KTM di situ aku pun naik ke atas semula.

Aku bertanya kepada seorang pegawai KTM di mana hendak naik Komuter Ekpress ke Seremban. Jawabnya di tingkat 'atas sana'. Aku panik sekali lagi bila memikirkan mana ada trek KTM 'di atas sana'. Kemudian aku teringat pernah naik tren laju ETS dan menunggu 'di atas sana'.

Aku terangkan padanya aku sudah sentuh kad KTM bila hendak ke bawah tadi. Dia kata tak apa. Aku pun naik ke tingkat atas dan nampak penumpang beratur seolah-olah hendak naik tren ETS di sebelah restoran KFC.

Aku tanya seorang penumpang adakah itu barisan untuk Komuter Ekpress ke Seremban. Dia jawab ya dan aku pun masuk barisan itu. Di tempat sentuh kad KTM aku beritahu pegawai KTM yang aku sudah sentuh di bawah tadi. Dia kata tak apa dan beri aku masuk tanpa sentuh kad sekali lagi.

Memang betul, Komuter Ekpress Kuala Lumpur - Nilai - Seremban bermula di platform 2 iaitu platform yang sama dengan tren ETS. Cuma di bawah sana kami kena beratur sekali lagi dan tidak masuk terus ke dalam tren seperti ETS.

Tren lewat lima minit dari waktu yang aku baca di internet. Ini mungkin kerana memberi ruang kepada ketibaan tren Komuter dari Skpark, Subang sebelumnya. Tren itu juga berkongsi platform dengan ETS, rupanya. Jika tadi pertama kali aku berdiri dari Seremban, sekarang pula aku lihat pertama kali tidak ada penumpang berdiri dari KL Sentral.

Tren itu bergerak menentang arus atau di berada atas trek kanan sehingga stesen Mid Valley. Di Mid Valley aku tengok ramai penumpang menunggu. Tentu ada antara mereka yang marah melihat tren Komuter tidak berhenti. Begitu juga keadaannya di stesen-setesen lain. 

Selain tidak berhenti di semua stesen melainkan Nilai, ada satu lagi kelebihan Komuter Ekpress ini. Ia tidak perlu berjalan perlahan di stesen-setsen Salak Selatan, Batang Benar dan Labu. Ini kerana ia tetap berada di atas trek utama dan tidak perlu menyimpang masuk ke stesen. Itulah satu-satunya situasi yang aku tidak suka pada KTM Komuter biasa tiba ke stesen-stesen tersebut.

Komuter Ekpress tiba di stesen Seremban beberapa minit setelah azan Maghrib. Cuma satu saja yang aku tidak suka pada Komuter Ekspress ini. Fakta itu ialah dia berhenti di platform 3 di stesen Seremban. Ini meyebabkan penumpang terpaksa berjalan ke hujung stesen di selatan sana dan kemudian menaiki dan menuruni dua tangga atau dua lift untuk ke platform 1. Kemudian berjalan pula ke utara stesen untuk keluar. Aku yang pada mulanya memikirkan ia akan berhenti di platform 1 telah memilih koc kedua dari belakang. Nampaknya lain kali aku kena naik koc kedua dari hadapan.

Sekian.  

No comments: