Gambar hiasan dan tidak kena mengena dengan cerita.
Setahun yang lepas keluarga ku telah menukar meja makan enam kerusi kepada lapan kerusi. Ini akibat ahli keluarga kami sudah bertambah dan bila anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu balik susah juga kami hendak duduk untuk berbual dan makan.
Meja makan lama enam kerusi itu aku beli di tahun aku kahwin iaitu 1973 dan masih baik. Ia dibuat dari kayu asli. Cuma kusyen tempat duduknya sudah diganti, itu pun berpuluh tahu yang lalu.
Sayang aku hendak melepaskan meja lama itu, tetapi kerana tidak ada ruang dalam rumah, kami memutuskan untuk memberikannya kepada mana-mana saudara yang inginkannya. Sementara ada yang menuntutnya aku letakkan meja itu di luar rumah.
Anak-anak ku tidak memerlukannya dengan alasan mereka juga sudah mempunyai meja makan. Akhirnya adik bongsu ku yang baru berpindah ke Seremban dari Seri Menanti memberi jawapan positif. Cuma dia sedang mencari kenderaan untuk memindahkan meja itu.
Aku teringat akan seorang kawan lama ku yang dulu sama-sama bekerja di Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Dia telah bersara awal dan menceburi bidang katering makanan dan dialah yang menyediakan khemah dan makanan untuk perkahwinan anak ketiga ku dulu.
Dia berjaya dalam bidang katering makanan ini. Semalam aku sempat bertanya berapa lori yang dia ada untuk perniagaannya dan jawapannya empat. Tetapi bukan lori yang aku perlukan.
Aku bertanya adakah dia masih menggunakan kereta Proton Arena? Jawapannya ya. Kemudian aku tanya lagi bolehkah dia tolong aku bawa satu meja makan enam kerusi. Dia soal aku nak bawa dari mana ke mana? Aku jawab dari rumah aku ke rumah adik aku di Rasah, Seremban. 'No problem' jawabnya.
Dia pun datang tepat pada masa yang ditetapkannya. Dia pun menggunakan kepakarannya meletakkan meja itu di kereta Proton Arena itu. Antaranya meja diletakkan terbalik dengan dialas oleh kertas atau apa-apa. Kami gunakan plastik yang selama ini menutup meja itu.
Dalam perjalanan dia bercerita kereta Proton Arena itu mempunyai nilai tidak berharga baginya. Itulah kenderaan mula-mula dibelinya bila hendak memulakan perniagaan katering makanannya. Baru-baru ini ada seorang kawannya menawarkan untuk menukar kereta itu dengan kereta 4WD tetapi dia menolak. Ada juga orang menawarkan untuk membeli kereta itu dengan harga RM 20,000 dan dia juga menolak.
Alasan utama dia tidak mahu melepaskan kereta Proton Arena itu ialah kerana ia amat senag digunakan. Tempat barang di belakang adalah rendah dan dia tidak perlu menggunakan banyak tenaga untuk mengangkat barang-barang ke atasnya. Contohnya betapa senangnya kami meletakkan meja makan itu dan menurunkannya.
Aku lihat dia telah menukar gear kereta itu dari manual kepada automatik. Tanpa aku bertanya dia menerangkan itu juga untuk kesenangannya. Katanya lagi walau pun mungkin kereta itu 'makan minyak lobih sikit' akibat pertukaran gear dari manual ke automatik, kesenangan akibatnya tidak boleh dinilai.
Tetapi untuk menjaga hubungan baik kami, aku tidak mahu membangkitkan satu cerita lama. Dulu kami sama-sama membeli kereta Proton Waja dan kedua-dua kereta masih digunakan. Bezanya dia membeli kereta manual dan aku yang automatik.
Dia memilih kereta Proton Waja manual kerana katanya kereta automatik 'kuek makan minyak'. Aku tak sampai hati hendak bertanya sama ada keretanya itu pun sudah ditukar gearnya.
No comments:
Post a Comment