Tiga malam lepas saya pergi ke Mesyuarat Jawatankuasa Khairat Kematian taman perumahan saya. Mesyuarat yang diadakan di surau taman. Didapati ada ahli-ahli yang belum menjelaskan yuran semasa mereka. Kami pun berbincang bagaimana jika berlaku kematian di antara ahli keluarga yang tertunggak yuran itu. Ini kerana hidup mati adalah di tangan tuhan dan kita tidak boleh merancangnya.
Saya tidak menyangka ayat yang terakhir itu lebih kurang terjadi di satu kedai yang terletak hanya 150 meter dari surau kami itu tidak sampai 24 jam kemudian. Saya bercadang hendak ke ibu pejabat Persatuan saya di Kuala Lumpur selepas makan tengah hari dan solat Zuhur di hari esoknya untuk mengambil satu surat. Saya pun melihat keluar rumah akan kemungkinan hujan turun kerana saya bercadang untuk pergi ke Stesen KTM Seremban dengan skuter.
Apa yang saya lihat ialah asap tebal di depan deretan kedai yang terletak 200 meter depan rumah saya. Jangkaan saya beberapa bangunan sementara di depan kedai itu yang didiami oleh pekerja-pekerja Indonesia terbakar. Saya pun mencapai kamera digital saya dan bergegas ke tempat kejadian.
Rupa-rupanya yang terbakar ialah kedai yang paling popular di taman kami. Asalnya dari lima unit kedai yang disatukan dengan memecah dinding pemisah. Ia sangat popular kerana setiap unit yang dijual berharga 2 ringgit. Semasa ada GST ia berharga RM 2.12.
Semasa saya sampai belum ada lagi anggota Bomba yang tiba. Yang ada ialah beberapa anggota Polis dan pemerhati yang tidak berani buat apa-apa. Tidak lama kemudian datanglah beberapa kenderaan Bomba dari beberapa stesen Bomba di Seremban. Walau pun saya pernah melihat jabatan Bomba memadamkan api sebelum ini, operasi kali ini adalah yang terbesar saya lihat. Turut membantu ialah beberapa anggota Bomba sukarela yang berpakaian kuning.
Walau pun saya mengutamakan mutu untuk barang-barang yang saya beli, banyak juga barang-barang yang saya beli di kedai 2 ringgit ini. Antaranya karung sampah dan sampul surat. Oleh kerana karung sampah dan sampul surat diguna sekali sahaja, buat apa beli yang mahal walau pun bermutu?
Saya kesian dengan pekerja-pekerja kedai 2 ringgit ini. Kebanyakan mereka berbangsa Melayu walau pun kedai dipunnyai oleh bukan Melayu. Semasa saya mengambil gambar saya terdengar ada di antara mereka yang menangis. Sudah tentu kedai ini akan dibaiki dan dibuka semula. Sementara itu mereka nak buat apa?
Bagi saya pula saya terpaksa membeli barangan 2 ringgit saya di cawangan kedai ini di bandar Seremban.
No comments:
Post a Comment