Ia bermula bila saya diberitahu Karnival MyPesara anjuran Kumpulan Wang diPerbadankan atau KWAP akan diadakan di Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan pada 14 hingga 16 Novemver 2025. Ini ialah tahun ketiga KWAP meganjurkan Karnival tersebut dan seperti tahun-tahun sebelumnya, beberapa i persatuan pesara dijemput sama.
Sebagai Setiausaha untuk Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM Bahagian Negeri Sembilan saya diminta menghantar 34 peserta untuk Karnival itu. Bas dan hotel untuk satu malam akan diberi percuma oleh KWAP. Saya memilih tarikh 15 November 2025 utuk pergi kerana pada 14 November malam, saya dan beberapa ahli yang turut sama ke Karnival tersebut ada jamuan makan malam di Seremban.
Sudah tentu ahli-ahli persatuan saya berebut untuk turut sama, Tetapi kami telah menentukan keutamaan kepada Ahli Jawatankuasa di peringat Negeri dan Daerah. Saya menerima jumlah 34 orang dalam tempoh beberapa hari sahaja. Saya pun hantar senarai peserta kepada KWAP beserta dengan maklumat seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon, nombor akaun pencen, nombor keahlian persatuan dan akhirnya saiz t shirt kerana KWAP akan memberi t shirt percuma selain kupon RM50. Saya juga beritahu KWAP tarikh pilihan bila kami akan pergi serta di mana kami akan menunggu bas.
Dua hari sebelum pergi saya menerima maklumat nama pemandu dan bas yang sepatutnya membawa kami ke Kelantan. Oleh kerana hari sudah petang saya bercadang menalipon pemandu pada hari esoknya.
Pagi esoknya Jumaat 14 November 2025 saya ada temujanji pemeriksaan mata di Klinik Kesihatan Sikamat, Seremban. Tetapi saya hairan bila sampai ke Klinik tersebut dan melihat boleh dikatakan semua staff di situ memakai t shirt dan bukan pakaian seragam. Bila saya hulurkan Kad Temujanji, saya diberitahu temujanji saya ditangguh ke Hari Jumaat akan datang 21 November kerana Klinik tersebut ada aktiviti lain di hari itu. Saya pun terus ke pejabat.
Di pejabat, saya menalipon pemandu bas yang sepatutnya membawa saya ke Kota Bharu hari esoknya. Dia terus menjawab dan bertanya di mana saya dapat nombor telefonnya. Bila saya ceritakan dia sepatutnya membawa saya dan kawan-kawan pada hari esoknya, dia menjawab itu mustahil kerana dia sekarang sedang membawa se kumpulan pesara dari persatuan lain ke tujuan yang sama. Dia menambah mengambil kumpulan tersebut di Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban iaitu tempat berkumpul yang sama untuk kumpulan saya nanti.
Saya panik seketika dan terus menghantar mesej ke kumpulan WhatsApp yang telah dicipta khas oleh KWAP. Saya memberitahu kumpulan mengenai situasi saya. Saya tahu pegawai-pegawai KWAP sedang berada di Kota Bharu kerana Karnival bermula pada hari itu, tetapi masalah saya terpaksa diberi perhatian.
Setelah mengulangi mesej ke WhatsApp dan membuat beberapa panggilan telefon barulah saya menerima jawapan telefon dari seorang pegawai KWAP menyatakan mereka sedang mencari pemandu dan bas baru untuk saya. Saya pula tidak akan berpuas hati sehingga saya dapat bercakap sendiri dengan pemandu gantian yang akan ditentukan.
Lebih kurang jam 4 petang baru saya menerima mesej akan maklumat pemandu dan bas gantian. Saya terus telefon pemandu beberapa kali tetapi tidak menerima apa-apa jawapan. Saya pun meninggalkan mesej kepadanya.
Dua jam kemudiian barulah saya menerima panggilan telefon darinya. Setelah bercakap dengannya dan menerangkan kenapa saya menghubunginya barulah hati saya lega. Kami berjanji berkumpul di Masjid Kariah Paroi Jaya pada pagi esoknya 15 November 2025 pada jam 9.30 pagi.
Saya tiba pada jam 9.00 pagi di hari yang ditetapkan. Saya perhatikan bas dengan pemandu sudah sedia menunggu. Kawan-kawan saya juga ramai sudah menunggu. Dipendekkan cerita pada jam 9.55 pagi barulah kami bergerak.
Perhentian pertama kami ialah di R&R Nilai Arah Utara. Ini untuk tujuan membuang air kecil atau besar. Tetapi ada pula anggota kumpulan kami yang memesan makanan. Ini telah memakan masa beberapa minit lebih dari jangkaan. Saya tidak menjangka perkara sebegini akan berulang dalam perjalanan pergi dan balik kami nanti.
Perjalanan kami ke Kota Bharu menempuh Lebuhraya Utara Selatan, Lingkaran Tengah 2 atau MRR2, Lebuhraya Karak dan Laluan Persekutuan 8 dan 34 yang sering bertukar-tukar ganti kerana Laluan 34 atau Central Spine Road belum siap sepenuhnya.
Situasi yang sama di R&R Nilai Arah Utama berulang di tiap-tiap tempat kami berhenti untuk melepas hajat, makan-minum dan solat. Ahli-ahli kami tidak pernah menepati masa. Dipendekkan cerita kami hanya sampai ke hotel kami The Gtand Riverview Hotel, Kota Bharu, Kelantan lebih-kurang dalam jam 10.00 malam. Itu pun setelah seorang pegawai KWAP menghubungi kami bertanyakan bila saya nak sampai. Kerana hanya kumpulan saya yang belum sampai ke Kota Bharu. Saya faham dia pun keletihan kerana terlibat dengan Karnival dari pagi lagi.
Saya ingat kerana keletihan saya akan terus tidur pada malam itu. Rupa-rupa tidak. Kawan sebilik saya seorang pesara berbangsa Cina yang sengaja saya pilih terus tidur nyenyak sampai pagi. Tetapi saya tidak tidur hingga jam 2.30 pagi. Bila saya bangun untuk solat Subuh kawan saya itu masih tidur.
Tidak payah saya ceritakan tentang Karnival MyPesara ini. Pembaca boleh melayari laman Facebook KWAP Malaysia jika nak tahu. Cuma saya nak beritau kami yang berjanji bergerak keluar dari tapak Karnival pada jam 3.30 petang, akhirnya bergerak keluar pada jam 4.00 petang. Tujuan kami ialah Pasar Khadijah, Kota Bharu.
Saya dan beberapa orang kawan tidak turun dari bas semasa kawan-kawan yang lain membeli-belah di sana. Bas akhirnya bergerak lebih kurang jam 5.10 petang. Oleh kerana hari Ahad ialah hari bekerja di Kelantan, bas terpaksa menempuh kesesakan lalulintas di Bandar Kota Bharu. Akhirnya bas hanya bergerak lancar selepas jam 6 petang.
Laluan pulang adalah sama seperti laluan datang pada hari sebelumnya. Cuma kali ini kami bergerak di waktu malam. Perangai kawan-kawan saya sama seperti hari sebelumnya iaitu tidak pernah menepati masa bila berhenti untuk melepas hajat, makan-minum dan solat. Kami sampai di Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban lebih kurang jam 5 pagi Isnin 17 November 2025. Jika kami mengambil masa lebih kurang 12 jam dari Seremban ke Kota Bharu, masa yang sama juga diambil untuk perjalanan pulang.
Bila sampai saya terus tidur setelah solat Subuh. Saya tidur pagi dan petang pada kebanyakan hari itu. Bila saya berada seorang diri barulah saya mengingati setiap saat dari permulaan perjalanan saya ke Kota Bharu dan sebaliknya. Barulah saya faham akan perangai kawan-kawan saya itu.
Kami adalah pesara yang kebanyakannya sudah bercucu. Kami tidak ada tanggungjawab lagi. Mereka termasuk saya yang diberi peluang untuk turut serta dalam Karnival seperti ini dengan percuma sambil menikmati kemudahan-lemudahan lain amat bertuah. Itulah sebabnya kawan-kawan saya mengambil sebanyak masa yang boleh untuk menikmati perjalanan kami.
Sekian.