Wednesday, December 18, 2013

Satu hari di Parlimen

Kali pertama saya menjejak kaki di bangunan Parlimen Malaysia ialah pada awal tahun 1969 semasa saya menjalani kursus awal jawatan saya dengan kerajaan Malaysia. Kalau tidak salah semasa itu Dewan Rakyat bersidang untuk kali terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke-4 (PRU4) yang diadakan pada 10 Mei 1969. 

Seterusnya ekoran tragedi 13 Mei 1969 Parlimen Malaysia telah digantung untuk beberapa tahun. Dari itu saya agak beruntung untuk melihat Parlimen bersidang sebelum penggantungannya. 

Apabila saya dipelawa untuk melihat persidangan Parlimen sekali lagi saya tidak mahu melepasakan peluang ini. Cuma kali ini saya melihat persidangan Dewan Negara pula. Saya mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia. Saya terpaksa 'meminjam' kot lama saya yang saya telah berikan kepada menantu saya Nazeem.

Berikut ialah cerita bergambar lawatan saya ke Parlimen Malaysia baru-baru ini:-

Depan pintu masuk ke Dewan Rakyat. Dah lama tak pakai tali leher dan kot, janggal rasanya.


Di luar dewan persidangan Dewan Rakyat. Dewan Rakyat sudah tamat sessi persidangannya. Kini tiba giliran Dewan Negara pula.


Ruang legar Parlimen. Di sini diletakkan beberapa televisyen menyiarkan siaran langsung apa yang berlaku di dalam dewan persidangan. Pemberita media massa boleh mendapatkan bahan berita dari television di sini tanpa masuk ke dalam dewan. Saya tidak pasti sama ada kemudahan ini sudah ada pada tahun 1969 dulu.


Di galeri dewan persidangan yang dikhaskan untuk para pemerhati. Tempat terhad kepada 30 orang pemerhati sahaja dan mengambil gambar persidangan tidak dibenarkan. Saya sempat melihat seorang Senator membacakan pertanyaan kepada satu Kementerian. Soalan dijawab oleh seorang Timbalan Menteri. Apa yang menarik ialah Senator itu junior saya di sekolah dan Timbalan Menteri pula kawan sekelas saya di sekolah yang sama.


Selepas melihat persidangan Dewan Negara secara 'live' kami dibawa melawat dewan persidangan Dewan Negara yang lama. Saya duduk di kerusi yang dikhaskan untuk Menteri Kabinet dan Timbalan mereka.

Tan Seri Wan Mahmood, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia sedang menanyakan sesuatu kepada Tan Seri Abu Zahar Ujang, Yang Di Pertua Dewan Negara. Tan Seri Wan Mahmood berdiri di tempat yang dikhaskan untnk Perdana Menteri di dewan lama Dewan Negara ini.

Lepas makan tengah hari kami dibawa ke pejabat Yang Di Pertua Dewan Negara.

Antara tetamu yang sama-sama melawat.

Lagi tetamu.

Seperti saya ada juga tetamu yang mengambil gambar.

Juga tetamu.

Biasalah, di akhir majlis tuan rumah dan tetamu bertukar cenderamata.

Tidak sah jika saya tidak mengambil gambar di luar bangunnan Parlimen. Tali leher dan kot sudah ditanggalkan.

Sekian.

1 comment:

Al-Manar said...

A building I know well from outside, never from inside. Consider yourself lucky.