Thursday, October 20, 2022

RASA TAKUT BILA TELEFON BERBUNYI

Telefon bimbit pertama

Sejak bersara, saya tidak lagi menerima jumlah panggilan telefon seperti sebelumnya. Tetapi sekurang-kurangnya walau pun panggilan berkurangan, ia kebanyakannya membawa berita baik. Maklum sajalah semasa kerja dulu macam-macam panggilan yang saya terima. 

Bila saya memegang jawatan Setiausaha kepada satu badan bukan kerajaan atau NGO yang mewakili para pesara kerajaan, panggilan telefon bertambah semula. Di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bila saya kurangkan kekerapan pergi ke pejabat, saya alihkan semua panggilan ke telefon pejabat ke telefon bimbit. Ini bermakna saya menerima panggilan urusan pejabat di mana saya berada.

Hari ini merupakan hari terakhir Persidangan Perwakilan Kebangsaan persatuan pesara saya yang berlangsung selama tiga hari. Persidangan ini diadakan secara bergilir di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Tahun ini ialah giliran Negeri Sembilan menjadi tuan rumah. Sudah menjadi tradisi kami melibatkan pembesar negeri untuk merasmikan Persidangan itu di satu majlis makan malam. 

Ini bermakna malam tadi Persidangan kami dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Penglibatan pembesar negeri atau negara di mana-mana majlis bukanlah satu perkara yang senang. Yang paling penting protokol hendaklah diikut. 

Itulah yang membuatkan telefon saya berbunyi lebih kerap dari biasa dalam tempoh dua minggu yang lepas. Ia membuatkan saya sentiasa merasa cemas sehingga saya rasa hendak menutupnya sahaja dalam jangka masa-masa tertentu.

Kemudian saya tanya diri saya kenapa saya sekarang merasa takut bila telefon saya berbunyi. Tidak seperti sebelumnya bila saya gembira bila ia berdering.

Jawapannya senang sahaja. Sebelum ini saya menerima panggilan dari orang-orang yang memerlukan pertolongan dan saya pula terasa amat puas bila dapat menolong pemanggil tersebut yang kebanyakannya ialah pesara seperti saya. 

Dalam tempoh dua minggu lepas saya banyak menerima telefon berkenaan persiapan majlis perasmian Persidangan Perwakilan persatuan saya itu. Antara panggilan (dan pesanan bertulis) ialah pertanyaan bila dan bagaimana satu-satu tindakan itu perlu dibuat? 

Panggilan yang paling saya benci ialah bila seorang itu meminta saya menyampaikan permintaan atau arahan kepada pihak ketiga. Seolah-olah pemanggil itu takut hendak bercakap terus dengan pihak ketiga itu. Pemanggil itu berfikir saya ada kuasa untuk membuat permintaan atau arahan. Sehingga bila majlis sedang berjalan pun saya menerima panggilan serupa. Kemuncaknya ialah bila saya menjerit bila mendapat satu panggilan telefon jenis itu malam tadi di lobi hotel di mana majlis diadakan. 

Alhamdulillah itulah panggilan cemas terakhir yang saya terima. Majlis telah berjalan dengan lancar. Mulai hari ini sudah tentu saya tidak akan menerima panggilan-panggilan cemas lagi. Saya sedang menunggu panggilan-panggilan tertunggak di mana saya telah meminta pemanggilnya memanggil saya semula mulai hari esok.                  

Sekian.
          

No comments: