Apakah konsert rock yang paling hebat pernah dipentaskan? Ada yang berkata 'Woodstock Festival' pada tahun 1969. Tetapi mengikut majalah Time, konsert rock yang paling hebat pernah dipentaskan ialah 'Concert for Bangladesh' pada tahun 1972. Setelah memiliki DVD untuk kedua konsert tersebut baharulah saya faham mengapa majalah Time membuat pengakuan begitu.
Concert for Bangladesh telah diadakan di Madison Square Garden, New York, USA pada bulan Ogos 1972 untuk memungut derma amal menolong negara baru Bangladesh yang sebelum itu dikenali sebagai East Pakistan. Konsep konsert seperti ini kemudian dijadikan panduan kepada kosert amal lain seperti Live Aid.
Concert for Bangladesh bermula dengan persembahan sitar dan sarod oleh Ravi Shankar dan Ali Akhbar Khan. Dalam ucapan rengkasnya Ravi Shankar menceritakan bagaimana ia mendapat idea untuk mengadakan konsert itu. Dia telah berjumpa dengan mantan Beatle George Harrison untuk mengumpulkan kawan-kawannya untuk konsert tersebut. Kemudian Ravi berkata ia tidak mahu menceritakan bagaimana masalah di Bagladesh berlaku kerana 'kami bukan ahli politik tetapi artis'.
Sekarang ini banyak kita baca mengenai artis kita memasuki parti-parti politik. Kemudian mereka pun menjelajah seluruh negara menyatakan mengapa mereka memasuki parti-parti politik tertentu. Sehinggakan ada seorang artis itu berkata ia telah 'menganuti' parti yang dimasukinya. Tidakkah dia tahu kita menganuti agama, bukan parti politik.
Sebelum ini pun memang ada artis yang memasuki politik. Mantan Presiden USA Ronald Reagen adalah aktor terkenal di tahun-tahun lima puluhan. Di India, negara Ravi Shankar sendiri, ada aktor yang menjadi Ketua Menteri. Di negara kita pun aktor Jins Shamsudin aktif dalam politik.
Tetapi nama-nama yang saya sebutkan itu memang minat dalam politik. Ini sangat berbeza dengan artis-artis kita yang baru masuk politik itu. Mereka sebenarnya dipelawa memasuki parti-parti tertentu untuk kepentingan ketua-ketua parti berkenaan. Kemudian mereka pun dijemput naik ke atas pentas untuk membuat 'persembahan'. Oleh kerana mereka sudah biasa beraksi atas pentas, mereka sudah tentu tidak janggal lagi untuk berbuat demikian sekali lagi. Cuma kali ini mereka bukan menyanyi, tetapi mengutuk orang. Pendengar mereka pun terhibur, samalah seperti bagaimana mereka terhibur sebelum ini mendengar artis berkenaan menyanyi.
Banyak kita mendengar mengenai para artis kita yang tidak bersatu. Memasuki parti-parti politik yang berlainan menyebabkan mereka lagi tidak bersatu, melainkan jika mereka masuk satu parti sahaja. Saya belum pernah melihat mana-mana filem yang mengagungkan politik. Sebutan 'politik dan jenayah adalah sama' dan 'tulangnya bengkok seperti orang politik' adalah. Sepatutnya artis-artis kita ini belajar dari filem-filem yang dilakunkan oleh kawan-kawan mereka ini.
Jika para artis memikirkan keadaan negara kita sekarang sama seperti Bangladesh pada tahun 1972 buat sahaja satu konsert seperti Concert for Bangladesh itu. Mungkin ia boleh dipanggil konsert yang paling hebat pernah dipentaskan di Malaysia.
Jika tidak biarkan saja orang-orang politik yang buat kerja-kerja politik. Ini bukan kerja engkau orang.
No comments:
Post a Comment