Dalam filem P.Ramlee Nujum Pak Belalalang, Pak Belalang menyatakan boleh nampak imej pencuri dalam air jampinya. Dia kemudian berkata sesiapa yang tidak nampak imej itu adalah anak di luar nikah. Ini diikuti dengan semua orang dari orang-orang kampung, tok penghulu, pembesar istana, permaisuri dan raja sendiri mengaku nampak akan imej tersebut. Sebenarnya imej itu tidak ada, tetapi oleh kerana mereka takut dituduh sebagai anak di luar nikah, mereka mengaku nampak. Mereka sebenarnya dimainkan oleh Pak Belalang.
Dalam filem P. Ramlee juga Seniman Bujang Lapok, ketiga-tiga bujang lapuk pura-pura duduk di atas kerusi yang tidak ujud. Seorang bujang lapuk berkata, sesiapa tak nampak kerusi itu bermakna 'dia nak mampus'. Tiba-tiba pengurus studio dan seorang aktor mengaku nampak kerusi itu. Mereka takut 'nak mampus'.
Saya difahamkan P.Ramlee mendapat idea membuat filem dari membaca dan melihat filem-filem dari Hollywood, Hong Kong dan India. Sebagai contoh untuk watak tiga bujang lapuk, tiga abdul dan tiga do re mi P.Ramlee mendapat idea dari tiga Three Stooges.
Oleh itu saya fikir P.Ramlee mendapat idea tentang 'anak di luar nikah' dan 'nak mampus' dari cerita 'The King's New Clothes' atau maksudnya 'Persalinan Baru Untuk Raja'. Ceritanya begini:
Di zaman dahulu ada seorang raja yang suka memakai baju baru dan menayangkannya kepada rakyat jelata. Pada suatu hari baginda didatangi dua orang yang mengaku sebagai tukang jahit. Mereka mengaku mempunyai kain isimewa yang ingin dipersembahkan kepada beginda sebagai persalinan baru baginda. Mereka menambah, kain ini hanya boleh dilihat oleh mereka yang tertentu sahaja. Sesiapa yang tidak nampak adalah tolol dan tidak layak memegang jawatannya.
Raja pun bersetuju sambil ingin tahu siapakah diantara memanda istananya yang tidak layak memegang jawatan. Semasa persalinan barunya disiapkan baginda menghantar beberapa memanda untuk melihat akan perkembangannya. Tukang jahit tadi pura-pura menjahit pakaian dengan benang dan kain yang memang tidak ujud. Tetapi para memanda tadi yang malu ditududuh tolol dan tidak layak memegang jawatan melaporkan kepada baginda tentang berapa cantiknya persalinan baru baginda.
Kemudian tibalah hari yang beresejarah di mana raja mamakai persalinan barunya. Kedua-dua tukang jahit tadi datang ke istana dan pura-pura mengenakan persalinan baru kepada baginda yang hanya memakai seluar dalam. Baginda yang juga tidak mahu dianggap tolol dan tidak layak bertakhta sempat memuji tukang-tukang jahit tadi tentang hasil kerja mereka. Setelah menerima bayaran yang lumayan kedua-dua tukang jahit pun melarikan diri.
Tibalah masanya pula untuk baginda menayangkan persalinan barunya kepada rakyat jelata seperti biasa. Baginda menaiki kereta berkuda sambil rakyat jelata bersorak dan memuji bagaimana indahnya baginda dengan persalinan barunya. Mereka juga tidak mahu dituduh tolol dan tidak layak memegang jawatan.
Tiba-tiba seorang budak kecil yang tidak tahu menahu akan cerita sebenar menjerit 'Tuanku tak pakai baju'. Rakyat jelata yang lain pun turut sama menjerit 'Tuanku tak pakai baju' sambil ketawa. Yang tidak ketawa ialah raja dan memanda baginda. Raja sedar baginda ditipu dan para memanda juga sedar mereka telah berpura-pura kepada raja mereka.
Saya timbulkan cerita ini kerana rakyat jelata Malaysai baharu sahaja melihat pertabalan Yang di-Pertuan Agong di kaca TV. Kemudian timbul cerita beberapa orang yang sama-sama berada dalam Istana Negara semasa upacara pertabalan mempersendakan pemimpin-peminpin negara dan raja-raja Melayu di istiadat itu. Sehingga ada yang mencadangkan supaya diadakan satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat perkara ini.
Saya sendiri melihat upacara pertabalan itu dari mula hingga akhir di kaca TV bersama isteri. Saya dan isteri tidak lepas dari memberi komen tentang pakaian yang dipakai oleh para tetamu, pembesar-pembesar negara dan raja-raja Melayu. Tetapi komen kami tertumpu kepada pakaian perempuan yang tidak menutup aurat, tidak kira mereka tetamu, isteri pembesar negara atau permaisuri raja. Bagi kami yang salah di sisi agama tetap salah walau bagaimana tinggi kedudukan kita dalam masyarakat.
Oleh itu jika ada sesiapa yang berpakaian tidak tepat atau tidak berpakain langsung di apa-apa upacara sama ada rasmi atau tidak janganlah harap sesiapa untuk memujinya. Jangan pula dipersalahkan sesiapa yang mempersendakannya. Tidak payahlah untuk diadakan satu suruhanjaya diraja untuk mencari siapa yang salah.
Kerana yang jelas salah ialah mereka yang memakai pakaian atau persalinan itu sendiri.
No comments:
Post a Comment