Sunday, June 25, 2017

Buli

Di Hari Raya ini saya ingin menulis sedikit mengenai satu isu yang mungkin dilupakan semasa kita beraya. Isunya ialah isu buli yang hangat diceritakan di media massa beberapa minggu yang lepas. Ia menjadi isu yang hangat kerana telah menyebabkan kematian.

Perkataan buli berasal dari Bahasa Inggeris 'bully'. Ini bermakna tidak ada perkataan Bahasa Melayu asal yang bermaksud 'buli'. Ini juga bermakna perbuatan membuli adalah satu tabiat yang ditiru oleh orang Melayu dari luar. Tak payahlah saya ceritakan apa maksud buli kerana semua orang mengetahuinya.

Saya bersekolah menengah di satu sekolah berasrama penuh. Ini menyebabkan saya berisiko dibuli atau membuli. Sehingga sekarang saya masih ditanya pernahkan saya dibuli? Mungkin mereka yang bertanya itu segan nak bertanya sama ada saya juga pernah membuli. 

Jawapan saya senang sahaja iaitu saya tidak pernah dibuli. Selepas itu saya jawab soalan yang mereka segan nak tanya saya itu. Saya terus terang menyatakan kerana tidak pernah dibuli saya juga tidak tahu bagaimana membuli. 

Tidak payahlah saya ceritakan kenapa manusia atau lebih tepat remaja sanggup membuli. Para pembaca boleh mendapat jawapannya melalui internet. Saya juga ada membaca apa yang ditulis di internet itu. Memang betul apa yang yang ditulis kerana walau pun saya tidak pernah dibuli atau membuli saya ternampak juga kegiatan buli di depan mata sendiri, walau pun biasanya saya melarikan diri dari terus melihatnya.

Malah saya pernah melihat perbuatan buli semasa saya bersekolah rendah lagi. Kami berjalan kaki ke sekolah dan dalam perjalanan pergi dan balik ke sekolah itulah saya pernah nampak murid-murid yang senior membuli yang junior. Siapa kata kegiatan buli berlaku dikalangan remaja belasan tahun atau awal dua puluhan sahaja?

Beberapa tahun dulu saya pernah berbual dengan Pengetua sekolah menengah saya di masa itu? Kebetulan Pengetua ini juga pernah bersekolah di sekolah yang sama. Katanya ada tiga ketegori pelajar di sekolah kami itu iaitu dari keluarga susah, keluarga pertengahan dan keluarga senang. 

Tambahnya lagi para pelajar dari keluarga susah dan senang tidak menimbulkan masalah. Mereka yang menimbulkan masalah ialah yang datang dari keluarga pertengahan.

Saya tidak tahu sama ada mereka yang membuli di sekolah atau pusat pengajian tinggi terdiri dari mereka yang datang dari keluarga pertengahan. Cuma saya tahu saya datang dari keluarga susah. Itu sebab agaknya kenapa saya tidak pernah dibuli dan membuli.   

No comments: