Walau pun saya tinggal cuma beberapa puluh kilometer kilometer dari Pekan dan Mukim Rantau, saya jarang-jarang ke sana. Tetapi saya akan ceritakan di sini pengalaman saya dengan Rantau sebagai Pekan atau Mukim dan orang-orang atau perkara yang berkaitan dengannya.
HASHIM, SALLEH DAN ALIAS
Hashim, Salleh dan Alias ialah kawan-kawan sekelas dan setingkatan saya di sekolah menengah. Hashim dan Salleh berasal dari Kampung Siliau, dan Alias dari Kampung Limsum. Kedua-dua kampung di Mukim Rantau itu dipisahkan oleh Sungai Linggi yang mengalir dari Seremban ke laut di Port Dickson. Kampung-kampung itu pula dihubungi oleh dua jambatan bersebelahan. Untuk mengetahui mengenainya sila sila klik di sini dan di sini.
Walau pun Hasshim, Salleh, Alias dan saya berasal dari Negeri Sembilan, kami tidak bersekolah menengah di negeri ini. Ini kerana kami berjaya memasuki Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR di Tanjong Malim, Perak, iaitu antara Sekolah Berasrama Penuh (SBP) paling awal di negara kita. Kebetulan sekolah kami itu sekarang sudah berpindah ke Sungai Gadut, Seremban, cuma beberapa kilometer dari Mukim dan Pekan Rantau.
Saya sering berjumpa Hashim semasa aktiviti-aktiviti reunion selepas keluar sekolah. Kebetulan Hashim cukup rapat dengan Salamon (Dato') yang cuma setahun senior dari kami dan pernah menjadi Yang Di Pertua, Persatuan murid-murid tua sekolah kami yang lebih dikenali dengan panggilan SDARA untuk beberapa tahun.
Hashim meninggal dunia lebih dua puluh tahun yang lalu di Semarang, Indonesia. Salamon yang di masa itu menjadi Setiausaha Politik kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, iaitu Timbalan Perdana Menteri di masa itu telah mengusahakan pembawaan balik jenazah Hashim ke kampungnya di Siliau, Rantau. Saya sama-sama menziarahi Hashim dan disitu juga saya berjumpa sekali lagi dengan Salleh. Tetapi itu juga menjadi pertemuan terakhir saya dengan Salleh kerana dia telah meninggal dunia beberapa bulan yang lalu di Kg. Kadok, Kelantan.
Beberapa bulan selepas pemergian Hashim, seorang jiran saya di Paroi Jaya, mengajak saya menghantar anak lelakinya yang berkahwin dengan orang Siliau. Di Siliau saya dapati rumah pengantin perempuan cuma bersebelahan dengan rumah Hashim.
Bila saya ceritakan hal itu dengan tuan rumah, dia menjawab dia dan Hashim bersaudara dan saya terus dikenalkan dengan keluarga Hashim, antaranya balu dan emak Hashim. Bila saya ceritakan yang saya sama satu kelas dengan Hashim di SDAR, emak Hashim terus memeluk dan mencium saya sambil menangis.
Saya akui reaksi emak Hashim ialah kerana melihat betapa ramainya kami Sdarians datang semasa kepulangan jenazah anaknya ke kampung dan betapa akrabnya Hashim dengan kawan-kawan sekolahnya semasa hayatnya, terutama dengan Salamon. Emak Hashim bercerita bagaimana Salamon berusaha membawa jenazah anaknya pulang ke kampung tanpa banyak kerenah diplomatik.
Saya telah putus hubungan sepenuhnya dengan Alias dari Kampung Linsum sejak keluar sekolah.
PUSAT KESIHATAN KECIL RANTAU
Semasa saya menjadi Inspektor Kesihatan pelatih di Pejabat Kesihatan Seremban di tahun-tahun 1969 dan 1970 jurulatih saya Vaitilingam sering membawa saya ke Mukim Rantau membuat kerja-kerja kesihatan. Setiap kali ke sana kami akan singgah di Pusat Kesihatan Kecil (PKK) Rantau.
Di masa itu PKK Rantau diketuai oleh seorang Pembantu Hospital (sekarang Penolong Pegawai Perubatan) bernama Ee Hock Chuan. Bahagian Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak diketuai oleh seorang Jururawat (Staff Nurse) bernama Ong Swee Lian. Tetapi Vaitilingam dan saya banyak berurusan dengan seorang Pengawas Kesihatan bernama Anthony Nathan.
Apabila saya ditempatkan di Kelantan setelah tamat latihan dan kemudian kembali ke Seremban untuk bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) hubungan saya dengan PKK Rantau terputus. Tetapi saya banyak menggunakan pengalaman saya di sana terutama apa yang ditunjuk ajar oleh Vaitilingam dan Anthony Nathan untuk kerjaya saya.
PKK Rantau sekarang sudah dibesarkan dan dikenali sebagai Klinik Kesihatan Rantau. Sudah tentu ada beberapa orang doktor di situ.
ONCE A SDARIAN, ALWAYS A SDARIAN
Saya ditempatkan di Kelantan pada 2 Januari 1972 di hari yang sama SDAR mula berpindah di Jalan Sikamat, Seremban. Saya mula bekerja di MPS pada 2 Januari 1973 dan sejak itu saya menjadi Sdarian semula. Antaranya saya turut bersama menyokong pasukan-pasukan sukan SDAR, sehingga hari ini.
Di antara tempat ke mana saya mengikuti pasukan sukan SDAR ialah Rantau. Tahunnya 1973 tatkala saya masih bujang. Saya mengikuti pasukan bolesepak SDAR ke Sekolah Menengah Rantau (nama sekolah itu di masa itu).
Dari situlah saya dapati keadaan sudah berubah dan sokongan Sdarians tidak seperti semasa saya belajar di Tanjong Malim, dulu. Kali ini lebih hebat dan sekarang Sdarians disyaratkan memakai t-shirt berwarna oren bila menyokong pasukan mereka. Kebetulan saya mempunyai t-shirt yang sama yang saya beli semasa SDAR berpindah ke Sungai Gadut pada tahun 2002.
TOK MAT
Tak payahlah saya ceritakan siapa itu Tok Mat. Cuma saya nak beritahu sudah mengenali Tok Mat sebelum dia menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan lagi. Anak saya Ina pernah bekerja dengan syarikat di mana abang kepada Tok Mat mempunyai kepentingan. Di satu hari abang Tok Mat itu menjemput Ina dan keluarga ke majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri keluarganya di Rantau. Saya pun ikut sama.
Di majlis itu saya berjumpa dengan seorang lagi abang Tok Mat bernama Azmi yang pernah bekerja di MPS. Oh ya, saya ternampak Tok Mat di situ walau pun saya tidak menjangka akan masa depannya.
Sejak itu saya jarang tertinggal untuk hadir di majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Tok Mat di Rantau.
Sekian.
No comments:
Post a Comment