Wednesday, April 3, 2019

Kami bukan persatuan untuk pesara.


Kawan-kawan pesara saya di Persidangan Perwakilan di Shah Alam, Selangor beberapa tahun yang lalu.

Di waktu ini saya sedang mengulangi apa yang saya lakukan setiap tahun sejak enam tahun yang lalu. Saya sedang memasuki data-data persatuan pesara saya ke dalam dalam satu sistem yang dinamakan eROSES. 

eROSES ialah sistem di mana maklumat data-data pertubuhan bukan kerajaan atau NGO dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan atau ROS secara online. Sistem ini pula mewajibkan hanya Setiausaha kepada mana-mana NGO memasuki data-data tersebut. Data hendaklah dimasukkan dalam tempoh 60 hari selepas Mesyuarat Agung.

Saya mengenali wROSES apabila satu lagi persatuan di mana saya juga menjadi Setiausaha menerima surat berwarna kuning dari ROS. Surat berupa notis itu yang menyatakan NGO saya telah tidak menghantar laporan untuk beberapa tahun dan menghadapi risiko dibatalkan perdaftarannya.

Yang Di Pertua saya yang menerima notis itu meminta saya pergi sendiri ke pejabat ROS di Seremban untuk menyelesaikan masalah kami. 

Bila saya mengenalkan diri di pejabat ROS, pegawai di situ ingin berjumpa dengan orang yang berdaftar sebagai Setiausaha NGO saya dalam rekod mereka. Orang yang dimaksudkan sudah berhenti dari menjadi Setiausaha beberapa tahun yang lalu, tetapi pegawai ROS meminta saya mencarinya untuk mengisi maklumat dan data ke sistem eROSES. 

Saya katakan tidak kenal dengan bekas Setiausaha itu dan tidak tahu di mana dia berada sekarang. Saya juga menawarkan untuk mengisi maklumat yang diperlukan. Tetapi pegawai itu bertegas mengatakan saya tidak boleh berbuat begitu dan perkara itu hendaklah dibuat oleh bekas Setiausaha.

Saya yang sepanjang kerjaya bekerja dengan kerajaan tahu bagi pegawai kerajaan  sebutan 'The customer is always right' tidak bermakna apa-apa. Saya pun merancang bagaimana hendak menyelamatkan NGO saya dari dibatalkan.

Saya meminta diterangkan apa itu eROSES. Bagi saya yang celik komputer ini tidak ada masalah untuk memahaminya, walau pun saya berani katakan ia tidak mesra pengguna.

Setelah mendapat maklumat dan data-data untuk tahun-tahun sebelumnya dari Yang Di Pertua, saya pun membuat langkah seterusnya. Dengan mencipta 'username',  'passsword' dan email untuk bekas Setiausaha, saya pun memasukkan maklumat dan data-data yang telah tertunggak beberapa tahun itu, seolah-olah ia dimasukkan oleh bekas Setiausaha itu. Di lain perkataan saya menyamar sebagai orang lain.

Akhirnya saya mencipta 'username' dan 'password' untuk saya sendiri dan memasukkan data-data secara sah dari tempoh saya menjadi Setiausaha. Selamatlah NGO saya dari dibatalkan pendaftarannya.

Bila Setiausaha Agung pesatuan pesara saya di Kuala Lumpur mengarahkan  semua Setiasaha di peringkat negeri dan daerah memasukkan data-data ke sistem eROSES saya sambut arahan itu dengan senang hati. Cuma saya ada masalah dengan Setiausaha persatuan saya di peringkat daerah yang berjumlah tujuh semuanya. Walau pun ada diantaranya celik komputer, sistem internet adalah asing bagi mereka. Apa lagi dengan sistem eROSES yang tidak mesra pengguna itu. 

Saya terus menghubungi ibu pejabat ROS di Putrajaya dan bercakap terus dengan pegawai yang menjaga sistem eROSES. Saya nyatakan kami bukanlah persatuan untuk pesara. Kami ialah persatuun pesara dan setiap ahli kami berumur sekurang-kurangnya 60 tahun. Berapa orangkah dari kami yang celik komputer dan berapa orang pula yang boleh menggunakan sistem eROSES yang tidak mesra pengguna itu?

Saya bandingkan persatuan kami dengan persatuan untuk orang-orang buta (society for the blind) yang ahli-ahlinya tidak buta. Saya tidak tahu jika ada persatuan orang-orang buta (society of the blind). 

Kali ini saya tidak mahu menyamar secara gelap lagi. Saya terus terangkan kepada pegawai itu yang saya akan menyamar menjadi Setiausaha kepada setiap tujuh cawangan saya. Dia jawab itu terpulanglah kepada saya.

Saya telah melakukan kerja-kerja menyamar itu untuk beberapa tahun lamanya.   

No comments: