Friday, October 11, 2019

Mereka pun ada sikap perkauman.


Birthday 1 tahun anak saya Halimi pada 1976. Antara yang datang, jiran-jiran Ceylonese, India dan Melayu. Dalam gambar itu juga anak jiran yang menjerit 'Uncle" kepada saya di perkarangan satu Masjid berpuluh tahun kemudian.

Saya tertarik dengan berita Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menahan tujuh warganegara Malaysia kerana terlibat degan satu kumpulan yang dinamakan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) atau Tamil Tigers. LTTE ini ialah satu kumpulan pemisah di Sri Lanka.

Mungkin generasi muda sekarang tidak tahu Sri Lanka dulu dipanggil Ceylon. Ramai keturunan Sri Lanka menetap di Malaysia dan mereka dipanggil Ceylonese dan ini membezakan mereka dari keturunan India di sini yang dipanggil Indian dan Sikh. Saya belum pernah mendengar sesiapa warganegara Malaysia mengaku keturunan Sri Lankan. Malah Negeri Sembilan Ceylonese Association tetap menggunakan nama itu walau pun negara asal ahli-ahlinya sudah bertukar nama.

Semasa saya mula bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada tahun 1973 saya mula disedarkan dengan perbezaan antara kaum India dan Ceylonese ini. Antara kawan-kawan sekerja saya ada yang berbangsa India dan Ceylonese. Satu hari pengusaha stesen minyak berbangsa Sikh di sebelah bangunan MPS itu mengingatkan saya supaya 'Be careful' dengan kawan-kawan Ceylonese saya itu.

Tetapi saya tidak peduli dengan peringatannya. Polisi saya ialah 'kalau saya tak kacau orang, orang tak kan kacau saya'. Lagi pun saya sudah lali dengan sifat 'racist' pegawai-pegawai Melayu di MPS untuk memikirkan satu lagi masalah perkauman.

Bila saya menyewa rumah di Mambau, Seremban pada tahun 1975 baru saya mengalami perbezaan antara orang India dengan Ceylonese. Jiran sebelah kiri saya ialah India dan sebelah kanan pula Ceylonese. Tuan rumah saya pula seorang Ceylonese.

Jiran Ceylonese saya dipulaukan oleh boleh dikatakan semua kaum India yang merupakan kaum majoriti di taman itu. Oleh kerana saya tidak memihak ke mana-mana kumpulan, jiran Ceylonese saya amat rapat dengan saya. Anak sulung saya Halimi yang saya bawa ke situ semasa berumur beberapa bulan sahaja, bermain dengan anak-anak mereka di rumah mereka boleh dikatakan setiap hari.

Pada tahun 1978 saya berpindah ke Taman Paroi Jaya, kerana membeli rumah sendiri di sana sehingga saya bersara pada tahun 2006. Jiran Ceylonese saya sedih dengan pemergian saya. Ditakdirkan Allah, seorang anak lelaki mereka memeluk agama Islam. Dia yang suka mendukung anak saya Halimi semasa kecil, kemudian menetap di Taman Bukti, Ampangan, dekat dengan rumah saya.

Yang melucukan, oleh kerana saya sering bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan jiran Ceylonese saya, ini terbawa-bawa kepada hubungan saya dengan anak mereka itu. Satu hari bila dia nampak saya di Masjid Kariah Paroi Jaya semasa hendak solat Jumaat dia menjerit 'Uncle' dan terus berbahasa Inggeris dengan saya. Ini membuatkan semua jemaah di situ berpaling kepada kami.

Syukur juga ini berlaku di luar masjid. Kemudian saya menasihatkannya supaya 'Don't raise your voice' di perkarangan masjid. Berbahasa Inggeris itu 'no problem'.

Dua hari lepas, Persatuan Pesara saya menganjurkan satu program di Jelebu, Negeri Sembilan. Antara yang dijemput untuk diraikan ialah seorang yang pernah memegang jawatan tinggi di persatuan. Saya pangil dia R saja di sini. Apabila menerima surat jemputan dari saya, R terus menjawab melalui WhatsApp akan hadir. Tetapi dia minta saya uruskan pengangkutan untuknya.

Memikirkan R berbangsa India dan memikirkan ramai kawan-kawan persatuan saya berbangsa India akan ke program yang sama, saya fikirkan tentu ada dari mereka yang sanggup membawa R ke Jelebu. Tetapi mereka semua ada alasan. Saya sendiri sanggup membawa R ke Jelebu, tetapi sebagai Setiausaha saya terpaksa datang awal dan rumah saya juga jauh dari rumah R. Akirnya R tidak dapat pergi ke Jelebu.

Sehari sebelum ke Jelebu, saya tanya satu soalan cepumas kepada Bendahari saya, seorang India 'Adakah R ini seorang Ceylonese?'. Bendahari saya jawab 'Ya'.  

Terjawablah soalan saya selama ini kenapa tidak ada yang sanggup membawa R ke Jelebu. 

Sekian.

No comments: