Monday, March 28, 2022

DIA MELAMBAI SAYA.

 

Jelas pengantin lelaki memandang saya.

Lebih kurang 42 tahun yang lalu atau di tahun 1980 saya lalu di satu kampung di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Saya perlahankan kereta saya model DATSUN 120Y kerana nampak sepasang pengantin baru sedang diarak. Dalam kereta ialah isteri dan dua anak saya yang masih kecil.

Tiba-tiba pengantin lelaki melambai tangan kepada saya. Saya pun memberhentikan kereta untuk mengetahui siapa pengantin itu. Rupa-rupanya dia seorang mekanik di TAN CHONG MOTORS Seremban di mana saya menghantar kereta untuk di servis. Pengantin itu amat kenal dengan kereta saya kerana nombor kereta saya pernah mendapat hadiah pertama judi empat nombor ekor MAGNUM dan tuan punya kereta itu mendapat sedikit habuan.

Apa yang membuatkan pengantin itu ingat akan kereta saya ialah di minggu 'nombor kereta itu naik' dia yang memberi servis kereta saya. "Kereta itu ada dalam tangan saya" katanya sambil menyesal tidak membeli nombor pendaftarannya.

Semalam pula seorang lagi pengantin lelaki melambai kepada saya, tetapi di situasi berbeza. Dia ialah anak lelaki kepada seorang jiran se taman saya dan namanya Muhammad Hazim. Apabila bapa Hazim datang menghulurkan kad jemputan beberapa minggu yang lalu, saya bertekad hendak pergi, bukan untuk memenuhi jemputan itu, tetapi untuk bersemuka dengan pengantin.

Ini kerana saya sudah lama tidak nampak kelibat Hazim. Saya kenal dia semasa dia di bangku sekolah lagi. Dia sering bermain bolasepak dengan kawan-kawannya di padang di depan rumah saya ini. Saya perhatikan dia pemain bola yang baik. Saya pula pernah menumpangkannya balik dari sekolah sekurang-kurangnya dua kali. Di dalam kereta dia tak banyak cakap, seolah-olah malu. Dari itu juga saya tahu di mana rumahnya dan dia anak siapa.

Tidak hairanlah semalam bila saya mendekatinya untuk mengambil gambar dia berarak ke rumahnya bersama pasangannya dia melambaikan tangan kepada saya. Ingatan saya terus pergi ke 42 tahun lalu di satu kampung di Juasseh, Kuala Pilah itu. 

Saya mula kenal pengantin lama itu di satu pusat servis kereta. Saya pula mula kenal pengantin baru ini di satu padang. Walau pun pusat servis kereta itu masih ada dengan kemudahan lebih moden,  padang itu sudah tiada lagi sekarang, kerana diatasnya sudah didirikan satu dewan besar. Ini kerana kerakusan pihak-pihak tertentu yang memikirkan dewan ini mengatasi segala-galanya. Pedulikan padang di mana anak-anak boleh bermain bola di waktu petang. Pedulikan padang ini pernah dijadikan tapak hari keluarga taman ini beberapa kali. Mereka sanggup melanggar undang-undang kerana padang itu sudah diwartakan sebagai 'KAWASAN LAPANG'.

Sekarang saya tidak berpeluang mengenali anak-anak jiran saya sebagaimana saya mengenali Hazim. Saya tidak nampak lagi anak-anak remaja taman-taman saya berkumpul untuk bermain bola dan sebagainya. Bila saya nampak budak-budak balik dari sekolah, saya tidak pasti adakah mereka itu anak-anak jiran saya untuk saya tumpangkan.

Sekian.

No comments: