Sunday, June 19, 2022

PERATURAN LAPUK.

Gambar persediaan pilihanraya di mana saya terlibat.

LURUS BENDUL.

Di Pilihanraya Umum ke 8 (PRU 8) tahun 1990 saya dilantik sebagai Pembantu Pilihanraya oleh boss saya yang sudah dilantik sebagai Penolong Pegawai Pengurus atau Assistant Returning Officer (ARO).  Sebelum hari mengundi kami sering ke pejabat Pegawai Pengurus atau Returning Officer (RO) yang kebetulan Pegawai Daerah Seremban. 

Satu pagi RO panggil kami ke pejabatnya yang cuma 200 meter di belakang pejabat kami Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Perkara pertama yang disebutnya ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) baru sahaja memberinya Writ Pilihanraya. Kami diberi salinan-salinan Writ untuk diisi dan ditampal untuk perhatian umum. 

Boss terus minta saya balik ke pejabat membawa beberapa salinan Writ untuk diisi oleh seorang bernama Rusli (Allahyarham) yang tulisannya cukup cantik. Boss saya ini jenis yang tidak mahu menangguhkan kerja, tetapi sering mempersendakan mereka yang lurus bendul iaitu mereka yang mengikut arahan tanpa menyoal rasionalnya.

Sampai di pejabat saya dapati Rusli sudah keluar. Jika saya seorang yang lurus bendul saya boleh berdiam diri sambil menunggu boss balik. Bukankah arahannya untuk saya berjumpa Rusli?.  Tetapi saya bukan begitu dan meminta kawan saya Halim (Allahyarham) yang tulisannya juga cantik, untuk mengisi Writ tersebut.

Boss saya balik ke pejabat hampir waktu rehat tengah hari. Dia terus panggil saya dan minta tunjukkan Writ-writ yang sudah diisi. Mendapati ia diisi dengan sempurna dia panggil pula seorang pemandu van pejabat dan meminta saya menampal Writ 'di masa itu juga'.  Dia tidak peduli akan bantahan saya hendak pulang ke rumah dulu untuk makan tengah hari. Jelaslah dia juga seorang yang lurus bendul. Saya tidak pedulikan arahannya dan meminta pemandu datang semula ke pejabat pada jam 2.00 nanti. 

Tepat jam 2.00 saya dan pemandu dengan berbekalkan tukul besi dan paku tekan pergi menampal Writ di beberapa pokok. Boss asyik memanggil saya melalui 'walkie talkie' tetapi saya tidak pedulikannya. 

Saya balik ke pejabat bila ia hampir ditutup. Boss tanya ke mana saya pergi dan kenapa saya tidak jawab panggilannya. Saya jawab pergi ke kampung-kampung menampal Writ Pilihanraya dan saya tidak jawab panggilannya dengan alasan 'line' 'walkie talkie' tidak jelas di kampung-kampung.

Kemudian saya terangkan kenapa saya tidak akur kepada arahannya untuk menampal Writ Pilihanraya 'di masa itu juga'. Saya jelaskan penampalan salinan Writ Pilihanraya di tempat-tempat awam  tidak relevan lagi sekarang. Itu di tahun 1990.

'Fast forward' 32 tahun ke tahun 2022.

UNDANG-UNDANG LAPUK.

Perdana Menteri Dato' Seri Ismail Sabri mahu undang-undang lapuk di negara ini dihapuskan, lebih-lebih lagi di zaman digital sekarang. Bagi saya bukan sahaja undang-undang lapuk, tetapi peraturan-peraturan lapuk juga patut dihapuskan. Antaranya peraturan menampal salinan Writ Pilihanraya di tempat-tempat awam.

Apabila hendak diadakan Pilihanraya Umum (PRU) atau Pilihanraya Kecil (PRK), SPR akan bersidang. Selepas bersidang, Pengerusi SPR akan mengumumkan beberapa tarikh penting. Tarikh pertama ialah tarikh pengeluaran Writ Pilihanraya diikuti oleh tarikh penamaan calon dan diakhiri dengan tarikh keramat hari mengundi. 

Untuk mereka yang tidak tahu, Writ Pilihanraya atau BORANG 1 SPR  ialah surat arahan daripada SPR kepada Pegawai Pengurus atau RO untuk menjalankan pilihanraya. Writ tersebut hendaklah dibuat salinan untuk ditampal di tempat-tempat awam. Tujuannya untuk memberitahu orang awam akan kekosongan mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Oleh itu siapa yang berhajat untuk mengisi kekosongan tersebut bolehlah bertindak sepatutnya. Sudah tentu isi Writ berbeza dari satu kawasan dengan kawasan yang lain. 

Walau pun Writ Pilihanraya asal  (dari SPR kepsada RO) mungkin bersaiz kertas A4, tetapi salinannya (yang hendak ditampal ditempat-awam) dibuat dari kertas tebal bersaiz 2 kaki lebar dan 4 kaki panjang. Ia hendaklah tahan hujan dan panas walau pun tempoh lakunya hanya untuk beberapa hari.  

Salinan Writ untuk ditampal di tempat-tempat awam mungkin perlu di PRU 1 (tahun 1955) dan PRU 2 (tahun 1959) bila rakyat negara baharu sahaja dikenalkan dengan pilihanraya. Tetapi selepas itu mereka yang bercita-cita untuk mendapat gelaran Yang Berhormat (YB) sudah tahu apa yang mereka wajib buat untuk tujuan tersebut. Saya belum terbaca cerita di mana seorang itu mendakwa pihak berkuasa kerana tidak berpeluang bertanding kerana tidak ternampak mana-mana Writ Pilihanraya. 

Seperti kata Y.A.B. Perdana Menteri kita sudah masuk ke era digital. Mengisi salinan Writ Pilihanraya secara fizikal dan menampalkannya di tempat-tempat awam sudah tidak relevan lagi di era ini. Cuba bayangkan berapa keping salinan Writ diperlukan untuk semua 222 kawasan Parlimen di Pilihanraya Umum. Kerajaan boleh menjimatkan beribu atau berjuta ringgit jika salinan Writ Pilihanraya tidak diperlu dibuat.

Tetapi untuk memenuhi syarat-syarat undang-undang, mungkin Writ Pilihanraya boleh dipaparkan secara 'online' sahaja. Bakal-bakal Yang Berhormat boleh memilih kawasan DUN atau Parlimen di mana dia ingin bertanding untuk melihat Writ yang dipaparkan secara digital dan mencetaknya jika perlu. 

Sekian. 

No comments: