Saturday, July 4, 2009

Michael Jackson

Saya rasa kurang adil jika saya tidak menyentuh mengenai Michael Jackson apabila sekarang penghibur itu telah meninggalkan kita. Terus terang saya nyatakan bahawa saya bukanlah seorang peminat Michael Jackson. Pandangan ini sama seperti pandangan saya kepada Elvis Presley.

Elvis Presley dan Michael Jackson banyak persamaannya. Mereka mempunyai gaya persembahan yang hebat. Mereka juga mempunyai jutaan peminat dalam dunia ini , baik yang sudah meninggal dunia atau yang masih hidup. Secara kebetulan Michael Jackson juga pernah berkahwin dengan anak Elvis Presley. Tetapi entah kenapa saya tidak meminati Elvis Presley dan Michael Jackson.

Jadi siapa yang saya minat? Tak lain dan tidak bukan kumpulan The Beatles. Bagi saya The Beatles tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana kumpulan lain baik yang dulu atau sekarang. Tidak payahlah saya menceritakan mengenai mereka. Beli sahaja CD-CD mereka dan lihat filem-filem mereka A Hard Day's Night dan Help untuk mengetahui kehebatan mereka.

Bagitu sekali minat saya kepada The Beatles apabila mereka berpecah pada tahun 1970 saya seolah-olah berhenti dari meminati penyanyi atau kumpulan pop atau rock yang lain. Cuma sekali-sekali saya terpukau dengan lagu-lagu seperti Smoke on the Water dan Child in Time nyanyian Deep Purple, lagu Layla nyanyian Eric Clapton dan lagu Soul Sacrifice satu lagu instrumental kumpulan Santana.

Berbalik kepada Michael Jackson saya cuma meminati satu lagu beliau yang berjudul Ben. Lagu ini dipetik dari filem yang juga bertajuk Ben yang dikeluarkan pada tahun 1972. Jika saya pergi ke pusat-pusat karaoke saya akan cuba mencari lagu ini dan menyanyikannya.

Siapa Ben? Ben ialah nama seekor tikus yang menjadi hero filem itu. Saya masih ingat lagi menyewa pita VHS filem itu dan menunjukkannya di rumah. Di akhir filem itu terdengar Michael Jackson menyanyikan lagu Ben. Isteri saya Salmah terus berkata 'Laaa, rupanya lagu ni lagu tikus!'.

No comments: