Saturday, July 25, 2009

Ragut

Saya terpanggil untuk menulis mengenai kejadian ragut. Saya fikir kejadian ini telah reda selepas publisiti mengenai dua mangsa ragut di Johor dan Kelantan meninggal dunia akibat kejadian ragut. Tetapi rupa-rupanya tidak.

Pada hari Khamis 23 Julai 2009 baru-baru ini saya menerima satu email kumpulan dari seorang kawan sekolah saya Md. Shah menceritakan kejadian ragut yang menimpa anak perempuannya di Puchong, Selangor. Selain diragut anaknya juga ditikam di lehernya. Syukur Alhamdulillah kecederaannya tidak serious.

Md. Shah ialah seorang blogger juga dan blognya adalah seperti berikut:-http://mdshah53.blogspot.com/.

Semalam 24 Julai 2009 pula kita terbaca mengenai cerita dua orang peragut adik beradik meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Ini berikutan mangsa ragut mereka mengejar dengan keretanya dan akibatnya kedua-dua peragut tadi ditimpa kemalangan maut.

Saya sendiri pernah melihat kejadian ragut sebanyak dua kali. Pertama kali ialah lebih dari dua puluh tahun yang lalu.

Saya sedang memandu kereta saya dalam Bandar Seremban bersama kawan saya Hapis. Tiba-tiba dipersimpangan Jalan Sungai Ujung dengan Jalan Tuanku Munawir iaitu berhampiran dengan Courts sekarang kami terdengar seorang perempuan Melayu menjerit 'Tolong!". Saya juga sempat nampak seorang pemuda melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

Kawan saya Hapis yang nampak kejadian itu terus mengarahkan saya mengejar motosikal itu yang lari ke arah Lebuhraya Utara Selatan melalui Jalan Sungai Ujung.

Saya sempat berada selari dengan motosikal itu bila Hapis berkata 'Sudah, mari kita balik'. Saya sudah terfikir untuk memintas motosikal itu atau melanggarnya. Saya kata pada Hapis sekurang-kurangnya kita nak dapatkan beg yang diragut. Hapis menjawab beg yang diragut sudah dicampak balik setelah peragut nampak kita mula mengejarnya. Oleh kerana saya memandu saya tidak nampak kejadian sebenar meragut dan membaling semula beg yang diragut oleh peragut.

Tetapi kami sempat mencatitkan model motosikal dengan nombornya sekali. Hapis pula sempat bersemuka dengan peragut tadi apabila kereta saya berada selari dengan motosikalnya. Saya pun membuat pusingan-U dan mendapatkan perempuan tadi.

Kami dapati perempuan tadi memegang kembali begnya. Kami bertanya ada apa-apakah yang hilang? Jawapannya tiada. Kami pun memintanya membuat laporan Polis kerana kami pun hendak berbuat sama. Nasib baik kami berada betul-betul di tempat kejadian, akibatnya perempuan tadi tidak kehilangan apa-apa.

Kami pun terus membuat laporan di Balai Polis Seremban dengan memberikan model dan nombor motosikal yang kami kejar tadi. Saya tidak pasti kenapa saya sendiri tidak membawa perempuan tadi bersama-sama membuat laporannya.

Pada keesokan harinya kami terperanjat kerana menerima panggilan telefon di pejabat dari pihak Polis meminta kami datang ke Balai Polis untuk mengecam suspek. Sudah tentu saya tidak dapat mengecamnya kerana saya memandu. Tetapi kawan saya Hapis dapat mengecam secara positif kerana sempat bertentang mata semasa kejar mengejar semalam. Peragut ialah seorang pemuda berbangsa Cina. Polis juga memberitahu perempuan mangsa ragut juga telah membuat laporannya selepas kami.

Saya pun hairan kenapa pihak Polis dapat menahan suspek dengan bagitu pantas dan saya bertanya pegawai yang menjaga bagaimana mereka berjaya berbuat demikian. Jawapannya maklumat yang kami beri telah disebarkan kepada para detektif mereka. Para detektif pula telah menghubungi semua kedai-kedai motosikal supaya menguhubungi mereka jika ternampak motosikal berkenaan. Hasilnya seorang pengusaha kedai motosikal telah menalipon Polis apabila nampak motosikal ini masuk ke kedainya.

Walau bagaimana pun saya tidak mengikuti hasil tindakan Polis terhadap peragut ini.

Pengalaman kedua saya berlaku lebih kurang lima tahun yang lepas. Saya sedang berjalan kaki di persimpangan Jalan Dr. Krishnan dengan Jalan Tuanku Munawir berhampiran dengan Pasaraya The Store Baru. Masa itu bulan puasa dan tidak lama lagi datanglah Hari Raya. Saya nampak sebuah kereta menunggu paling hadapan di Lampu Trafik di situ. Dari kedudukannya ia datang dari Jalan Lee Sam. Kereta juga berhenti tepi sedikit. Saya perhatikan pemandunya seorang Melayu.

Apabila lampu trafik bertukar dari merah kepada hijau saya hairan kenapa kereta tadi tidak bergerak. Tetapi kereta-kereta yang dibelakang memotongnya tanpa masalah.

Tiba-tiba saya terdengar suara perempuan menjerit 'Tolong!'. Saya nampak seorang lelaki Melayu bergegas memasuki kereta yang berhenti tadi dan kereta terus memecut arah ke utara. Saya sempat membaca nombor kereta. Saya juga nampak mangsa ragut ialah seorang perempuan Cina.

Seorang pekedai Cina berhampiran terus menalipon Polis dan meminta saya sendiri bercakap di telefon bimbitnya. Saya beritahu Polis jenis kereta dan nombor pendaftaran sekali.

Sekali lagi saya telah menunaikan tugas saya sebagai seorang warga negara. Saya juga tidak tahu mengenai perkembangan kes ini.

Seorang mangsa ragut yang kehilangan beg tangan sudah tentu menghadapi trauma. Kalau setakat wang yang hilang mungkin tidak menjadi masalah besar kerana wang boleh diganti. Masalahnya ialah kehilangan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan, kad kredit dan kad bank.

Bercakap mengenai kehilangan beg tangan saya ada juga satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Tiga tahun yang lepas saya pergi berkursus bersama kawan-kawan sejabatan saya di Langkawi. Mereka pergi menaiki bas tetapi saya memutuskan untuk menaiki kapalterbang kesana dengan perbelanjaan sendiri.

Saya menaiki tren KTM Komuter dari Seremban ke Nilai dan dari Nilai menaikki bas ke KLIA.

Saya menggunakan kad Touch and Go di Stesen KTM Seremban yang sentiasa tersimpan dalam dompet saya. Setelah menyentuh kad Touch and Go saya terus memasukannya ke poket dan tidak kedalam dompet kerana memikirkan saya akan menggunakan kad ini sekali lagi di Stesen Nilai.

Setelah menaiki tren dan duduk saya baru sedar dompet saya tiada dengan saya. Saya tercari-cari dalam koc, juga tiada. Kemudian saya keluar dari koc dan menjerit dengan nada kuat 'Siapa ada nampak beg duit?' Tiba-tiba seorang India mengatakan 'Orang itu ambil' sambil menunjuk kedalam tren. Saya pun naik semula ke atas tren dan bersemuka dengan seorang Melayu yang dikatakan memegang dompet saya dan bertanya adakah dia terjumpa beg duit. Dia kata ada dan dengan selamba memulangkan beg duit saya.

Saya terus mengucapkan terima kasih kepadanya. Walau bagaimana pun saya masih bertanya-tanya apakah yang ada dalam fikirannya. Adakah beliau hanya akan berdiam diri dan menanti tuan punya dompet mencari dompetnya. Atau adakah beliau membuat inisiatif bertanya siapa yang hilang dompet.

Dalam perjalanan ke Nilai dan KLIA saya tertanya-tanya mengapakah saya begitu lalai sampai tercicir dompet. Jawapannya ialah kerana saya tergesa-gesa. Ia pasti berlaku selepas saya mengeluarkan kad Touch and Go. Sepatutnya saya masukkan kembali kedalam dompet.

Saya terfikir lagi jika dompet saya tidak dijumpai kembali saya terpaksa membatalkan penerbangan saya ke Langkawi. Yang paling utama ialah melaporkan kehilangan kad pengenalan, kad kredit, kad bank, kad kuasa, lesen memandu dan kad pesara saya. Saya terfikir betapa susahnya saya tanpa dokumen-dokumen berkenaan.

Berbalik kepada kes ragut tadi saya merasa kesihan juga kepada dua beradik yang meninggal dunia setelah meragut itu. Bagi saya adalah tidak adil kesalahan mereka meragut dibalas dengan nyawa mereka. Mereka juga bukan meragut sebagai satu hobi atau untuk menambah pendapatan mereka yang mungkin sudah cukup. Saya fikir mereka meragut kerana memikirkan itulah cara paling senang untuk mendapatkan wang. Mereka tidak terfikir akan kesusahan yang akan menimpa mangsa ragut.

Oleh itu kita berhati-hatilah supaya tidak diragut.

1 comment:

Anonymous said...

Tn Hj,

Kejadian ragut begitu menjadi2 bukan saja berlaku di kawasan bandar tetapi melarat ke kampong2.

Tiap2 kali saya balik kampong cerita kejadian ragut tak miss dari cerita terutama dari warga emas.Salah satunya seorang warga emas pergi membeli gula enau dari seorang pengusaha kampong bersebelahan.

Gula enau yang dibeli diisi dalam beg dan disangkut pada `handle' basikal dalam perjalanan balik. Pada pertengahan jalan balik ke rumah warga emas ni berselisih dengan seorang anak muda bermotosikal dan anak muda yang tak dikenali ni menghadang laluan warga emas itu dan dalam pada itulah merampas beg tadi.

Kerugian yang dialami `dua turus gula enau dan wang berbelas ringgit'. Nasib baik warga emas tadi tak membawa ic dan dokumen lain.

Satu lagi peristiwa seorang warga emas hendak menjual `getah sekerap' dan dalam perjalanan disekat oleh tiga anak muda yang tak dikenali. Satu guni berisi getah sekerap dirampas dibawa pergi. Kasihan orang tua ni.

Inilah antara contoh kejadian peristiwa malang yang dialami oleh warga emas yang tinggal di kampong. Banyak lagi peristiwa2 yang menyebabkan bukan saja warga emas malah sesiapa pun menjadi takut dan bimbang bila bersendirian.

Maklum jelah yang ramai tinggal di kampong adalah warga emas majoritinya perempuan. Manakala anak muda yang ada walau pun tak ramai tapi kebanyakannya `tak boleh pakai' menyusahkan orang. Sayang kampong seperti kampong saya yang tradisinya kubu kuat UMNO pada tahun 60an,70an dan 80an tidak lagi pada hari ini.

Bukannya penduduknya berpaling tadah tapi kampong macam dah tak berorang. Banyak rumah tinggal kalau ada pun seorang dua penghuni bagi sebuah rumah yang penghuninya warga emas.

MBAA