Sunday, August 9, 2009

Cerita arak


Nampaknya cerita penjualan minuman keras di Shah Alam, Selangor telah dipolitikkan. Saya tak mahu bercerita mengenai minuman keras atau arak ini dari segi politik kerana saya telah berjanji tidak mahu menyentuh politik dalam blog saya ini.

Ramai orang masih keliru mengenai penjualan arak ini. Sampai hari ini saya masih lagi ditanya contohnya "Kedai tu ada menjual shandy, beer dan stout. Dia ada lesen arak ke?" Oleh itu saya terpaksa menerangkan kepada penyoal itu mengenai keadaan sebenar dalam pengetahuan saya.

Saya sebut 'dalam pengetahuan saya' kerana dari tugas harian saya tahu sedikit sebanyak mengenai arak ini.

Dalam beberapa tahun ini saya mewakili jabatan saya untuk duduk dalam satu badan yang dinamakan Lembaga Pelesenan Eksais Daerah Seremban. Lembaga ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah (DO) Seremban dan tugas utamanya ialah meluluskan Lesen Jualan Arak untuk Daerah Seremban.

Lembaga ini bermesyuarat empat kali dalam setahun. Salah satu keunikannya ialah tarikh-tarikh mesyuarat digazetkan. Jika terjadi mesyuarat ditangguhkan oleh kerana tidak cukup korum dan sebagainya tarikh baru hendaklah digazetkan semula.

Permohonan lesen juga tidak rumit. Walau pun dalam undang-undang tidak disebut sudah tentu seorang Islam tidak dibenarkan memohon lesen arak ini. Satu perkara yang berbeza dengan permohonan lesen-lesen lain ialah setelah permohonan dibuat pemohon disyaratkan untuk mengiklankan permohonannya di akhbar. Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada apa-apa bantahan, jika ada.

Melalui Lembaga Pelesenan Eksais inilah jualan arak dapat dikawal. Sebagai contoh kami tidak meluluskan lesen arak di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam.

Walau bagaimana pun 'arak' di sini tidak termasuk shandy, beer dan stout yang bebas dijual secara runcit di kedai-kedai runcit, kedai-kedai serbanika, pasar mini dan pasar raya. Juga tidak melibatkan penjualan minuman yang sama di restoran dan gerai-gerai.

Arak yang perlu dilesenkan oleh Lembaga Pelesenan Eksais ialah ialah jenis 'Intoxicating Liquor' yang bermaksud 'Arak Memabukkan'. Antaranya ialah 'whiskey', 'brandy' dan 'wine'. Perbezaan shandy, beer dan stout dengan 'intoxicating liquor' ialah peratus alkoholnya dimana peratusan dalam 'intoxicating liquor' lebih tinggi.

Walau pun sekarang kita sudah masuk ke era moden di mana pencetak komputer atau printer digunakan untuk mencetak borang-borang termasuk lesen saya tidak faham kenapa Lesen Eksais Arak masih menggunakan tulisan tangan sekurang-kurangnya di Seremban dan sudah tentu di seluruh Negeri Sembilan juga.

Tetapi sekurang-kurangnya pengeluaran lesen secara tulisan tangan ini dapat mengesan penipuan. Ini berlaku di sebuah kedai runcit di pekan kecil Pajam, Seremban beberapa bulan yang lalu. Seorang pekedai runcit berbangsa India telah ditipu oleh seorang yang mengeluarkan Lesen Eksais Arak palsu. Pemalsuan dapat dikesan dari tulisan di borang lesen dan tanda tangan Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais iaitu Pegawai Daerah.

Pekedai ini telah ditipu dengan diberitahu amat susah untuk mendapatkan lesen arak. Oleh itu beliau diminta membayar sejumlah wang kepada penipu yang mengaku boleh mendapatkan lesen secara pintu belakang. Seorang ahli jawatankuasa Lembaga Eksais (bukan saya) telah mengesan pemalsuan ini dan melaporkannya kepada Lembaga dan juga pihak Polis. Lembaga telah menasihatkan pekedai mengenai prosedur memohon lesen arak dan akhirnya beliau diluluskan satu lesen yang sah.

Walau bagaimana pun istilah 'intoxicating liquor' atau 'arak memabukkan' ini boleh dipertikaikan. Contohnya meneguk satu sudu brandy belum tentu memabukkan, sedangkan setelah meneguk dua liter beer kalau peminumnya tak mabuk ia tentu seorang yang hebat.

Jika brandy dan lain-lain dikelaskan sebagai 'arak memabukkan' bagaimana pula dengan beer dan sebagainya. Jawapannya ialah shandy, beer dan stout dikelaskan sebagai 'beverage' atau minuman ringan sahaja. Ini bermakna dalam undang-undang penjualan shandy, beer dan stout sama syaratnya dengan penjualan coke, sarsi dan oren.

Saya tidak pasti mengenai isu sebenar di Shah Alam ini. Tetapi saya yakin isunya ialah penjualan shandy, beer dan stout dan bukan 'intoxicating liquor'. Jika isunya ialah 'intoxicating liquor' sudah tentu Lembaga Eksais di sana boleh mengambil tindakan.

Dari itu kerajaan Negeri Selangor adalah betul dari segi undang-undang tidak melarang penjualan minuman keras (saya percaya shandy, beer dan stout) di kedai-kedai runcit dan kedai-kedai serbanika. Cuma kedai-kedai diminta untuk mengamalkan apa yang dipanggil 'kawal selia kendiri' dalam penjualannya.

Walau bagaimana pun dalam Islam yang haram itu tetap haram. Minuman atau makanan yang mengandungi alkohol walau beberapa peratus kandungannya tetap haram. Soal 'intoxicating' atau 'memabukkan' tidak timbul. Oleh itu sebagai umat Islam kita juga dikehendaki mengamalkan 'kawal selia kendiri' supaya tidak membeli dan memakan minum makanan dan minuman yang kita tahu tidak halal.

Tidak payahlah dipolitikkan isu penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit atau kedai serbanika. Tak payahlah dikaitkan 'Takbir' dengan 'Take Beer'.

No comments: