Kejadian pecah rumah ada berlaku di taman saya ini. Ia biasa berlaku di waktu siang apabila kedua-dua tuan rumah suami isteri pergi kerja. Saya tidak menghadapi risiko ini oleh kerana Samlah tidak bekerja.
Tetapi baru-baru ini berlaku kejadian rompak di mana perompak memecah masuk diwaktu malam. Dua buah rumah terletak di belakang rumah saya dimasuki perompak bersenjatakan pisau. Ini berlaku hanya selang satu hari.
Dari itu kami penduduk di sini bermuafakat untuk mengadakan jadual rondaan di antara kami di waktu malam. Di samping itu kami juga mengadakan gotong royong membersihkan belukar di belakang taman kami.
Jika sebelum ini saya hanya bergaul dengan masyarakat Melayu Islam dalam aktiviti-aktiviti berkaitan surau, kali ini saya bergaul pula dengan beberapa orang bukan Melayu. Di samping itu kami mengumpulkan data-data nama, nombor rumah dan nombor talipon masing-masing untuk diedarkan, satu perkara yang belum pernah kami buat sebelum ini.
Semasa royong saya tertarik kepada seorang Cina yang dipanggil Uncle Chan sahaja. Dia menyumbang peralatan seperti mesin memotong rumput, parang dan kapak untuk kami gunakan.
Selepas gotong royong dan rondaan waktu malam kejadian pecah rumah nyata sudah berhenti. Tiga malam yang lepas tiba giliran saya meronda dalam kumpulan. Ini pengalaman pertama saya meronda di waktu malam di mana-mana pun walau pun saya pernah berjaga malam semasa Kursus Bina Semangat di Port Dickson pada tahun 1992 yang lalu.
Kebetulan saya meronda dengan mangsa rompakan kedua. Saya perhatikan dua lampu jalan berhampiran rumahnya tidak menyala. Saya bertanya sudahkan beliau melaporkan kepada Tenaga Nasional. Dia menjawab belum, mungkin kerana tidak tahu bagaimana. Saya kemudian melaporkan sendiri kepada TNB dan dalam masa 24 jam lampu-lampu berkenaan sudah dibaiki.
Dua hari yang lepas seorang jiran belakang rumah saya datang memberikan kad jemputan perkahwinan anaknya. Dia bercerita semasa kejadian rompak kedua terdengar anjing Uncle Chan asyik menyalak. Dia juga ternampak bayang-bayang manusia dalam gelap. Kemudian terdengar bunyi kereta di pandu laju.
Sudah tentu perompak berkenaan membuat kajian awal sebelum bertindak. Kawasan belakang rumah yang semak samun, lampu jalan tidak berfungsi dan semangat kejiranan yang kurang atau tiada langsung menjadi pendorong mereka. Syukurlah tiada kejadian tidak diingini seperti kecederaan atau kematian.
Sila juga lihat link di atas.
No comments:
Post a Comment