Bila kita terdengar atau melihat di media massa mengenai cerita manusia membunuh manusia yang yang tidak berdosa kita selalu melabelkan pembunuh itu sebagai mempunyai perangai seperti binatang. Peminat binatang pula, termasuk saya akan berkata binatang tidak membunuh binatang lain (atau manusia) sesuka hati. Mereka membunuh kerana mempunyai sebab.
Diantaranya mereka membunuh kerana hendak makan. Contohnya singa membunuh kuda belang untuk memakan dagingnya. Tetapi bukan senang singa hendak memerangkap dan seterusnya membunuh kuda belang. Silap haribulan melepas. Dalam hal ini apa bezanya kita manusia ini dengan singa tadi? Manusia memelihara binatang ternakan yang akhirnya disembelih untuk dijadikan makanan. Manusia juga menangkap ikan di air untuk dimakan.
Terdapat juga binatang membunuh binatang lain untuk mengambil alih kediaman yang dibunuh. Contohnya sekumpulan tebuan menyerang kumpulan lebah disarangnya dan kemudian mengambil alih sarang lebah tersebut. Didalam hal ini terdapat juga si lebah berjaya mempertahankan sarang mereka dan si tebuan yang menyerang dapat dikalahkan. Dikalahkan bukan setakat dihalau, tetapi dibunuh.
Jika dibandingkan dengan sikap manusia ini tidak berbeza dengan anggota tentera mempertahankan negaranya dari diserang oleh negara lain.
Semua tabiat binatang seperti yang saya ceritakan dapat dilihat dari program-program TV seperti National Geographic, Discvery dan Animal Planet.
Tetapi ada satu perangai binatang yang seolah-olah sama dengan manusia yang membunuh manusia lain yang tidak berdosa. Ini berlaku dalam kumpulan haiwan singa. Saya tidak pasti jika ia berlaku di haiwan lain.
Dari apa yang saya lihat di program-program TV yang saya sebut itu singa hidup berkeluarga seperti manusia. Seekor singa jantan (kadang-kadang dua atau lebih) mengetuai satu keluarga singa yang mengandungi beberapa ekor singa betina. Mereka mempunyai beberapa ekor anak.
Singa jantan sebenarnya pemalas. Oleh itu kerja-kerja memburu binatang seperti wildebeest, kuda belang atau kerbau dilakukan oleh singa-singa betina yang bekerjasama.
Apabila anak-anak singa jantan telah dewasa mereka akan keluar dari keluarga untuk mengetuai keluarga-keluarga lain. Caranya ialah dengan mengusir singa jantan yang selama ini mengetuai mana-mana keluarga. Biasanya singa jantan yang telah tua akan meninggalkan keluarganya dengan sukarela. Tetapi jika ia degil terjadilah pertempuran yang boleh mengakibatkan pertumpahan darah termasuk pembunuhan.
Jika singa jantan tua dapat diusir, dikalahkan atau dibunuh ini tidak bermakna singa jantan yang baru dapat menjadi ketua keluarga begitu sahaja. Ada lagi satu tugas yang harus diselesaikan.
Tugas yang dimaksudkan ialah membunuh semua anak-anak singa kecil dalam keluarga barunya. Anak-anak singa kecil diburu dan dibunuh tanpa belas kasihan. Dalam perkataan lain singa jantan tidak mahu memelihara anak-anak tiri.
Yang peliknya apabila singa-singa betina sudah kehilangan anak-anak mereka datang 'heat' dalam Bahasa Inggeris. Singa-singa betina dengan rela menyerahkan diri mereka kepada si jantan yang baru sahaja membunuh anak-anak mereka. Sampaikan singa-singa betina 'mengacau' atau mengurat singa jantan untuk mengawan.
Inilah tabiat yang kadang-kadang dilakukan oleh manusia. Sudah beberapa kejadian yang kita baca dan lihat di media massa di mana lelaki membunuh anak kecil kekasihnya.
Ini betul-betul perangai seperti binatang. Cuma saya belum terbaca kes di mana perempuan dengan rela menyerahkan badan mereka kepada lelaki yang baru sahaja membunuh anaknya.
No comments:
Post a Comment