Sunday, October 28, 2012

Masjid yang banyak meninggalkan kenangan.

Masjid At Taqwa, Kg. Paroi, Seremban. Gambar sebelah belakang sebenarnya.

Blogger di belakang masjid.

Kain rentang program Qurban.

Pak Imam membacakan nama-nama peserta Qurban sebelum mengorbankan lembu.

Sesiapa yang melalui Laluan Persekutuan 51 dari Bandar Seremban dengan Kuala Pilah sudah tentu ternampak satu masjid dua tingkat di Kampung Paroi, Seremban. Sebenarnya itu masjid baru yang telah dibina semula menggantikan masjid lama yang agak daif. 

Semalam kawan-kawan sekolah saya mengadakan majlis qurban di masjid itu. Saya sempat bersama mereka untuk seketika sahaja kerana saya juga terlibat dengan majlis qurban surau saya di waktu yang sama.

Masjid itu mengimbas kenangan saya kepada masjid asal yang saya sebut daif itu. Di masjid daif itulah saya menunaikan solat Jumaat dalam tempoh beberapa tahun berpuluh tahun yang lalu.

Saya mula tinggal di Taman Paroi Jaya pada tahun 1978. Di waktu itu masjid yang paling dekat dengan rumah saya ialah Masjid Kg. Paroi. Ramai juga jiran-jiran saya yang pergi ke masjid-masjid lain seperti Masjid Negeri, Masjid Jalan Jelebu dan Masjid Sungai Landak.

Mereka ke masjid yang lebih jauh kerana ia lebih besar dan selesa. Tetapi saya tetap memilih Masjid Kg. Paroi walau pun ia sempit dan sesak. Untuk mengelakkan kesesakan saya datang awal-awal. Saya masih ingat semasa Imam membaca Khutbah ramai jumaah berdiri di pintu dan di luar masjid kerana ruang dalam sudah penuh.

Setelah beberapa tahun, penduduk taman saya membina sebuah masjid sementara yang kebetulan selorong dengan rumah saya. Saya pun tidak lagi bersolat Jumaat di Masjid Kg. Paroi walau pun masih ada jiran-jiran saya yang ke sana kerana masjid sementara kami tersangat kecil. Sekali lagi saya terpaksa datang awal ke masjid untuk mengelakkan kesesakan, cuma kali ini saya ke masjid berjalan kaki sahaja.

Akhirnya sebuah masjid baru di bina di taman saya dan di beri nama Masjid Qariah Paroi Jaya bersebelahan dengan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Pada mulanya masjid itu pun tidak cukup besar untuk menampung jumaah yang ramai. Ada juga jumaah yang berdiri semasa Imam membaca khutbah. Saya pun terpaksa datang awal untuk mengelak dari kesesakan. 

Masjid Qariah Paroi Jaya kemudian ditutup untuk beberapa bulan (mungkin tahun) untuk projek pembesaran. Sementara itu sebuah surau di sudut taman kami di jadikan masjid sementara. Ini bererti dalam beberapa tahun saya telah berpindah masjid sebanyak empat kali.

Dalam pada itu Masjid Kg. Paroi juga mengalami perubahan. Entah macam mana tiba-tiba seorang menyedari arah Qiblatnya terpesong dari arah sebenar ke Baitullah, Masjidil Haram di Makkah. Mimbarnya dan sudah tentu kedudukan sejadah pun dibetulkan. Tetapi saya tidak mengalami 'penghijrahan' ini kerana saya tidak ke sana lagi. 

Rupa-rupa selama saya bersolat di Masjid Kg. Paroi saya tidak mengadap Qiblat sebenar. 

Akhirnya Masjid Kg. Paroi yang pernah bertukar arah Qiblat itu digantikan dengan sebuah masjid baru dua tingkat serba moden dan diberi nama Masjid At Taqwa. 

Saya tidak lagi tinggal di Paroi. Dengan terbinanya Lebuhraya Kajang Seremban atau LEKAS saya tidak perlu lalu di depan Kg. Paroi untuk ke Kuala Pilah. Tetapi bila sesekali saya melalui masjid ini saya terkenang masa saya bersesak untuk solat Jumaat dulu.

Dengan adanya masjid di mana-mana sahaja sekarang saya tidak fikir ada orang-orang Islam di negara ini terpaksa bersesak untuk solat seperti yang saya alami dahulu. Kita juga bebas menunaikan ibadah lain seperti Qurban seperti kita lakukan dalam dua hari yang lepas tanpa gangguan. 

Dalam perjalanan dari surau saya ke Masjid At Taqwa, Kg. Paroi dan balik semalam saya sempat melihat beberapa Qurban di adakan di masjid dan surau tanpa gangguan. Di surau saya sahaja sebelas ekor lembu dan dua ekor kambing dikorbankan dalam acara seolah-olah berpesta. Sedangkan di satu negara jiran ada yang mati kerana kesesakan untuk mendapatkan secebis daging korban.

Saya harap keadaan aman ini berkekalan.
    

1 comment:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Abg Hj Maarof. Selamat Hari Raya Aidil Adha. Saya suka membaca kisah2 Abg Hj kerana ianya berasaskan kisah benar yg bebas dari tohmah dan fitnah rekaan.

Tentang kisah2 masjid sesak tu kita boleh kaitkan dgn masjid tempat msg2.

Yang penting adalah ukhwah sesama umat Islam. Yang ketara skrg adalah hasad dengki yg kian menular diantara kalangan masyarakat yg berpuak2 dan berpecahan angkara perbezaan kefahaman politik dan ego tahap gaban.

Masjid tersergam megah dimana2 ttp semangat setiakawan sesama kita kurang.