Semalam saya baru sahaja menanggalkan dua bendera parti politik yang tercacak di dua tiang berhampiran surau taman saya. Ini ekoran saya terbaca lepasan geram seorang penduduk taman saya ini yang 'menyirap darah'nya melihat dua bendera itu tiap kali dia pergi ke surau. Lepasan geram ini ditulisnya dalam satu mesej kumpulan telefon bimbit yang saya pernah masuk. Tetapi kerana mengelakkan ahli-ahli terus membuat dosa dengan mengumpat, berbohong dan akhirnya memfitnah saya sendiri, saya telah keluar dari kumpulan itu.
Bendera itu dipasang semasa kempen pilihanraya ke-13 dulu. Tetapi oleh kerana tempoh meletakkan bendera sudah tamat, tidak salahlah bagi sesiapa untuk menurunkannya. Melepaskan geram dengan menghantar mesej di telefon bimbit buat apa? Tapi tak apalah, biar saya secara tidak langsung membetulkan aliran darah hamba Allah itu.
Itulah satu contoh di mana orang-orang kita tidak mahu menggunakan hak mereka dan mengharapkan orang lain menggunakannya. Malah sehari sebelum saya meninggalkan kumpulan itu seorang ahli juga melepaskan geram kerana jalan berhampiran rumahnya berlubang. Secara tidak langsung dia meminta saya memajukan aduannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana saya pernah bekerja di situ. Saya boleh menolong tetapi kerana saya mahu dia sendiri menggunakan haknya, saya berikan nombor telefon pejabat lama saya supaya dia sendiri menalipon membuat aduan.
Setiap kali rumah saya putus bekalan air atau elektrik saya akan memberitahu pihak-pihak berkenaan. Sempat juga saya bertanya adakah orang lain yang sudah membuat aduan? Tiap kali saya bertanya jawapanya tetap sama iaitu 'belum ada'.
Agaknya orang kita takut untuk mengadu sedangkan itu hak mereka.
Agaknya orang kita takut untuk mengadu sedangkan itu hak mereka.
No comments:
Post a Comment