Thursday, September 26, 2013

Bila manusia merasa dirinya kebal undang-undang.


Kita biasa melihat kon seperti di atas yang memberitahu kita tidak boleh meletak apa-apa kenderaan di situ kerana sebab-sebab tertentu. Tidak payahlah saya menerangkan apa sebab-sebabnya, kerana setiap premiss di mana kon itu diletakkan mempunyai sebab-sebab mereka sendiri. Kita sebagai warganegara yang mematuhi undang-undang tak payahlah menyoal kenapa tempat sedemikian tidak boleh diletak kenderaan. Mungkin tempat tersebut dikhaskan untuk kenderaan tertentu sahaja. 

Untuk menguatkuskan undang-undang tersebut badan-badan berkenaan sama ada menggajikan terus pangawal-pengawal keselamatan mereka atau memberi kontrak kepada syarikat-syarikat swasta. Ada orang-orang tertentu terlindung di bawah undang-undang tersebut, di mana mereka dibenar meletak kenderaan kerana sebab-sebab tertentu. Malangnya ada orang lain yang tidak termasuk dalam bab perlindungan tersebut merasa diri mereka kebal undang-undang.

Beberapa tahun yang lalu saya pergi menziarahi saorang saudara yang sakit di satu hospital swasta di Seremban ini. Di masa itu hospital yang dimaksudkan tidak mempunyai masalah kekurangan tempat letak kereta seperti sekarang. Sekurang-kurangnya saya tidak mempunyai masalah untuk meletak kereta.

Tiba-tiba perhatian saya tertarik kepada sebuah kereta agak mahal yang diletakkan di petak yang dikhaskan untuk doktor-doktor pakar hospital tersebut. Apa yang menarik perhatian saya ialah di kereta itu terpacak bendera Malaysia. Memang betul di masa itu negara sedang merayakan Hari Merdeka, tetapi saya belum pernah melihat bendera Malaysia diletakkan di mana-mana kereta seorang doktor, dan tentulah saya merasa gembira mendapati ada juga seorang 'doktor' yang patriotik.

Tetapi sangkaan saya itu meleset apabila melihat kereta itu dipandu keluar bukan oleh seorang doktor, tetapi oleh seorang saudara kepada seorang kenamaan negeri. 'Saudara' ini datang ke hospital dengan tujuan yang sama seperti saya, iaitu menziarahi pesakit kerana kebetulan pesakit yang diziarahnya berada di tingkat yang sama dengan pesakit yang saya ziarahi. Jelaslah 'saudara' ini telah melanggar satu peraturan hospital dan pengawal keselamatan hospital tidak boleh berbuat apa-apa. Mungkin juga pengawal itu sama-sama menolong 'saudara' itu meletak kereta dengan mengalihkan kon yang diletak di petak yang dikhaskan untuk doktor pakar tersebut.

Saya terfikir bagaimana jika terjadi kes kecemasan dan doktor pakar lewat untuk merawat pesakit atau hadir untuk satu pembedahan kritikal cuma kerana dia tidak dapat meletak kereta ditempat yang dikhaskan untuknya. Mungkin satu nyawa akan melayang, bukan kerana kesalahan doktor tersebut, tetapi kesalahan saudara kepada orang kenamaan negeri tersebut. Sikap patriotiknya tidak akan menebus dosanya.

Ekoran itu saya tidak hairan bila melihat satu pos di laman sosial Fecebook menunjukkan isteri kepada seorang pemain bola terkenal di Malaysia bertelagah dengan seorang pengawal keselamatan di satu lapangan terbang antara bangsa di negara ini kerana kes meletak kereta di tempat larangan. Perempuan itu di samping melemparkan kata-kata kesat kepada pengawal keselamatan itu sempat memberitahu suaminya bekerja dengan seorang kerabat di raja. Memang betul suaminya bermain bola dengan pasukan di mana persatuannya diketuai oleh seorang kerabat di raja. 

Seperti saudara kepada seorang kenamaan di Seremban itu, perempuan itu merasa dirinya kebal undang-undang. 

No comments: