Sunday, December 22, 2013

Kenapa salahkan orang Bangla?


Berapa ramai dari kita yang tahu asal usul Bangaladesh? Saya ajukan soalan ini oleh kerana menantu saya seorang graduan universiti yang berumur 36 tahun tidak tahu bahawa negara Bangladesh dahulu dikenali sebagai East Pakistan. 

Ya, sebelum tahun 1971 Bangladesh dikenali sebagai East Pakistan dan sudah pasti ia menjadi sebahagian dari negara Pakistan. Saya tidak mahu bercerita tentang sejarah Bangladesh kerana fakta itu boleh diperolehi secara senang melalui Internet. 

Cuma saya ingin memberitahu majalah Time mengakui konsert rock yang paling hebat pernah dipentaskan ialah 'Concert for Bangladesh' di tahun 1971, bukan 'Woodstock' dan sebagainya. Kalau nak tau tentang kehebatan konsert itu cubalah tinjau di 'Youtube'. 

Saya juga mempunyai jiran satu keluarga dari Bangladesh yang mempunyai satu kedai jahitan pakaian sendiri. Setelah lama tinggal bertahun di sini anak-anaknya pandai berbahasa Melayu sedangkan dia tidak. Oleh itu sayalah yang sering dicarinya untuk berborak oleh kerana kedua-dua kami fasih berbahasa Inggeris. Saya pernah bertanya kepadanya adakah dia marah jika orang Malaysia memanggil mereka 'Bangla'? Dia kata tidak. Saya tanya dia begitu oleh kerana sebenarnya orang Indonesia marah bila kita memanggil mereka 'Indon'. 

Memang ramai orang Bangla di Malaysia sekarang sehinggakan banyak perkara-perkara negatif dikaitkan dengan mereka. Antaranya ada yang menyebut negara ini sekarang patut dipanggil 'Banglasia'. Kemudian ramai percaya semasa Pilihanraya Umum ke 13 beberapa bulan yang sudah 40,000 orang Bangla telah dibawa masuk untuk mengundi. 

Kesian ramai Tipah tertipu oleh manusia yang saya panggil 'Penipu nombor satu di dunia'. Selepas PRU 12 dia telah menipu dengan mengatakan 'We have the numbers' bermaksud dia telah berjaya membuatkan beberapa Ahli Dewan Rakyat melompat ke partinya untuk menubuhkan kerajaan. Kali ini 'numbers' itu lebih besar, iaitu 40,000 tetapi akhirnya seorang Bangla pun tidak dapat dibuktikannya.

Kemudian baru-baru ini ditunjukkan dalam Internet satu notis di luar tandas dengan tulisan 'Vera' dan 'Kincin' yang mungkin ditulis oleh seorang penjaga tandas Bangla. Saya sendiri percaya ia ditulis oleh seorang Bangla.

Tetapi apabila timbul lagi satu notis seperti gambar di atas saya meragui ia ditulis oleh seorang Bangla atas alasan-alasan berikut:-

  1. 'Kalu' biasa digunakan oleh orang keturunan India, bukan Bangla.
  2. Saya ragu seorang Bangla biasa dengan perkataan-perkataan 'Tandas' dan 'Awam'. Satu dunia faham apa itu 'Toilet' dan 'Public'. Kenapa pula dia tukar ejaan senang 'Tandas' kepada 'Tendas'. Diikuti perkataan 4 abjad 'Awam' kepada 'Yewam' yang ada 5 abjad?
  3. Kenapa tukar ejaan 'Gigi' yang senang kepada 'Geygey'?
  4. Juga 'Cuci' kepada 'Cucey'
  5. Saya percaya orang Bangla juga tidak biasa dengan perkataan 'Arahan'. Mereka lebih biasa dengan 'Notice/Notis' dan 'Order'. Juga kenapa tukar perkataan senang 'Arahan' kepada 'Erehan'. Kenapa tidak 'Yerehan' jika ikut trend sebelumnya.
Oleh itu saya fikir notis yang digambarkan itu sengaja ditulis oleh seorang Malaysia untuk menyalahkan dan memburukkan orang Bangla.

Sekian.

1 comment:

Anonymous said...

Sey ghaso2 lah ni bukan bangla yg menulis mcm ni... silap org malaysia juga yg buat utk keseronokan mereks