Wednesday, January 1, 2014

Menyambut tahun baru tanpa air.


Di depan rumah saya ialah padang bola. Di sebelahnya pula tangki air. Sudah menjadi tabiat saya menggunakan kemudahan awam yang ada berdekatan. Contohnya semasa tinggal di Taman Paroi Jaya dulu saya kerap berenang di kolam renang dan juga berjogging di dalam dan luar stadium yang terletak beberapa ratus meter dari rumah saya.

Sejak berpinfdah ke sini juga saya menggunakan kemudahan awam yang ada. Padang di depan rumah saya gunakan untuk bermain layang-layang. Jalan ke tangki air saya gunakan untuk berjalan kaki hampir tiap-tiap pagi. Sejak berumur 60an sini saya kurang berlari dan cuma berjalan sahaja.

Pada mulanya saya seorang sahaja yang berjalan turun naik ke tangki air. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini sudah ramai yang mengikut langkah saya. Malangnya semuanya perempuan belaka. Mereka sanggup datang beratus meter dari rumah mereka untuk sama-sama berjalan kaki ke tangki air sedangkan bagi saya jauhnya tangki ini dari rumah ialah berpuluh meter sahaja.

Dari tangki air ini juga saya melihat bunga api di seluruh bandar Seremban di malam-malam perayaan seperti Hari Raya. Tahun Baru Cina, Hari Merdeka dan Deepavali. Malam tadi baru saja saya melihat pertunjukan bunga api merayakan Tahun Baru 2014 di sekitar bandar Seremban. 

Tetapi tangki air ini juga membuatkan saya marah sedikit di tahun baru ini. Biasanya semasa saya 'tawaf' mengelilingi tangki air itu saya membaca bacaan berapa tinggi air di dalamnya. Biasanya ia berada di sekitar antara 8 hingga 10 meter. Petang semalam apabila air di rumah saya tiba-tiba tiada saya telah menalipon Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS). Sambil itu saya juga naik ke atas bukit dan melihat paras airnya di bawah 0 meter. 

Beberapa jam kemudian air pun datang dan saya harap paras air itu akan naik. Malam tadi semasa melihat bunga api saya tidak nampak bacaannya kerana berada dalam gelap. Pagi tadi air tiba-tiba tiada semasa saya mandi. Mujurlah cuaca tidak sejuk dan saya teruskan mandi menggunakan air tangki. Lepas mandi sekali lagi saya menalipon SAINS dan kemudian pergi ke tangki dan mendapati paras air masih di bawah 0 meter. Kali ini saya mengambil gambar di atas. 

Sekali lagi saya menalipon SAINS dan katanya mereka akan datang menyiasat. Beberapa jam kemudian saya melihat dua kenderaan mereka naik ke tangki dan saya pun turut mengikuti mereka. Ada lebih kurang enam orang agaknya kakitangan SAINS di situ dan mereka berkata air sedang masuk ke tangki dan tak lama lagi akan turun ke rumah-rumah.

Tetapi waktu sekarang hampir jam 3 petang sedangkan air belum lagi datang ke rumah saya dan paras air masih seperti dalam gambar.

Nampaknya saya menyambut Tahun Baru 2014 tanpa air terus dari paip. Saya berharap tangki air rumah saya dapat menampung air untuk beberapa hari jika keadaan tidak berubah.

No comments: