Friday, January 24, 2014

Lembu punya susu.....


Allahyarham Kassim Masdor

Di awal tahun 1990an saya ditugaskan mengiringi satu rombongan budaya dari Sumatera Barat (SUMBAR) melawat Negeri Sembilan. Saya membawa mereka ke Gemencheh, Tampin mempersembahkan pertunjukan kebudayaan termasuk tarian dan nyanyian di hadapan Tunku Besar Tampin. Oleh kerana di masa itu rakyat Malaysia sedang merayakan bulan Merdeka, seorang penyanyi dari rombongan itu menyanyikan lagu Bahtera Merdeka yang sedang dipopularkan semula oleh penyanyi Malaysia Aishah.

Malangnya juruacara dari Indonesia itu menghebahkan lagu itu dicipta oleh Ahmad Nawab. Sedang penyanyinya menyanyikan lagu itu saya telah pergi ke juruacara dan menyatakan lagu itu sebenarnya dicipta oleh Kassim Masdor, bukan Ahmad Nawab. Setelah lagu selesai juruacara telah membetulkan kenyataannya yang salah itu.

Walau pun juruacara itu boleh dimaafkan kerana dia bukan orang Malaysia tetapi ada satu lagi kejadian yang saya tidak boleh maafkan. Saya ada menerima satu CD lagu-lagu patriotik yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia sendiri. Saya sudah lupa Jabatan atau Kementerian mana yang mengeluarkannya kerana CD itu telah dipinjam dan terus dihilangkan oleh seorang sahabat saya. Antara lagu-lagu di CD itu ialah lagu Malaysia Baru. Hendak tahu siapa ditulis sebagai pencipta? P Ramlee.

Kedua-dua lagu Bahtera Merdeka dan Malaysia Baru ialah ciptaan Allahyarham Kassim Masdor yang meninggal dunia pada 21 Januari 2014 baru-baru ini. Saya minta maaf kerana tidak tahu siapa yang menulis lirik lagu-lagu tersebut. 

Kedua-dua contoh itu juga menunjukkan sikap orang kita yang tidak ambil kisah tentang siapa yang mencipta lgu-lagu yang mereka dengar hari-hari. Kita boleh belajar menyanyi. Kita juga boleh belajar main alat-alat muzik. Tetapi kebolehan mencipta lagu adalah satu anugerah Allah. 

Kassim Masdor ialah seorang pencipta lagu seangkatan Allahyarham P Ramlee di Singapura. Saya sebut Singapura kerana apabila P Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur, Malaysia, Kassim Masdor meneruskan kerjayanya di Singapura. Tetapi saya percaya kerana kehebatan P Ramlee sendiri sebagai pencipta lagu, kehebatan Kassim Masdor tidak banyak diketahui ramai, sehinngga ada pihak berkuasa di Malaysia tidak tahu lagu Malaysia Baru bukan ciptaan P Ramlee.

Jika kita melihat kembali filem-filem P Ramlee yang diarah dan dilakunkannya di Singapura penglibatan Kassim Masdor amat jelas. Contohnya di filem Tiga Abdul Kassim Masdor bermain Rhythm Guitar semasa P Ramlee menyanyi lagu Bunyi Gitar. Agaknya di lagu sebenar yang dirakamkan gitar Kassim Masdor yang 'berbunyi' itu. Juga Kassim Masdor memainkan Lead Guitar di lagu Selamat Pengantin Baru di filem Madu Tiga. 

Walau pun tidak kurang 'handsome'nya jika dibandingkan dengan aktor-aktor seangkatan P Ramlee, mungkin Kassim Masdor kurang berbakat berlakun. Jika tidak, dengan kelebihannya mencipta lagu, sudah tentu dia juga menjadi seorang artis terkenal seperti Jins Shamsuddin dan Aziz Sattar. Jika diteliti Kassim Masdor menjadi pelakon tambahan sahaja dalam filem-filem P Ramlee. Contoh terbaik ialah dalam filem Antara Dua Darjat di mana karaktornya bernama Kassim juga.

Jika diteliti juga dalam filem Antara Dua Darjat kita mendengar lagu pertama ciptaan Kassim Masdor dinyanyikan. Lagunya ialah Sapu Tangan dan cuma sebaris dinyanyikan oleh P Ramlee, Kassim Masdor dan kawan-kawan mereka. Saya tidak tahu sama ada Kassim Masdor menerima apa-apa royalti untuk tujuan itu. Lagu Sapu Tangan kemudian direkodkan dan tepatlah penyanyi hebat Saloma diberi kehormatan menyanyikannya. 

Saya harap industri muzik tanah air memberi penghormatan sebenar kepada Allahyarham Kassim Masdor termasuk membetulkan nama pencipta lagu Malaysia Baru.
    

1 comment:

Abdul Hamid Hussin said...

Arwah Kassim Masdor memang pencipta lagu yang berwibawa kerana banyak lagu2 nya hit dan dinyanyikan oleh Saloma,Sanisah Huri dan lain2.Dia anak murid P.Ramlee di segikan penciptaan lagu dan banyak membantu P.Ramlee didalam penulisan score2 musik ciptaan P.Ramlee.Mereka berdua diketahui amat akrab.AlFatihah buat rohnya dan kita berterima kasih juga