Friday, January 3, 2014

'When I'm Sixty-Four'.



Saya rasa beruntung kerana kumpulan muzik paling hebat di dunia The Beatles berada di kemuncaknya semasa saya remaja. Saya tidak dapat menyatakan antara beratus lagu yang mereka keluarkan lagu mana yang paling saya suka. Tetapi ada satu lagu mereka yang sangat bermakna untuk saya pada hari ini. Lagu itu ialah 'When I'm Sixty-Four' kerana saya berumur 64 tahun pada hari ini.

Lagu 'When I'm Sixty-Four' walau pun dirakamkan pada tahun 1966 semasa penyanyi dan penciptanya Paul McCartney berumur 24 tahun dan masih bujang, sebenarnya satu lagu lama yang sudah dinyanyikan oleh The Beatles di pentas sebelum mereka merakam apa-apa lagu. Lagu itu dihidupkan semula dan direkod pada tahun 1966 apabila bapa kepada Paul Mccartney berumur 64 tahun. 

Lagu itu seolah-olah satu peringatan dari seorang suami kepada isterinya apa akan jadi bila si suami berumur 64 tahun. Di akhir lagu Paul McCartney bertanya 'Will you still need me, will you still feed me, when I'm sixty-four?'. Dia bertanya adakah isterinya masih memerlukan dan menjaganya apabila dia mencapai umur itu.

Sungguh Paul tidak menjangka apa akan jadi pada dirinya bila dia mencapai umur 64 tahun. Di hari itu isteri pertamanya sudah meninggal dunia selama 10 tahun. Dia pula baru berpisah dengan isteri keduanya. Jadi soalan 'Will you still need me, will you still feed me?' tidak relevan lagi baginya.

Tetapi soalan itu amat relevan bagi saya hari ini 'When I'm Sixty-Four'. Isteri saya seorang itulah. Kami masih memerlukan (need) satu sama lain dan dia masih menyediakan makanan (feed) untuk saya. Tidak seperti seorang saudara saya itu walau pun mempunya 10 anak dari 3 isteri, dia sekarang yang baru berumur 60 tahun tinggal di rumah jagaan orang-orang tua. Seolah-olah keluarganya tidak 'need' dia lagi dan tidak sanggup untuk 'feed' dia.

In Sya Allah beberapa hari lagi keluarga saya akan mengadakan majlis Aqiqah untuk cucu terbaru saya yang akan berumur 2 bulan esok. Cucu itu merupakan hadiah paling berharga bagi saya 'When I'm Sixty-Four'.   

No comments: