Wednesday, January 15, 2014

Lain padang lain belalang.

Gambar hiasan diambil dari jujujitu.blogspot.com

Ia bermula dari Majlis Aqiqah cucu perempuan ku yang pertama Nur Zaheen yang lahir pada bulan November 2013. Telah lama aku tidak menimang cucu, jadi kedatangannya amat dinantikan. Aku berjanji untuk mengadakan kenduri Aqiqah untuknya pada bulan Januari 2014 setelah aku mendapat sedikit dividen dari pelaburan ASB aku. Akhirnya tarikh ditetapkan pada hari Ahad 12 Januari 2014. Makanan ditempah melalui katerer makanan seperti kenduri-kenduri yang pernah aku adakan.

Walau pun aku tidak berniat untuk mendapat pertolongan sesiapa, ibu bapa Zaheen dan keluarga besan aku juga turut menolong. Pertolongan dari adik-beradik aku dan isteriku sudah menjadi perkara biasa apabila aku mengadakan apa-apa kenduri.

Sebelum hari kenduri aku telah memindahkan cukup wang dari akaun ASB aku ke akaun semasa bank aku. Tetapi semasa aku hendak menyelesaikan bayaran kepada katerer makanan aku dikejutkan bila mendapati kos seekor kambing untuk Aqiqah ini (yang dibiayai oleh ibu bapa Zaheen) rupa-rupanya tidak termasuk dalam kos makanan sekepala. Ini salah aku juga sebab tidak meminta penerangan terperinci semasa membuat tempahan makanan dulu. Dalam lain perkataan, bajet sudah lari sedikit.

Walau pun duit di bank tidak mencukupi aku tetap memberikan cek dengan amaun yang sepatutnya. Aku memberi cek itu pada hari Isnin 13 Januari 2014, sehari selepas kenduri ku selesai. Memandangkan bank di hari itu sudah ditutup diikuti dengan dua hari kelepasan untuk Negeri Sembilan aku menulis tarikh cek sebagai hari Khamis 16 Januari 2014. Niat pertama aku ialah untuk pergi ke bank pada awal tarikh itu dan memindahkan sedikit lagi wang ka akaun bank aku supaya cek yang aku beri tidak ditendang untuk pertama kali dalam sejarah perbankan ku.

Tiba-tiba 'boss' aku yang baru, iatu Yang Di Pertua kepada persatuan di mana aku menjadi Setiausaha Kehormatnya meminta aku berada di Wisma Negeri, Seremban pada pagi 16 Januari 2014 itu untuk mengawasi kerja-kerja akhir persiapan seminar yang akan dianjur oleh persatuan kami pada hari Sabtu 18 Januari 2014. Malulah aku jika meminta keterer menangguhkan penyelesaian cek aku itu.

Aku tidak ada pilihan lain melainkan keluar dari Negeri Sembilan dan mengeluarkan sedikit lagi wang dari ASB aku dan memindahkannya ke akaun bank aku sebelum tarikh cek itu matang. Bandar yang menjadi pilihan aku ialah Bandar Seri Putera di Bangi, Selangor.

Pada pagi hari Rabu 15 Januari 2014 aku pun menaiki skuter ke Bandar Seri Putera, Bangi, Selangor. Tetapi di sana aku dikejutkan dengan mendapati cuma ada sebuah bank di sana dan ia bukan agen ASB. Bila bertanya aku diberitahu bank agen ASB yang paling dekat dari situ ialah CIMB di bangunan Unikeb, sebelah UKM, Bandar Baru Bangi. Aku pun terus ke sana.

Biasanya bila aku mengeluarkan wang dari akaun ASB aku di Seremban aku hanya menunggu beberapa minit sahaja sebelum dilayan. Tetapi tidak di sini. Aku hairan kerana untuk mendapatkan nombor giliran pun kena beratur dan menunjukkan My Kad untuk pengesahan. Setelah beratur, menunjukkan My Kad dan meletakkan ibu jari kanan di 'scanner' aku pun diberi nombor 2040, sedangkan nombor yang sedang dilayan untuk ASB/ASN ialah 2007. Ini berbanding dengan situasi di Seremban di mana biasanya nombor yang mendahului nombor aku cuma satu atau dua sahaja.

Setelah menunguu selama dua jam lebih barulah nombor aku dipanggil. Seumur hidup aku itulah masa yang paling lama aku menunggu di dalam mana-mana bank. Syukurlah seperti kebanyakan anak-anak muda yang menunggu di bank itu aku menghabiskan masa dengan melayari internet melalui telefon bimbit.

Rupa-rupanya lain padang lain belalang.       

No comments: