Thursday, January 30, 2014

Bila kita berpersatuan

Semasa bekerja dengan satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dulu saya sering berurusan dengan persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil. Satu hari berpuluh tahun yang lalu, saya pergi berjumpa dengan pengerusi satu persatuan penjaja di pejabatnya. Dia baharu sahaja memanggil bendaharinya datang berjumpanya. Apabila bendaharinya sampai dia terus mengarahkan bendaharinya mengeluarkan satu cek, kalau tak salah seratus ringgit harganya, satu jumlah yang besar di masa itu.

Apabila bendahari itu bertanya apa yang hendak ditulisnya di baucar, pengerusi itu berkata "Tulis saja saya dan setiausaha pergi berjumpa Menteri (yang menjaga penjaja dan peniaga kecil) di Kuala Lumpur. Katalah duit itu belanja perjalanan dan makan kami".

Saya mendapat tahu kemudian pengerusi dan setiausaha itu tidak ke Kuala Lumpur. Duit seratus ringgit itu ialah untuk tujuan peribadi pengerusi dan ini bukanlah pertama kali dia berbuat demikian. Bendahari itu juga bukanlah satu-satunya yang dilantik oleh pengerusi itu selepas mesyuarat agung persatuan. Jawatan bendahari telah bertukar ganti sebelum itu, mungkin memecahkan rekod dunia untuk bilangan bendahari dalam satu penggal persatuan.

Pada tahun lepas semasa mesyuarat agung persatuan pesara kerajaan di mana saya menjadi ahli, ramai mengadu tidak dipanggil untuk mesyuarat agung tersebut. Apabila disemak didapati nama mereka tidak ada langsung dalam senarai keahlian, sedangkan mereka telah membayar yuran keahlian seumur hidup. Jelaslah duit mereka yang berjumlah belasan ribu ringgit telah dikebas. Jawatankuasa semasa memberi penjelasan selamat iaitu ia dilakukan oleh jawatankuasa sebelumnya.

Semasa mesyuarat agung persatuan murid tua sekolah saya beberapa tahun yang lepas di mana tidak ada pemilihan jawatankuasa, yang dipertua saya memberitahu di mesyuarat agung akan datang mungkin ada perebutan sengit untuk menjadi ahli jawatankuasa, sedangkan selama ini semua jawatan menang tanpa bertanding. Sebabnya ialah persatuan baru sahaja menerima dana berjuta ringgit.

Dalam tiga kes di atas di mana saya sendiri terlibat secara langsung dan tidak langsung jelas wang ringgit menjadi tarikan atau disebut menjadi tarikan untuk seorang itu ingin aktif dalam satu-satu persatuan. Mujurlah dalam kes ketiga iaitu persatuan murid tua sekolah saya tidak ada perebutan sengit seperti disebut oleh mantan yang dipertua tersebut. Sebahagian wang berjuta itu pun digunakan untuk membeli satu bangunan.

Tidak dinafikan ramai juga yang berpersatuan kerana ingin berbakti dan menolong. Contohnya persatuan pesara yang saya saya sebut itu mempunyai bangunan sendiri. Ini hasil usaha jawatankuasa tahun-tahun lepas. Tetapi dalam pada itu ada juga yang gelap mata dan menggelapkan wang. Cuma ia dibuat secara licik di mana wang yuran keahlian yang dibayar sekali seumur hidup tidak dimasukkan ke dalam akaun persatuan. Tetapi dalam kes ini persatuan terpaksa menanggung kerugian juga apabila terpaksa menerima sebagai ahli-ahli mereka yang dapat membuktikan mereka telah membuat bayaran yuran dengan menunjukkan resit sementara.

Baru-baru ini saya terbaca kemelut yang melanda satu persatuan yang mewakili artis-artis tanah air sehingga ia diisytihar tidak sah oleh mahkamah. Saya cuma berharap kemelut itu tidak berlaku akibat mana-mana pegawainya menggelapkan wang kesatuan.

No comments: