Saturday, July 19, 2014

Selamat tinggal Heliconia (lebih dikenali sebagai MH17)

Heliconia di KLIA pada 17 Disember 2006.


Heliconia di KLIA pada 7 Januari 2007. Di USA tarikh itu ditulis 1/7/2007.


Saya mula-mula berminat mengambil gambar kapalterbang semasa saya berkursus di Fukuoka, Jepun pada tahun 2004. Kebetulan hotel di mana saya tinggal berada di atas stesen LRT bawah tanah. LRT itu berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka (FUK). 

Ada beberapa kali setelah solat Subuh saya turun ke LRT dan pergi ke FUK dan melihat kapalterbang turun naik dari anjung tinjau di tingkat paling atas. Bila sampai masanya saya kembali ke hotel dan berkumpul di lobi dengan kawan-kawan saya (kami tinggal sebilik seorang) tidak menyedari ke mana saya pergi. 

Di FUK juga saya lihat ramai orang Jepun mengambil gambar pesawat. Oleh kerana saya hanya berbekal satu kamera digital murah saya tidak mengambil apa-apa gambar. Tetapi apabila pulang ke Malaysia dan dengan baki elaun yang diterima saya pun membeli satu kamera DSLR dengan satu lensa telefoto untuk mengambil gambar-gambar pesawat di KLIA.

Di KLIA saya dapati ramai golongan seperti saya dan kami pun berkenalan sambil menjadi ahli kepada satu forum di internet dan menghantar gambar-gambar yang kami ambil di situ. Saya mendapat tahu mengambil gambar pesawat dipanggil 'spotting' dan kami menggelar diri kami 'spotters'. Antara tempat-tempat kami 'spotting' ialah 'Obsevation Hill'(yang saya beri kod Oscar Hotel), 'the pond', 'ladang', 'weather station' dan '32L'.

Kami 'spotters' tidak menggunakan Anjung Tinjau KLIA kerana dua sebab iaitu:
  1. Terdapat cermin tebal antara peninjau dengan pesawat. Cermin ini menjejaskan kualiti gambar.
  2. Cermin tebal juga menutup bunyi enjin pesawat. Tak ada 'thrill' bagi kami.
'Observation Hill' walau pun menjadi tempat paling strategik untuk melihat KLIA dari jauh dan mengambil gambar, adalah tempat larangan. Semasa KLIA mula dibuka ramai orang naik ke atas bukit itu untuk bersantai sambil melihat kapalterbang turun naik. Tetapi ia kemudian ditutup dan dijadikan kawasan larangan atas sebab-sebab keselamatan. Kami 'spotters' sudah beberapa kali dihalau oleh pegawai-pegawai Malaysian Airports Berhad (MAB). Sampai saya pernah berkata mungkin pihak berkuasa takut ia dijadikan pangkalan untuk menembak kapalterbang menggunakan peluru berpandu atau 'missile'. 

Antara pesawat yang paling menjadi idaman kami ialah dua pesawat MAS yang mempunyai warna kulit atau 'livery' yang luar biasa seperti berikut:
  1. Pesawat Boeing 747-400 diberi 'livery' merah yang kami panggil 'Hibiscus' atau bunga raya. Nombor pendaftarannya ialah 9M-MPD.
  2. Pesawat Boeing 777-200 diberi 'livery' biru yang kami panggil 'Heliconia'. Nombor pendaftarannya ialah 9M-MRD. 
Tetapi kedua-dua pesawat itu tidak kekal lama sebagai 'Hibiscus' dan 'Heliconia'. Ini kerana cat tambahan itu menyebabkan pesawat menjadi lebih berat dan sudah tentu menggunakan minyak yang lebih. Kemudian 9M-MPD dan 9M-MRD kembali ke 'livery' biasa.

Saya sudah lama tidak pergi 'spotting' di KLIA. Kali akhir ialah selepas menghantar isteri saya pergi ke Bandung beberapa tahun yang lepas. Saya tidak tahu apa sudah jadi kepada tempat-tempat strategik dari mana kami mengambil gambar dahulu.

Apabila MH370 hilang beberapa bulan yang lalu saya ada bertanya kepada seorang 'spotter' adakah ia Heliconia? Dia menjawab tidak, sambil menambah Heliconia ialah 9M-MRD. 

Apabila pesawat MAS dengan kod laluan MH17 jatuh terhempas setelah ditembak dengan peluru berpandu di Ukraine beberapa hari yang lalu saya bukan sahaja sedih dengan kematian 'crew' dan penumpangnya. Saya merasa sedih kerana kehilangan Heliconia. Apabila melihat di TV yang mengatakan nombor pendaftaran pesawat yang terhempas itu ialah 9M-MRD saya menyemak di internet akan kesahihannya.

Jenaka saya yang salah satu pesawat di KLIA atau diletupkan dengan peluru berpandu rupa-rupanya menjadi kenyataan. Cuma peluru berpandu itu tidak dilepaskan dari 'Oscar Hotel' tetapi di negara beribu kilometer jauhnya dari KLIA. Sasarannya pula pesawat yang pernah menjadi idaman para 'spotters'. 

Al-Fatihah kepada 'crew' dan penumpang MH17. Selamat tinggal kepada 9M-MRD atau Michael Romeo Delta yang pernah dipanggil Heliconia. 

No comments: