Wednesday, April 29, 2015

Tolong jangan ambil kesempatan atas kesedihan orang.

Entah macam mana saya kurang idea untuk menulis di blog saya pada bulan April 2015 ini. Orang banyak bercakap mengenai G.S.T. tetapi saya malas hendak menyentuh tentannya. Walau bagaimana pun hati saya tersentuh semalam (28 April 2015) dan dari itu saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca yang sudi membaca tulisan saya ini.

Semalam saya mendengar tiga cerita berkenaan orang bersara seperti berikut:


Cerita 1.

Pagi semalam saya singgah di sebuah warung untuk minum pagi, Di situ saya duduk semeja dengan seorang lelaki Cina yang saya agak berumur tujuh puluh tahun lebih yang saya rasa pernah melihatnya sebelum ini. Di depannya ialah sebungkus ubat-ubat. Saya tanya adakah dia seorang pesara kerajaan. Jawapannya 'ya' dan rupa-rupanya dia seorang mantan Wakil Rakyat.

Saya tanya lagi adakah dia membeli ubat-ubat tersebut?  Sekali lagi ia menjawab 'ya'. Soalan saya seterusnya berapa banyak kah dia berbelanja setiap bulan untuk membeli ubat? Jawapannya lebih kurang seribu ringgit.

Akhirnya saya tanya tahukah dia bahawa sebagai seorang pesara kerajaan dia boleh mendapat ubat secara percuma. Dia menjawab tahu tetapi dari pengalamannya ubat-ubat yang dibelinya tidak terdapat di hospital kerajaan kerana mahal. Dia pernah menerima preskripsi dari doktor kerajaan tetapi apabila mengambil ubat di farmasi ubat-ubat yang mahal itu dipotong dari senarai.

Saya nyatakan dalam kes tersebut dia boleh mendapat pengesahan dari doktor kerajaan bahawa ubat-ubat berkenaan tidak terdapat di hospital kerajaan. Dari itu dia boleh mendapatkannya di farmasi swasta secara percuma. Dia telah meminta alamat pejabat saya dan saya berjanji menolongnya jika dia datang. 


Cerita 2.  

Saya didatangi oleh dua orang perempuan Melayu adik-beradik sebapa tetapi lain-lain ibu. Bapa mereka seorang pesara Polis telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Sekarang ibu kepada si kakak sedang sakit.

Menurut mereka pencen bapa mereka terhenti begitu sahaja apabila ia meninggal dunia. Si kakak ada menalipon kepada Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA Pencen baru-baru ini dan diberitahu pencen bapa mereka masih ada tertunggak kerana tidak ada yang menuntutnya. 

Saya nyatakan isteri pertama atau ibu si kakak berhak mendapat tunggakan pencen itu dan seterusnya menerima pencen (disebut pencen terbitan) sehingga habis hayatnya. Saya telah memberi mereka borang-borang berkenaan dan menasihatkan mereka supaya pergi terus ke JPA Pencen di Putrajaya. 


Cerita 3.

Cerita ini bermula pada minggu lepas. Seorang lelaki India datang ke pejabat saya dan memberitahu bapanya seorang pesara kerajaan baru sahaja meninggal dunia. Ibunya pula sudah meninggal dunia sebelum ini. Saya bertanya adakah dia mempunyai adik yang berumur kurang dari 21 tahun? Jawabnya tiada. 

Saya memberitahu ini bermakna pencen bapanya terhenti dengan sendiri, Walau bagaimana pun keluarganya boleh menuntut bayaran mengurus jenazah sebanyak RM3,000.00. Saya pun memberikan borang berkenaan kepadanya.

Esok harinya (Jumaat 17 April 2015) dia datang lagi membawa borang yang sudah lengkap. Saya terus mengeposnya dengan surat iringan kepada JPA Pencen. 

Pagi semalam saya menerima panggilan talipon darinya bertanyakan adakah saya sudah mengepos permohonannya. Saya jawab telah mengeposnya di hari yang sama. Dia berkata semalam (Isnin 20 April 2015) ada menerima panggilan talipon dari seorang yang mengaku dari JPA Pencen meminta dibayar RM 1,200 sebagai bayaran proses sebelum permohonannya diluluskan. 

Saya terus menjawab supaya dia tidak membayar apa-apa. Kemudian saya fikir mungkin benar seorang kakitangan kerajaan telah menghubunginya dan menuntut wang tersebut. Tetapi ini agak menghairankan saya kerana surat yang hantar di hari Jumaat melalui Pos Malaysia telah sampai ke tangan penerima pada hari Isnin berikutnya, satu perkara yang jarang-jarang berlaku sekarang.  

Atau mungkin juga ada pihak ketiga yang tahu keluarga ini akan menerima wang beribu ringgit jumlahnya cuba mengambil kesempatan.

Walau bagaimana pun cubaan mendapatkan wang dari keluarga yang baru sahaja menerima satu balasungkawa adalah perbuatan yang tidak boleh diterima di mana-mana masyarakat pun.

No comments: